Putuskan rantaian wabak ketagihan arak

- Advertisement -

ARAK adalah minuman yang diharamkan oleh Islam. Tentu sahaja ia membawa mudarat pada individu, masyarakat mahupun negara.

Firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah keji dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah Al Maaidah: 90)

- Advertisement -

Mutakhir, negara menjadi hingar dek isu pemandu mabuk yang membawa kecederaan pada pihak lain bahkan membunuh. Termasuklah merempuh sekatan polis dan membunuh anggota polis yang sedang bertugas.

Apabila ketagihan arak tanpa kawal ini sudah menghasilkan bencana, maka ia menjadi isu negara yang mesti ditangani segera.

Tanpa menafikan, bahawa Islam menghormati hak bukan Islam yang agamanya membenarkan mereka meminum arak.

Namun ketika mana ketagihan arak ini telah keterlaluan malah mencetus musibah kepada masyarakat awam, maka ia bukan lagi menjadi hak mana-mana pihak untuk dihormati.

Bukan Islam tidak berhak (apatah lagi orang Islam), minum arak lalu mabuk dan memandu lantas merempuh mati pihak lain melainkan inilah penjenayah yang mesti diambil tindakan tegas oleh pemerintah.

Pengambilan arak oleh bukan Islam mestilah terbatas. Mestilah dalam premis tertutup dan terkawal sementara penjualannya juga mestilah terhad.

Tidak boleh dijual di kedai serbaneka yang pula beroperasi 24 jam. Apatah lagi dalam kawasan penduduk umat Islam. Tiada keperluan, justeru umat Islam diharam secara total untuk berurusan dengan jual beli arak dan juga meminumnya.

Arak mesti menjadi bahan jualan tersorok kepada mereka yang dibenarkan sahaja. Bukan dipamer pada sudut terbuka atau di kaunter hadapan.

Selayaknya arak hendaklah dijual pada premis berasingan agar ia tidak terdedah pada awam. Tidak dikedai runcit, serbaneka, restoran mahupun hotel yang terbuka awam.

LANGKAH PERTAMA, sementara menanti pihak kerajaan mengambil tindakan tegas, umat Islam diseru bertindak cepat dan pantas agar menjauhkan diri dari berurusan di mana jua kedai runcit, serbaneka, restoran, hotel dan lainnya yang ada menyediakan arak.

Semoga ia menjadi sebahagian dari usaha untuk memutuskan rantaian wabak ketagihan arak yang keterlaluan, sehingga memandu pun dalam keadaan mabuk lantas membunuh jiwa yang tidak bersalah.

Adapun penjenayah alkohol sehingga mengorbankan nyawa orang lain, tentu sahaja mereka mesti dikenakan hukuman setimpal. Pihak kerajaan boleh mengambil langkah segera untuk menanganinya dengan berkesan.

LANGKAH KEDUA, kerajaan melalui kementerian komunikasi dan lainnya boleh mengambil tindakan awal untuk menggiatkan kempen jauhi arak, bahaya arak dan sebagainya (seumpama kempen jauhi dadah) menerusi semua saluran komunikasi kerajaan termasuk media sosial.

Islam Memimpin Perpaduan

USTAZ NASRUDIN HASSAN
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat- HARAKAHDAILY 27/5/2020

- Advertisement -