MB Kedah beri komitmen bantu KFA atasi masalah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberi komitmen akan membantu menangani masalah-masalah berbangkit termasuk isu kewangan yang sedang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

- Advertisement -

Katanya, walaupun KFA merupakan sebuah persatuan dan bukannya agensi kerajaan, namun kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat di mana sukan tersebut mendapat minat dalam kalangan rakyat yang mesti dijaga demi kepentingan ramai.

“Kerajaan pandang serius masalah yang dihadapi. Saya akan merujuk kepada FAM apakah langkah-langkah yang akan kita laksanakan itu bertepatan dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh FAM sebagai badan pengawal, badan induk bola sepak di negara ini. Kerajaan akan cuba bantu.

“Kelulusan kerajaan lama RM1.5 juta untuk bantu bayaran gaji, sebetulnya tak diluluskan lagi. Dicadang, dibentang, tidak dibuat pembayaran RM1.5 juta itu. Saya dimaklumkan dalam mesyuarat tadi kerana kelulusan itu berlaku waktu terlalu hampir dengan peralihan kerajaan.

“Jadi pihak pentadbiran kerajaan berpandangan sebaiknya kelulusan amount sebesar itu dibuat oleh kerajaan barulah yang akan mengambil alih, bukan kerajaan yang hampir-hampir terbalik.

“Jadi kita akan pertimbang untuk meneruskan kelulusan tersebut, di samping inisiatif-inisiatif lain yang diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit,” umumnya.

Makluman tersebut sekali gus merekodkan satu lagi pembohongan yang dibuat secara dakwaan dari bekas EXCO berkenaan kononnya kerajaan negeri di bawah bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir telah meluluskan peruntukan tersebut.

KFA juga maklum Sanusi, telah datang untuk bertemu dengan pihak Pejabat Menteri Besar membentangkan senario semasa prestasi pemain mereka dan berharap pihak persatuan termasuk Presiden dapat menyelesaikan hal-hal berbangkit.

“Presiden KFA yang lepas ialah Menteri Besar. Meletakkan jawatan Menteri Besar Kedah tidak semestinya meletakkan jawatan Presiden KFA. Kerana peletakan jawatan Presiden KFA hendaklah dibuat dalam mesyuarat badan induk itu.

“Jadi, saya harap Presiden yang lepas boleh menyelesaikan, patut menyelesaikan apa-apa masalah berbangkit dalam KFA termasuk kontrak-kontrak yang ditandatangani dengan pihak ketiga, tanpa membuat kajian kewangan terlebih dahulu.

“Komitmen kewangan terlalu besar dalam kontrak yang ditandatangani mengakibatkan KFA berada dalam prestasi kewangan yang tenat. Itu tentang KFA. Jadi Kerajaan Perikatan Nasional, saya bersama EXCO-EXCO saya akan beri perhatian kepada masalah sukan bola sepak ini,” janjinya. – HARAKAHDAILY 27/5/2020

- Advertisement -