Segerakan penghantaran pulang PATI

- Advertisement -

BILANGAN PATI lebih dominan, nisbah yang besar

Tindakan tegas Kerajaan dalam mengesan PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) adalah tindakan yang sangat tepat. Isu PATI perlu diambil perhatian serius kerana kedatangan mereka di dalam negara bukanlah secara sah.

Membiarkan PATI sekian jumlah yang banyak dan bertapak di negara ini tanpa memiliki dokumen sah boleh memberikan impak negatif dari sudut:

(1) Ekonomi.
(2) Sosial.
(3) Kesihatan.
(4) Budaya.

Statistik Jabatan Imigresen Malaysia sehingga September tahun 2018, jumlah pekerja asing yang bekerja di negara ini secara sah adalah 1.73 juta orang, majoriti dari Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan China.

- Advertisement -

Sementara itu, Jabatan Perangkaan menganggarkan jumlah warga asing yang tinggal secara sah di negara ini tahun 2018 ialah sekitar 3.3 juta orang daripada keseluruhan 32 juta penduduk di Malaysia.

Berdasarkan jumlah warga asing yang dinyatakan, ia jelas membimbangkan apabila:

(1) Nisbah hampir 10 peratus warga asing yang duduk secara sah adalah lebih tinggi dengan nisbah penduduk Malaysia berketurunan India hanya sekitar 8 peratus berbanding jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

(2) Bagi nisbah status PATI pula ia lebih tinggi dari warga asing yang sah. NGO Sekretariat Khidmat Imigran (SKI), menyatakan bilangan PATI melebihi jumlah pekerja asing yang memiliki dokumen dan permit sah.

Statistik pada 2014, lebih 6.7 juta pekerja asing, bekerja dalam pelbagai sektor terutama pembinaan dan perladangan dan daripada jumlah itu, hanya 2.1 juta mempunyai permit, bermakna ketika itu ada lebih 4.6 juta warga asing bekerja secara tidak sah di Malaysia. Pada 2017 pula, kira-kira 1.73 juta pekerja asing yang sah berbanding 2.1 juta orang empat tahun sebelumnya. Bayangkan berapakah bilangan PATI yang masih bebas bergerak ke sana dan ke sini dalam Malaysia.

Ini menunjukkan warga asing dalam negara kita sangat besar nisbahnya dan ia dibahagi kepada dua kategori:

(1) Yang memiliki dokumen dan permit yang sah.
(2) PATI. Masuk secara seludup dan haram.

Bagi kategori 1, perlu difikirkan dan dipertimbangkan juga pelan agar nisbah yang ada wajar dan tidak menyebabkan apa sahaja peluang pekerjaan dan manfaat bagi rakyat Malaysia menjadi sempit selain dari ia tetap akan mempengaruhi sosial kehidupan di dalam negara ini.

Adapun bagi kategori 2, ia sememangnya tidak layak berada dalam negara kerana kemasukannya pun secara haram. Setiap negara ada sempadan dan kedaulatan yang mesti dipelihara. Membiarkan kes PATI adalah satu keadaan yang membarahkan tanpa diduga pada masa akan datang malah bila-bila masa.

Bantu pemulihan ekonomi pasca COVID-19

Keadaan negara yang sedang berhadapan pandemik COVID-19 amat membimbangkan jika keberadaan PATI berterusan kerana ia akan lebih memburukkan keadaan dengan berisiko disebabkan penularan yang boleh berlaku.

Malahan, membasmi PATI adalah sangat wajar memandangkan juga ia secara langsung dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sendiri. Apatah lagi pasca COVID-19 memberi kesan kepada ekonomi rakyat khusus B40.

Tambahan pula unjuran yang diperolehi daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada ketika ini juga menunjukkan 2.4 juta rakyat Malaysia berkemungkinan kehilangan pekerjaan disebabkan oleh penutupan atau pengurangan pengoperasian industri termasuk sebahagiannya daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta penguncupan ekonomi Malaysia dan dunia.

Angka 2.4 juta ini tidak termasuk bilangan bakal graduasi universiti yang berhadapan kemungkinan tiada peluang pekerjaan. Justeru, pasca COVID-19 memberikan cabaran besar dalam sektor ekonomi terutama yang baru mencari pekerjaan dan yang masih lagi menganggur.

