Utamakan hak asasi nyawa

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia (DMPM) memandang serius isu arak dan kesannya serta menyarankan satu kajian menyeluruh diadakan bagi menyedarkan masyarakat akan bahaya arak. Tanpa mengira kaum, khalayak bersetuju arak bukan budaya yang baik untuk diamalkan. Terkini, kes kemalangan di Kuantan yang melibatkan kematian akibat kecuaian pemandu mabuk harus menjadi satu titik tolak untuk kerajaan memandang serius hal ini.

Kajian bersepadu ini dicadangkan melibatkan semua kementerian yang terbabit bukan sahaja Kementerian Pengangkutan kerana bahaya arak bukan sekadar memberi kesan kepada individu, bahkan melibatkan institusi keluarga apabila berlaku keganasan rumah tangga selain masyarakat dengan terjadinya kes jenayah seperti rogol, bunuh dan lain-lain.

Hakikatnya, sebelum arak membahayakan orang lain, peminum tegar arak sudah meletakkan bahaya tersebut kepada diri mereka sendiri terlebih dahulu memandangkan arak boleh menjadi punca pelbagai penyakit seperti penyakit hati (hepar), sakit jantung dan diabetes mellitus.

- Advertisement -

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa lima peratus daripada kematian di dunia berkait dengan arak. Ini melibatkan kes keganasan, jenayah, kemalangan dan penyakit seperti kanser hati yang melibatkan angka kematian sebanyak 3 billion.

WHO juga sedang merangka pelan tindakan untuk tahun 2022-2030 bagi mengurangkan penggunaan alkohol terutamanya dalam kalangan orang muda. Tindakan awal yang telah diambil antara Mac hingga April 2020 ialah pengurangan iklan arak di media massa.

DMPM merasakan inilah masanya Malaysia mengambil pendekatan serupa dan lebih terkehadapan dalam menangani isu berkaitan arak ini tambahan pula dengan status Malaysia sebagai negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim.

DMPM menyedari isu masyarakat majmuk yang dibangkitkan serta soal hak asasi untuk minum arak, namun simpati kepada mangsa tidak bersalah serta keluarga yang kehilangan mereka sekelip mata mesti mengatasi perhatian kita kepada hak peminum arak. Hak asasi nyawa jauh lebih utama dan mustahak daripada ‘hak asasi’ untuk minum arak.

‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’

SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
28 Mei 2020 | 5 Syawal 1441- HARAKAHDAILY 28/5/2020

- Advertisement -