Fundamentalism dan sikap umat Islam

- Advertisement -

SIKAP umat Islam

Sebelum ini saya ada mengulas secara kasar mengenai buku The Failure Of Political Islam yang ditulis oleh Oliver Roy [1]. Ya, ia memang tulisan Barat dan bukannya untuk diimani.

Tetapi soalannya sejauh mana orang Islam ‘berusaha’ melepaskan diri daripada sikap yang sudah pun boleh ‘dibaca’ oleh Barat. Bahasa mudahnya, Umat Islam selesa dengan takuk lama.

(2) Kita perlu sedar bahawa tulisan Oliver Roy bukanlah satu takdir. Akan tetapi kita perlu sedar bahawa Barat sangat memahami perangai orang Islam yang ‘tak ke mana’. Sebab itulah beliau dengan selamba menulis buku tersebut.

Sama juga dengan kajian RAND Corporation yang sepatutnya kita ambil untuk dikaji bagi mengenali siapa musuh. Malangnya Umat Islam mengambil remeh hal ini.

Perangai mengambil remeh ini membawa orang Islam ke arah ‘mengekalkan jumud’ dan ‘menjulang taqlid’. Ratusan tahun Orientalis mengkaji mengenai Islam, dan mereka telah buktikan kejayaan mereka.

- Advertisement -

(3) Bacalah sejarah Orientalis betapa liciknya mereka memperdayakan orang Islam. Tetapi Umat Islam masih tidak mengendahkan kerja-kerja musuh terhadap mereka, menjadikan orang Islam itu mengulangi kesilapan lama.

Nak kenal musuh, perlu membaca tulisan mereka, kajian mereka dan pemikiran mereka. Ketika kita mengkaji mengenai Kristian kita perlu mengkaji Bible. Bukan untuk diimani tapi untuk dikaji.

Walaupun kita melaungkan kita tidak akan terpedaya dengan perancangan Barat, namun hakikatnya seolah-olah tulisan Oliver Roy itu dijayakan oleh orang Islam sendiri.

Oliver Roy dan istilah Fundamentalism

(1) Tulisan Oliver Roy diterbitkan pada 1994 pasca kejatuhan Soviet. Walaupun ada yang mengatakan tulisan itu bagi memalapkan kebangkitan Islam era itu, namun kita kena belajar.

Iaitu, belajar daripada kesilapan. Saya menjangka andai Oliver Roy itu seorang Islam, sudah pasti orang Islam mengagungkan ‘kasyafnya’ sahaja. Tidak melihat kepada kesilapan yang dilakukan berulang kali.

(2) Saya pernah menulis mengenai Sektarian Mazhab atau Long War yang memang disasarkan untuk dijayakan pada 2020, sedangkan kajian RAND itu ditulis 16 tahun dahulu. [2]

Isu yang sejak sekian lama ‘dipetik’ masih lagi memercikkan apinya. Permainan Barat yang tidak basi inilah yang menjadi kesilapan buat Umat Islam yang dilakukan berulang-ulang kali.

(3) Bahkan jika Umat Islam ‘rajin’ untuk membaca, boleh dapati kajian-kajian Barat terhadap Islam. Khususnya atas kapasiti nama Fundamentalis Islam, termasuk Oliver Roy sendiri.

Kita boleh fahami perbincangan mereka mengenai Fundamentalis terbahagi kepada dua jenis:

(a) Representasi daripada ‘keburukan’ Islam yang mengancam Barat, Terorisme, kekerasan agama. Lebih kepada menyamakan Fundamentalis Islam dengan Kristian.

Antara tokoh-tokoh yang menilai Fundamentalis dari sisi ini ialah Beverley Milton-Edwards, R. Scott Appleby, Samuel Huntington, Shmuel Bar, Gabriel Ben-Dor.

(b) Kelompok kedua pula ialah kelompok yang dianggap sebagai ‘pengkaji terhadap Islam’ dan mereka tidak sepakat pun untuk menggunakan istilah Fundamentalis ini.

Antara tokoh-tokohnya ialah Oliver Roy sendiri, Mark Juergensmeyer dan lain-lain. Bahkan Oliver Roy membezakan antara Fundamentalis dan Islamism, agak berbeza dengan kelompok pertama tadi.

Tafsiran Fundamentalism

(1) Antara dua kelompok yang mengkaji mengenai Fundamentalis Islam yang saya utarakan tadi, kita dapati bahawa kelompok pertama menganggap gerakan-gerakan Islam hari ini lebih kurang Kristian dahulu.

Contoh Huntington dalam bukunya Clash of Civilization cuba menggambarkan Fundamentalis Islam itu sebagai gerakan teroris lantas mewujudkan fenomena Islamophobia.

Manakala kelompok kedua, Oliver Roy menamakan gerakan Islam sebagai ‘Islamism’ seperti Ikhwan yang ditubuhkan oleh Imam Hassan al-Banna dan Jamaat Islami yang ditubuhkan oleh Abul A’la al Maududi.

