Naik bas pergi haji

haji
- Advertisement -

SELEPAS Muktamar 2005 di Kota Bharu, Ustaz Hassan tidak lagi menjadi Timbalan Presiden PAS. Seketika menjadi mantan – mundar-mandir tanpa jawatan. Puncanya, selepas dua tahun menjadi Timbalan Presiden PAS, ada gerakan untuk menjatuhkan Ustaz, bermula dengan usaha menghalang Ustaz dari kekal sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor. Mereka berhasil menjatuhkan Ustaz apabila Dato’ Dr Hassan Mohd Ali dilantik menggantikan Ustaz pada 2003. Pada 2005, mereka menjaja kisah yang direka pada 2003 bahawa Ustaz melanggar ‘syura.’ Saya tahu cerita sebenar kisah ini, tetapi ia dimanipulasi oleh geng tersebut. Mereka membuat psy-war mengatakan “Takkan Timbalan lebih tua dari Presiden.” Lalu mereka menaja Ustaz Nasharudin Mat Isa untuk melawan Ustaz. Empat tahun kemudian, mereka itu jugalah yang membuat gerakan menjatuhkan Ustaz Nasharudin atas alasan UG.

Tamat sahaja Muktamar itu, Ustaz bukan lagi Timbalan Presiden PAS dan bukan juga Pesuruhjaya PAS Selangor, tetapi masih Ahli Majlis Syura Ulamak PAS. Kami seperti biasa bersembang-sembang di Taman Melewar. Ketika itu Jawatankuasa Harian PAS Pusat belum bermesyuarat, semua lantikan belum dibuat.

- Advertisement -

“Sekarang Ustaz dah merdeka,” saya memulakan bicara kerana Ustaz tidak berjawatan lagi dalam PAS ketika itu.

“Walaupun takde jawatan, kita masih boleh menyumbang untuk PAS. Ada jawatan kita bekerja, takde jawatan kita dukung keputusan jamaah. Takde jawatan tak payah pergi mesyuarat, tapi potong rumput, menyapu sampah dan cuci tandas Markaz (Tarbiyah, Taman Melewar), tak perlukan jawatan,” jawapan Ustaz yang seperti menempelak orang yang bertanya. Saya lama juga di situ, tapi setiap pagi Ustaz saja yang menyapu dan memotong rumput. Saya sendiri, haram tak pernah.

“Dulu, masa politik kena gantung, lagi relax,” tiba-tiba Ustaz menyebut sesuatu yang saya tak faham.

“Politik kena gantung? Apa itu, Ustaz?” cepat-cepat saya bertanya.

“Masa tahun ’69 itu, 10 Mei pilihan raya… 11 Mei Umno hilang majoriti di Selangor, 12 Mei… orang Umno berhimpun di Kampung Baru, rumah Dato’ Harun (Idris), orang Cina DAP dan Gerakan berarak, maki orang Melayu… 13 Mei berlaku rusuhan kaum. Tiga hari lepas itu (16 Mei)… MAGERAN, politik kena gantung. Semua aktiviti terhenti. Darurat.

“Masa ini, Ustaz ada di mana,” saya mencari kepastian.

“Di Sabak Bernam, sebab ana calon di Sabak Bernam masa ini,” ringkas jawapan Ustaz.

“Jadi, Ustaz tak boleh balik Taiping lah? Pejabat PAS Perak pun tutup ke, Ustaz?” perbualan kami berlanjutan dengan soalan-soalan saya.

“Ya. Semua aktiviti politik tidak dibenarkan. Lepas itu, bila dah tenang sikit, baru ada rundingan-rundingan politik. Perikatan berundingan dengan Gerakan, PPP, parti-parti Sabah dan Sarawak. DAP tak mahu berunding. Dengan PAS kemudian sikit. Tapi masa ini PAS terlibat dalam Jawatankuasa Muhibbah. Pimpinan utama je terlibat,” Ustaz menjelaskan keadaan politik ketika itu.

