Malaysia without PAS

- Advertisement -

SEKITAR lima tahun dahulu, ketika saya masih berulang-alik ke Kota Bharu kerana tugasan di Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG), untuk mengisi masa di ruangan menunggu Subang Skypark, LTSAAS, saya telah membeli buku Garham E. Fuller.

‘A World Without Islam,’ tajuk yang mengundang sebuah wacana yang tajam. Bagi orang memahami perubahan dunia dari kuno kepada moden, dari pra sejarah kepada sejarah, dari dark ages kepada enlightenment, tidak ada siapa pun yang sanggup menafikan peranan besar Islam. Entah apa keadaan dunia sekarang jika Islam tidak didatangkan Tuhan.

Apatah lagi kalau kita memperkatakan mengenai zaman tauhid yang menggantikan zaman syirik. Ahli-ahli sains Barat tidak kurang yang mengikuti ahli-ahli falsafah dan pemikir politik mereka, yang mengakui dengan Islam mereka menemui pencerahan. Agak malang, kerana Barat hanya mengambil kebaikan-kebaikan Islam sehingga mereka mencapai kemajuan, tetapi mereka meninggalkan aqidah tauhid, lalu mereka terperosok dalam kesesatan.

- Advertisement -

Pada awal tahun 2020, seusai Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor, Ustaz Shafie Ngah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berbisik kepada saya, “Tak boleh ke enta tulis sebuah buku, ‘Malaysia Without PAS’ macam tulisan Graham Fuller itu?”

Saya terus ‘menangkap’ dan memahami maksud Ustaz Shafie kerana buku itu sudah lama berada dalam milikan saya. Usulan Ustaz Shafie telah membuka ruang baru dalam kotak fikiran saya. Ya! Bagaimana agaknya keadaan politik Malaysia… Kalau ditakdirkan tanpa PAS? Apa ruginya Malaysia jika PAS tidak pernah wujud? Bagaimanakah hal keadaan perjuangan dakwah dan politik Islam di Malaysia tanpa PAS?

Saya telah mencatat dalam nota-nota peta minda saya mengenai kemungkinan-kemungkinan yang menjadi keadaan sebaliknya, jika tanpa kewujudan PAS. Beberapa point besar yang menjadi keuntungan kepada Malaysia disebabkan adanya PAS juga saya telah catatkan, walaupun belum dicerakinkan. Ia berhajat kepada wejangan dan hujahan yang mendalam.

Tetapi, di luar benak saya, masih tajam kekesalan. Kerana masih ramai yang tidak mensyukuri, lalu mereka hanya mengkaji dan berterima kasih dengan peranan PAS yang mengukuhkan kedudukan Islam, menyelamatkan ketuanan orang Melayu dan menstabilkan politik negara. Setiap kali negara tersepit, PAS datang berperanan! Nah! Lihat sendiri peranan PAS ketika menuntut berkerajaan sendiri pada 1953, memperjuangkan kemerdekaan pada 1957, menghadapi krisis kaum 1969, hinggalah kesediaan PAS bermuafakat dengan Umno sekarang untuk menyelamatkan negara dari politik cacamerba PH.

Yang menjadi persoalan, apakah mereka hanya berhajat kepada peranan politik yang PAS boleh mainkan, tetapi seluruh asas aqidah tauhid yang menjadi sumber sebenar kekuatan PAS mereka tinggalkan. Apakah Islam yang menjadi dasar PAS akan diangkat sebagai dasar negara? Apakah al-Quran dan Sunnah yang menjadi rujukan hukum tertinggi PAS akan dijadikan undang-undang tertinggi negara? Lalu politik negara berhasil dipulihkan, tetapi moral ahli-ahli politik masih berselerakkan.

Jangan ada pemimpin PAS yang cepat langkahnya ke Putrajaya, tetapi lambat tindakannya dalam mengangkat Islam ke persada! Awas! Jangan sampai celaka…

Wahai sebuah penyesalan, kenapa mereka belum belajar dari kesilapan yang berulang.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 27/5/2020

- Advertisement -