Pemandu mabuk: Apa penyelesaiannya?

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang menyokong kenyataan media Ketua Penerangan PAS Pusat agar pemimpin negara mengambil tindakan segera dan memberikan perhatian serius dalam menangani isu pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Di negara kita, kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk semakin membimbangkan. Mengapakah perkara sedemikian terjadi? Di Pulau Pinang contohnya dari tahun 2015 hingga tahun 2019 mencatatkan purata 114 kes setiap tahun. Pada tahun lepas kes sebanyak 126 kes.

Adakah penguatkuasaan undang-undang yang lemah atau terlalu mudah minuman keras didapati di pasaran sehingga jumlah kematian saban tahun meningkat angkara minuman yang diharamkan agama Islam itu?

Menurut pandangan Islam, arak adalah perkara yang memabukkan. Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukumnya adalah sama dengan hukum arak iaitu haram dan sebenarnya ia juga membawa mudarat kepada kehidupan manusia. Menurut Ijmak Ulamak, pengharaman arak kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman itu mestilah sama terhadap semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.

- Advertisement -

Ini berdasarkan satu Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud:

“Semua yang memabukkan adalah haram.”

Selain itu, terdapat satu Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah:

“Daripada Abu Malik bin al-Asy’ari R.A, beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Demi sesungguhnya manusia dalam kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain”.”

Tidak hairanlah apabila kita melihat lambakan arak di pasaran dijual secara terbuka terutama di premis 24 jam. Ia boleh membawa kesan yang lebih serius kepada masyarakat jika ia tidak dibendung dengan kawalan yang ketat, dan apa yang membimbangkan lagi jika perkara ini tidak diurus dengan baik lagi maka lebih ramai lah nyawa yang tidak bersalah akan terkorban dengan sikap pemandu mabuk yang tidak bertanggungjawab.

Semoga Malaysia terus maju ke hadapan dan meninggalkan budaya mabuk yang tidak bermanfaat kepada bangsa dan negara.

USTAZ HANIF HARON
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 27/5/2020

Rujukan: https://harakahdaily.net/index.php/2020/05/26/arak-pas-cadang-tubuh-jawatankuasa-khas-kabinet/

- Advertisement -