“Dah itu, Ustaz buat apa masa politik kena gantung itu,” bertalu-talu soalan saya.

“Lepas habis Gerakan Syuhada awal bulan Tiga (Mac 1969), hujung bulan itu bubar Parlimen. Sampai pilihan raya bulan Lima (Mei 1969). Bila politik kena gantung, takde buat apa. Masa itu orang baru balik haji. Jadi ana terpikir, baik pergi Haji musim depan. Duit ada sikit, tapi terpikir nak pergi cara lain.

“Jadi, ana buat rancangan untuk pergi ke Makkah. Kos haji dah naik, dalam $2,800 seorang, kalau naik kapal di Pulau Pinang. Dalam bulan 11 (November 1969) boleh gerak. Tiba-tiba Dr Burhanuddin (al-Helmy) dan Ustaz Abdullah Zawawi (Hamzah) meninggal dunia.

“Lepas itu, ana terus ke Penang untuk ambik kapal haji. Masa ini mudah je, sebab tak banyak lagi orang pergi haji. Lagi pun susah, naik kapal laut. Makan masa dua tiga bulan nak sampai Jeddah,” Ustaz mula bercerita mengenai perjalanan hajinya.

“Ooo… Naik kapal haji juga. Tadi kata nak gi cara lain…” saya mencelah.

“Kena ada pasport haji. Masa ini guna pasport khas, orang panggil pasport haji. Sebab itu kena gi Penang. Urusan haji di sana. Semua yang pergi haji naik kapal. Tapi ana lain sikit…

“Ana naik kapal di Penang, bertolak dalam hujung bulan 11 (November 1969) itu, dalam seminggu lebih, sampai di Madras (sekarang Chennai, India). Masa di Madras ini, ana turun kapal. Jadi naik kapal itu sampai Madras je,” cerita Ustaz mengenai pelayarannya yang berakhir di India itu.

“Jauh lagi itu Ustaz. Kenapa dah turun?” saya mula berasa aneh dengan perbuatan Ustaz.

“Ana nak ikut jalan darat. Sambil-sambil lihat negeri orang. Jalan laut tengok air je. Jadi, ana bergerak dari Madras ke pantai Barat India, lalu Bangalore, ke Mangalore dekat dengan Goa. Lepas itu ke Bombay. Dari Bombay ke Ahmadabad, kemudian masuk-masuk Pakistan melalui Badin, terus ke Karachi,” Ustaz menceritakan travelognya merentasi India itu.

“Naik apa Ustaz?”

“Keretapi. Kadang-kadang bas. Naik ramai-ramai, bersesak-sesak. Macam dalam filem Hindustan itu,” Ustaz mendedahkan pengalamannya mengembara di India.

“Dari Karachi, Ustaz ke mana,” saya bertanya lagi. Dalam hati, saya dah rasa macam duduk depan Ibnu Batutah.

“Ana terus ambil bas pergi ke Iran. Lalu Iran, tapi tak pergi Tehran, jauh sangat. Masuk ke Zahidan, pergi ke Kerman. Lepas itu ke Shiraz dan Ahvaz. Itu pun berapa kali berhenti dan tukar bas, keretapi. Lepas itu sampai di Basrah, terus ke Baghdad.

“Sampai Baghdad ini kira macam balik kampung lah. Masa ini dah awal tahun ’70. Sempat jumpa kawan-kawan di Baghdad. Ustaz Rahim (Mohd Zain), Sheikh Azmi (Ahmad) dan Gus Dur masih ada di Baghdad masa ini.

“Lepas itu, naik bas terus pergi ke Makkah. Yang ini tak jadi masalah. Sebab orang Iraq semua pergi haji naik bas. Sampai di Zatu ‘Irqin, kami bermiqat, terus pakai Ihram. Dengan bas itu, terus masuk ke Makkah. Lepas buat Umrah bersama-sama orang Iraq, join Sheikh Haji Melayu di sana.