Apabila jumlah sekian banyak rakyat Malaysia masih lagi tidak terjamin peluang pekerjaan maka ia adalah tidak baik bagi ekonomi negara. Pemulihan ekonomi negara dengan langkah awal mestilah:

(1) Memastikan semua rakyat Malaysia memiliki pekerjaan bagi mendapatkan punca pendapatan.

(2) Penetapan gaji minima bersesuaian dengan kos bebanan sara hidup semasa. Relevansi kaitan gaji minima dengan kos bebanan sara hidup sangat terkait antara satu sama lain. Sebab itu wujudnya jurang kemiskinan yang berbeza antara bandar dan luar bandar.

Dengan ketiadaan PATI, pastinya ruang pekerjaan baru dapat diwujudkan dengan lebih banyak. Kerjasama di pihak majikan juga sangat penting apabila tidak hanya memikirkan mahu ‘menjimatkan kos’ yang akhirnya bersekongkol dalam isu buruh asing dari kalangan PATI. Sifat majikan sebegini adalah tidak wajar kerana ia lebih menyuburkan penyeludupan PATI ke dalam negara ini.

Perlu juga tindakan terhadap pelancong yang ‘bermastautin’ dan penjualan IC palsu

Justeru, tindakan ke atas PATI perlunya tindakan tegas bagi memelihara kesejahteraan negara dan dalam masa yang sama pihak Kerajaan juga boleh mempertimbangkan langkah bagi tindakan Isu pelancong yang ada pengesahan kemasukan namun tiada rekod keluar.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 2 berhubung ketiadaan rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat negara ini dari 2016 sehingga 2018.

Jumlah sebenar yang didedahkan oleh Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) ialah melebihi 115,000 orang. Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 juga mendapati kira-kira 1.26 juta warga China dan 296,000 warga India sedang diproses secara manual di bawah MyIMMs.

Angka yang ada ini menunjukkan keseriusan bagaimana sempadan dan kedaulatan negara seakan rapuh. Ditambah lagi dengan kes penjualan IC palsu kepada warganegara asing yang diambil kesempatan oleh sindiket jahat yang berniatkan keuntungan dan niat jahat ke atas negara.

Bagi memperkasakan lagi, untuk menyekat dan mengesan penipuan warganegara asing yang bermastautin serta menyamar dengan IC palsu, identiti rakyat Malaysia perlu diperketatkan lagi teknikalnya seperti:

(1) Penguasaan Bahasa Melayu yang baik dari sudut pertuturan dan penulisan.
(2) Menghafal lagu Negaraku dan Rukun Negara.

Nampak remeh namun ia asas identiti rakyat sesebuah negara. Isu kedaulatan negara adalah isu yang besar. Musuh boleh menyerang kedaulatan cara kasar dengan menceroboh dan berperang serta cara halus seperti penyeludupan secara rahsia dan menyamar menjadi warganegara palsu.

Hak asasi kemanusiaan tertakluk pada kedaulatan dan budi bicara

Jika laungan hak asasi kemanusiaan yang dimainkan oleh beberapa kumpulan yang ‘sanggup melacurkan negara’, perlu diingatkan bahawa hak asasi kemanusiaan itu perlu hormati dan tertakluk selagimana ia tidak merisikokan kedaulatan negara. Sebab isu utama ialah PATI, mereka seludup secara haram, tanpa dokumen dan permit sah. Jika masuk ke dalam rumah pun memerlukan keizinan maka bagaimana pula masuk ke sempadan negara luar tanpa izin?

Yang kedua, jika warga asing tersebut terkait dengan isu pelarian dari negara perang, negara bergolak dan penindasan negara ia juga bukan tiket bebas memasuki mana-mana perairan menembusi sempadan negara. Ia tetap tertakluk kepada budi bicara negara tersebut.

Dalam hal ini, atas sifat kemanusiaan yang ada, pastinya mana-mana negara akan cuba membantu selagimana tidak timbul isu rentetan seperti:

(1) Lambakan yang melebihi had.
(2) Wujud rekod buruk warga asing yang sedia ada.

Lantaran itu, isu PATI hakikatnya sedia ada sudah parah, jangan ditambah barah pula. Ketetapan menghantar pulang PATI adalah tepat dan wajar untuk lebih disegerakan lagi.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 29/5/2020

- Advertisement -