PAS dalam kerajaan: Ke mana?

KUALA LUMPUR: PAS sehingga kini kekal berpolitik di atas keteguhan prinsip di mana walaupun telah melaksanakan pelbagai pendekatan dan bersama parti-parti berlainan dalam sejarahnya, tetapi dibuat atas neraca keadilan yang menjadi sebahagian tuntutan takwa.

Advertisement

Penegasan tersebut dinyatakan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam program Bual Bicara Politik “PAS Dalam Kerajaan: Ke Mana?” secara langsung menerusi Facebook Penerangan PAS Selangor, malam tadi.

Jelasnya, PAS bersama dengan pemimpin dan parti politik yang dilihat berbeza dengan perjuangannya kerana adanya persamaan dalam mengangkat sesuatu agenda untuk menegakkan keadilan menerusi sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Bukti PAS berpegang kepada prinsip jelas beliau, apabila bersama dengan pemimpin atau parti lain, PAS tidak menjadi seperti parti tersebut, malah tidak berkompromi atau berganjak dengan perkara-perkara melibatkan perjuangan dasarnya.

Katanya, jika PAS mementingkan kuasa, sudah tentu tidak akan bersama dengan Umno yang telah kehilangan kuasa, sebaliknya telah bermuafakat dengan parti itu demi kepentingan Islam, rakyat dan negara serta menyelamatkan dari PH.

Menyentuh isu-isu yang terpalit kepada pemimpin atau parti yang berkenaan, terangnya hal tersebut mesti dilihat dalam aspek pengasingan kuasa melibatkan keadilan untuk melalui proses kehakiman tanpa dipengaruhi atau campur tangan.

Keutamaan yang penting menurutnya, adalah pembawaan keadilan bertunjangkan takwa itu telah meletakkan PAS berpolitik secara keimanan untuk melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dan menjauhi kerosakan dan perbuatan dilarang agama.

Terang beliau, semua pembawaan PAS sebagai parti politik sah dan berdaftar adalah dalam kerangka sistem demokrasi berparlimen sebagaimana termaktub pada Perlembagaan Negara dengan menjadikan gerak kerja politik sebagai medan dakwah.

Sehubungan itu katanya, PAS menyuarakan sesuatu perkara menerusi saluran-salurannya apabila tidak menjadi kerajaan, tetapi apabila menjadi sebahagian kerajaan, maka kedudukan yang ada digunakan untuk pelaksanaan.

PAS dalam Perikatan Nasional

“Kita mengambil bersama-sama kerajaan ini dalam pertengahan jalan. Mungkin untuk menghadapi PRU-15 nanti, habis-habis sangat pun dalam masa mungkin 2 tahun setengah lagi ataupun 2 tahun. Itulah umur hayat yang ada kepada Kerajaan PN ini untuk bertemu sehingga PRU-15.

“Namun begitu, asas pertama agenda kita ialah nak kukuhkan PN yang kita hendak menunjukkan bahawasanya agenda kita ini kerajaan yang tahu teras kepada politik Malaysia ini ialah mesti kekuatannya daripada orang Islam dan Melayu, itu asas dia.

“Keduanya, jangan kita nafikan ialah kewujudan masyarakat majmuk. Ini perkara-perkara yang kita nak buktikan bahawasanya di dalam kita bercakap ini, nak beritahu bahawasanya Malaysia ini bukan sahaja kita katakan satu bangsa sahaja.

“Maknanya memberikan dan meraikan kewujudan masyarakat majmuk yang terdiri dari kalangan berbagai-bagai bangsa etnik ini. Nak buktikan kita ialah bukan satu Kerajaan yang menindas orang lain sebagaimana digembar-gemburkan oleh musuh politik PN,” ujarnya.

Kemukanya, PAS telah menunjukkan dalam pemerintahannya di Kelantan selama 30 tahun walaupun masyarakat bukan Islam tidak sampai 10 peratus, tetapi dapat hidup dalam suasana harmoni, juga sebagaimana di Terengganu.

Jelas beliau, pembawaan itulah antara sebahagian keadilan Islam hingga masyarakat bukan Islam dapat merasakan karamah insaniah sesuai dengan tuntutan Islam supaya menyantuni semua manusia kerana setiap bangsa tidak minta dilahirkan berbeza.

“Yang kedua, apabila kita di dalam kerajaan, termasuklah juga kita pegang beberapa GLC dan juga agensi-agensi lain, kita mesti dan bersama-sama dengan Perikatan Nasional mampu untuk mengurus tadbir negara ini dengan baik. Tidaklah orang anggap bahawasanya PAS ini hanyalah ‘Parti Pak Lebai’.

“(Atau) PAS ini hanya parti boleh memerintah surau masjid sahaja. Perlu kita kena ingat walaupun Menteri kita itu terdiri dari kalangan orang-orang yang kita katakan background agama, namun yang melakukan kerjanya ialah terdiri daripada kalangan pegawai-pegawai kerajaan,” tambahnya.

PAS juga terangnya, mahu menunjukkan kemampuan integriti dan kepimpinan menguruskan negara majmuk ini dengan pentadbiran yang mempunyai wawasan dengan meluaskan penyampaian mesej Islam diperjuangkan. – HARAKAHDAILY 28/5/2020