Kelapa semakin tua kian berminyak

- Advertisement -

PEPATAH Melayu berbunyi “Tua-tua kelapa, semakin tua semakin berminyak” mencerminkan betapa tinggi pengiktirafan budaya Melayu pada warganya yang berusia, kerana semakin lanjut usia seseorang sepatutnya semakin matang di mata ramai, menjadi rujukan dan tempat mengadu anak-cucu, rakan-taulan, jiran dan masyarakat. Menjadi contoh dan tauladan buat semua. Bukannya semakin tua semakin naik minyak.

Aksi Tun Dr Mahathir kelmarin yang dilaporkan media semalam terus menjadi bualan masyarakat. Akibat diisytiharkan keahliannya dalam parti BERSATU gugur lantaran tindak-tanduk dan pilihannya sendiri, Tun terus berkeras kepala mencabar tindakan partinya itu dan semalam bagaikan Jebat derhaka melangkah masuk ke ibu pejabat BERSATU, duduk di bilik pemegang jawatan Pengerusi, seakan tiada kuasa sesiapa mencuitnya dan memanggil pula sidang akhbar di mana ramai yang diserang, diherdik dan diperlekehkannya.

Sesuaikah tindakan cabar-mencabar begitu dipertontonkan kepada masyarakat khasnya anak-anak bangsa yang sedang bertungkus-lumus membangunkan kembali negara setelah melalui berbagai cabaran kebelakangan ini?

- Advertisement -

Malah Tun dalam kenyataannya (menganggap diri masih Pengerusi BERSATU) selain memecat Setiausaha Kerja BERSATU, turut menyatakan akan bertindak memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU.

Mungkin Tun merasakan dengan tindakannya itu rakyat akan kagum terpesona dan berdiri di belakangnya, jika demikianlah bacaan atau anggapannya ternyata kali ini beliau silap dan bakal terus menanggung akibatnya.

Seakan ada drama juga bikinan anasir tertentu, kononnya menyahut aksi Tun itu dengan diviralkan yang beberapa tokoh BERSATU termasuklah dua orang Menteri dan seorang Timbalan Menteri akan letak jawatan kerana bersimpati dan menyokong Tun.

Tersentak jantung rakyat Malaysia, kerana jika benar berlaku maka tidak mustahil Kerajaan pimpinan Muhyiddin akan roboh. Ramai yang gusar dan kesal malah marah sebenarnya jika benar ini berlaku.

Tiada yang gembira dan bersyukur jika roboh lagi Kerajaan kecuali barangkali mereka yang melukut di tepi gantang terutama pimpinan DAP, PAN dan saki-baki yang dalam PKR.

Akhirnya terbukti segalanya palsu dan fitnah belaka. Yang benar memang Tun sahaja dan 4 lagi MP BERSATU yang senasib dengannya yang protes dan marah-marah hingga menceroboh ibu pejabat BERSATU. Apa sebenarnya yang mahu Tun buktikan pada masyarakat melalui tindakannya?

Rakyat sudah tahu bahawa Tun tidak lagi bersama Muhyiddin dan BERSATU apabila ‘geng 5’-nya bertindak duduk di bangku pembangkang semasa sidang Parlimen baru-baru ini atas pilihan sendiri. Tindakan beliau membawa Usul Undi Tidak Percaya terhadap PM adalah bukti beliau menolak dan tidak mengiktiraf Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini. Jadi jika benar berani buat maka beranilah tanggung risiko dan akibatnya.

PAN dan DAP pun khabarnya bersedia mengangkat Tun sebagai PM kiranya berjaya menumbangkan Kerajaan PN, tetapi syaratnya mestilah mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Dewan Rakyat. Apakah Tun punya cukup bilangan? PKR pula mahukan Anwar sebagai PM, dan yang jelas setakat hari ini, PN masih kekal memegang majoriti di Dewan Rakyat manakala sesama PH terus berbalah.

Apa lagi yang Tun mahu? Tidakkah beliau tahu atau pura-pura tidak mahu tahu bahawa majoriti rakyat hari ini sudah cukup selesa dengan PM ke-8 dan Kerajaannya.

Kemampuan Muhyiddin dan pasukannya mengurus pandemik COVID-19 terus mendapat pujian dan sokongan. Keadaan ekonomi kembali stabil, semuanya semakin tenang dan memberi pengharapan pada pemulihan negara pasca pandemik ini. Kerajaan tidak lagi didominasi DAP seperti semasa PH dahulu tetapi ditunjangi parti-parti Melayu Islam dengan dukungan parti-parti lain.

Jika kelapa tadi semakin berminyak maka banyaklah manfaatnya tetapi jika komeng, apakan daya. Janganlah bawa masalah peribadi sehingga mengganggu kestabilan rakyat dan negara. Rakyat Malaysia mahu ‘move on’ dan bukannya terus bertelagah dan berbalah. Biarlah tua-tua kelapa, jangan dimalukan anak bangsa.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 31/5/2020

- Advertisement -