Hantar pulang PATI, selamatkan negara

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mendukung penuh keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghantar pulang Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang disahkan negatif COVID-19 melalui Mesyuarat Khas Pengurusan Pendatang Tanpa Izin yang telah diadakan pada 26 Mei 2020 yang lalu yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Menteri Kanan (Pertahanan).

Namun, ada pihak tertentu yang mempertikaikan keputusan kerajaan dalam menangani perebakan COVID-19 daripada kalangan PATI dan penghantaran pulang ke negara asal mereka.

- Advertisement -

PAS berpandangan, langkah kerajaan untuk mengambil tindakan dengan menangkap PATI dan menempatkan mereka di depoh tahanan imigresen adalah untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia daripada terdedah risiko penularan wabak tersebut. Kerajaan Malaysia tidak boleh memberi perlindungan kepada PATI kerana mereka memasuki negara Malaysia secara haram. Namun, atas dasar peri kemanusiaan, kerajaan masih memberikan makanan secukupnya termasuk membuat saringan COVID-19 secara percuma dan seterusnya memberikan rawatan di hospital bagi menyelamatkan nyawa PATI dan langkah ini adalah sesuatu yang belum tentu dilaksanakan oleh negara lain. Bahkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang disediakan fasilitinya untuk rakyat Malaysia sekarang ini akan digunakan sebagai Pusat Kuarantin untuk PATI.

Bayangkan berapa kos yang perlu dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai PATI yang tidak pernah membayar sebarang bayaran Levi, Visa dan kos lain kepada kerajaan selama ini. Manakala dalam masa yang sama terdapat rakyat Malaysia pula yang perlu membayar saringan COVID-19.

PATI juga merupakan mereka yang telah mengambil kesempatan sebahagian peluang pekerjaan rakyat Malaysia dan PATI juga mereka yang telah berniaga dan menjejaskan pendapatan peniaga Malaysia. Berapa pula nilai wang yang telah dihantar pulang oleh PATI ke negara asal mereka yang menjejaskan aliran mata wang negara?

Di manakah pejuang hak asasi manusia yang memperjuangkan peluang pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia? NGO Indonesia iaitu Aliansi Organisasi Masyarakat Indonesia (AOMI) menyambut baik usaha Kerajaan PN untuk menghantar pulang PATI pulang ke Indonesia. Begitu juga dengan salah sebuah NGO di Malaysia iaitu Tenaganita yang turut menyokong usaha kerajaan menghantar pulang PATI dalam tahanan ke negara asal mereka.

PAS amat bersetuju dengan pandangan Prof. Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed daripada Universiti Putra Malaysia melalui ulasan beliau di dalam Ruang Bicara, Bernama TV yang mengesyorkan agar kerajaan mengurangkan 30 hingga 40 peratus pekerja asing di dalam negara sebagai usaha membantu rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan. Masanya telah tiba untuk Kerajaan Malaysia memberikan fokus dan keutamaan kepada rakyat Malaysia sahaja dalam berdepan pasca COVID-19 serta mengurangkan pekerja asing secara berperingkat yang dianggarkan berjumlah sekitar lima juta pekerja asing termasuk PATI dan pelarian.

Dalam berhadapan dengan wabak COVID-19 ini juga, kerajaan tidak boleh dilihat oleh rakyat seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan apabila terpaksa menanggung kos rawatan dan saringan COVID-19 PATI tetapi rakyat Malaysia yang kembali ke tanahair selepas 1 Jun 2020 terpaksa menanggung sendiri kos kepulangan mereka.

PAS bersama rakyat Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat dalam memperolehi peluang pekerjaan dan perniagaan di negara sendiri dan mengurangkan bilangan pekerja asing yang meresahkan sebahagian besar rakyat Malaysia.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
28 Mei 2020 | 5 Syawal 1441 -HARAKAHDAILY 28/5/2020

- Advertisement -