Pemuda Bukit Gantang cakna kebajikan amilin

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Gantang telah mengambil inisiatif membela kebajikan amilin khususnya guru-guru serta kakitangan PASTI dan SRITI Al-Helmi di bawah seliaan mereka.

- Advertisement -

Ianya berikutan pandemik COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya dan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa menyebabkan ada yang terjejas rutin kehidupan.

Sebanyak RM40,000 telah diperuntukkan hasil sumbangan orang ramai termasuk PAS Bukit Gantang, Dewan Muslimat PAS Bukit Gantang, Alternative Riding Club (ARC), NGO termasuk sumbangan peribadi Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Ketua Pemuda PAS Bukit Gantang, Zu Hazmin Badri berkata, seramai 56 guru dan pembantu PASTI menerima sumbangan barangan keperluan harian dan duit raya, manakala 16 guru serta seorang kerani SRITI Al-Helmi turut menerima sumbangan.

“Selain mereka, kami turut meraikan sukarelawan Jabatan Amal Kawasan di mana seramai 23 anggotanya menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad baru-baru ini.

“Jabatan Amal tetap melaksanakan pelbagai tugasan sepanjang tempoh PKP dan bulan Ramadan yang lalu seperti agihan bantuan COVID-19 anjuran PAS Kawasan, operasi bantuan banjir dan program kebajikan bersama parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban perbelanjaan mereka terutama ketika bencana COVID-19 waktu ini dan membuahkan kegembiraan dalam meraikan sambutan Aidil Fitri.

“Sekiranya tempoh PKP dilanjutkan lagi, kami berhasrat untuk meneruskan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan terutama mendekati golongan asnaf dan mereka yang terkesan agar dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” maklumnya.

Ditanya mengenai perkembangan akademik pelajar-pelajar PASTI dan SRITI sepanjang tempoh PKP, beliau menjelaskan pembelajaran dari rumah secara atas talian merupakan usaha yang dilaksanakan oleh guru-guru waktu ini.

“Alhamdulillah, perkembangannya semakin baik dan ibu bapa bekerjasama membantu pelajar-pelajar mengakses bahan-bahan pelajaran yang dimuatnaik oleh guru-guru mereka.

“Ibu bapa juga turut melunaskan yuran bulanan pelajar dan pihak kami memberikan diskaun agar ia tidak membebankan mereka”, katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2020

- Advertisement -