(2) Antara yang dinyatakan oleh Oliver Roy ialah para Islamis mencita-citakan Islam menjadi agama sekali gus sebuah ‘ideologi’, sebuah pengetahuan baru yang mereka perkenalkan dan yang menjadi pembeza dengan pandangan para ulamak. Para Islamis menerima pendidikan politik mereka bukan di sekolah-sekolah agama, tetapi pada sekolah tinggi dan kampus-kampus universiti. Bagi mereka, mengawal negara dibolehkan untuk menyebarkan Islam dalam sebuah masyarakat yang telah dirosakkan oleh nilai-nilai Barat dan pada masa yang sama memanfaatkan ilmu dan teknologi.

(3) Kelompok yang kedua ini juga turut bertentangan dengan kelompok pertama yang begitu mudah melabelkan teroris atau keganasan terhadap Fundamentalis Islam.

Antaranya tulisan Mateus Soares de Azevedo dalam bukunya ‘Fundamentalism In Islam, Christianity and Modern Thought’ mengkritik kumpulan pertama yang dilihat tidak cermat dalam melabel Fundamentalism Islam.

Beliau melihat tindakan melabel ‘teroris’ secara semberono terhadap gerakan-gerakan Islam adalah tindakan yang jahat. Lantas beliau menggunakan istilah lain terhadap kumpulan teroris, iaitu Islamic Militant Fundamentalism.

Oliver Roy, Volpi dan Juengensmeyer

(1) Perselisihan kelompok pertama atau kedua dalam menghuraikan istilah Fundamentalism Islam bukanlah menjadi pokok persoalan kita. Apa yang perlu kita fahami ialah bagaimana ‘mereka itu berfikir mengenai kita’.

Kelompok kedua dilihat tidak menafsirkan Fundamentalis secara khusus. Masing-masing punyai tafsiran sendiri. Contohnya Oliver Roy menyebut Islamism, manakala Avedo menyebut Islamic Militant Fundamentalism.

(2) Antara buku yang turut membincangkan hal ini dari kelompok kedua ialah Islam and Democracy: The Failure of Dialogue in Algeria yang ditulis oleh Frederic Volpi yang menyebut Ikhwan sebagai Islamic Activism.

Volpi mengatakan bahawa sejak penyertaan Syed Qutb di dalam Ikhwan membawa perubahan dari sudut sosio-cultural. Syed Qutb membawa kunci kepada kelahiran peradaban Islam.

Namun, menurut Volpi kekurangan strategi politik untuk membentuk keimanan apabila bertembung dengan Kerajaan Otoritarian. Menyebabkan akhirnya pembawaan tersebut ‘tersangkut’.

(3) Mark Juegensmeyer yang sebut tadi, menulis buku Global Rebellion: Religius Challenges to the Secular State from Christian Militias to al Qaeda menolak penggunaan istilah Fundamentalism Islam.

Menurut pandangannya, gerakan Islam seperti Ikhwan disebut sebagai aktivis keagamaan, bukannya Fundamentalism Islam, kerana melihat kewujudan Ikhwan itu lebih dari sudut politiknya.

Banyak lagi perselisihan antara kelompok pertama dan kedua. Yang pastinya rata-rata tulisan mereka memberi kesan yang kuat terhadap penggubalan dasar, serta pelajar Islam moden dan Timur Tengah.

RAND Corp dan Percaturan

(1) Sekadar pandangan saya melihat kajian-kajian RAND lebih tertumpu kepada kelompok pertama. Iaitu menghiasi dunia Islam dengan penuh keganasan, teroris, radikal dan sebagainya.

Manakala kelompok kedua, khususnya tulisan Oliver Roy lebih menjurus kepada realiti dalaman Umat Islam, sikap yang tak berubah, dan dilihat melakukan kesilapan yang sama berulang kali.

(2) Contohnya, Angel Rabasa yang merupakan salah seorang panel tersebut, merupakan Penganalisis Dasar Kanan di RAND Corporation dan ketua penganalisis Pasca 11 September, iaitu Disember 2004.

(a) Beliau dikatakan berjaya merangka ‘projek masa depan’ mengenai keganasan global khusus dalam dunia Islam bertajuk: “Beyond Al Qaeda: Countering Terrorist and Other Non-Traditional Threats.”

(b) Beliau juga menghasilkan satu laporan RAND Corporation yang bertajuk The Muslim World After 9/11 yang menceritakan bagaimana cabaran mereka terhadap Muslim yang dilabel radikal.

(3) Manakala Cheryl Bernard merupakan salah seorang panel kajian RAND yang bertajuk Building Moderate Muslim Network mengkelaskan Fundamentalis sebagai golongan Muslim yang perlu disekat.

Kaedah sekatan itu adalah mempertembungkan dengan kelompok Tradisionalis. Bahasa mudahnya mereka akan menyuburkan sentimen kelompok Tradisionalis Islam.

Kerana ia berpotensi untuk menyekat golongan Fundamentalis yang dilihat ‘mengacau’ Barat. Justeru Umat Islam perlu buat apa? Hanya berdiam diri dan meneruskan kedunguan?

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3566967673344967/?d=n

[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3743896038985462/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 28/5/2020

- Advertisement -