“Masa ini ada pemimpin PAS yang pimpin jamaah Tabung Haji,” Ustaz membuka rahsia baru.

“Pemimpin PAS bawa jamaah haji Kerajaan?” saya teruja.

“Ya. Sejak 1952, yang pimpin jamaah haji Kerajaan ini Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas (Alias). Dr Haji Abbas ini menjadi doktor jamaah haji sejak 1952. Dia yang buat hospital haji Malaya di Makkah. Sekarang ini, hospital itu bawah Tabung Haji. Dr Haji Abbas beritahu ana, dia sempat buat haji 40 kali sejak ’52. Sebab lepas dia pencen di Hospital Universiti, dia jadi mutawif haji pula.

“Masa urusankan kesihatan jamaah haji di Makkah ini, Dr Haji Abbas buka Cawangan PAS di Makkah. Dia gi jumpa Sheikh Abdul Qadir al-Mandili, penulis kitab Penawar Bagi Hati itu. Sheikh Abdul Qadir bersetuju dengan perjuangan PAS nak tegak negara Islam. Dia suruh anak-anak murid dia tubuh PAS di Makkah. Dr Haji Abbas kata, ketua mereka Sheikh Abdul Qadir sendiri, tapi atas kertas Ustaz Mustafa Afifi. Pak Da Eil (Sheikh Wan Ismail Abdul Qadir al-Fathani), abang Pak Chu Him Gajah Mati (Sheikh Wan Ibrahim Abdul Qadir) pun sokong PAS di Makkah,” Ada lagi cerita baru yang Ustaz buka kali ini.

“Bagus ini. Kira ulamak-ulamak Melayu di Makkah semua sokong PAS lah ya, Ustaz?” saya cuba membuat kesimpulan awal.

“Pak Da Eil dan Sheikh Abdul Qadir itu kira ulamak Melayu terbesar di Makkah masa ini, selain Sheikh Yassin (al-Fadani). Semua orang Melayu ngaji dengan mereka. Bila tok-tok guru besar sokong, takkan anak murid nak lawan.

“Ana ingat lagi, sebelum ke Baghdad tahun ’64 dulu, anak murid Sheikh Abdul Qadir di Kelantan, Tok Guru Haji Umar Daud kata, ambil orang kafir jadi pemimpin orang Islam, boleh rosak aqidah. Fatwa ini memang ikut pandangan Sheikh Abdul Qadir. Sebab itu, masa tahun’ 60-an itu, timbul isu kafir-mengkafir,” Ustaz menyambung lagi. Panjang sebenarnya Ustaz berceloteh mengenai isu ini, tetapi tidak sesuai untuk dicatat sekarang.

“Ustaz balik dengan bas juga ke?” saya bertanya mengenai laluan dari dari Makkah pula.

“Dalam bulan Empat (April 1970), ana balik terus dari Makkah naik kapal. Bila sampai di Penang, terus ke Sabak Bernam. Lepas itu masuk kerja semula di Taiping. Masa ini lah ana kahwin dengan Kak Dah (Hamidah Talib) kamu itu. Dia dulu murid ana di (Madrasah) Yahyawiyah, lepas kahwin, kami duk Taiping. Ana kerja dengan PAS, Kak Dah ambil upah masak-masak untuk tampung kos hidup kami,” Ustaz bercerita pula mengenai rumah tangganya.

Ustaz dianugerahkan enam anak dari perkahwinan ini, iaitu Husna, Akmal, Hana, Huda dan kembarnya, Uswah serta Hassanah. Saya berkawan dengan Akmal yang kami panggil Amai (ikut nickname di UIA), sebab beliau seorang sahaja anak lelaki Ustaz, yang kebetulan sebaya dengan saya. Seorang cucu Ustaz, Nukman menjadi ‘gurauan’ kami masa ini.

Semoga Ustaz dan seluruh keluarganya dicucuri rahmat Allah.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 31/5/2020

- Advertisement -