Majlis Daerah atasi masalah banjir kilat

KETEREH: Kerajaan negeri menjangka masalah banjir kilat yang sering berlaku di Taman Perumahan Wadi Imam dekat sini dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Penyelia Dun Kok Lanas Ustaz Nik Mahadi Nik Mahmood berkata, Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK-PI) sudah merangka pelan tindakan bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk.

Advertisement

Katanya, banjir kilat berlaku membabitkan penduduk di Taman Perumahan Wadi Imam dan Yik Perdana memandangkan longkang bawah tanah yang dibina pemaju sebelum ini tidak dapat menampung limpahan air hujan.

Katanya, air hujan yang turun ke kawasan tersebut termasuk dari kem tentera di kawasan berdekatan dan Taman Yik Perdana.

“Longkang bawah tanah dibina pemaju tidak dapat menampung limpahan air yang banyak. Selain itu longkang tersebut juga tersumbat.

“Penduduk yang tinggal di kawasan rendah di Taman Wadi Imam terjejas dengan kejadian banjir kilat sejak tahun lepas.

“Lagi pun kawasan itu sebelum ini merupakan kawasan rendah yang ditimbus untuk dibangunkan kawasan perumahan,” katanya di sini.
Semalam media tempatan melaporkan kira-kira 100 penduduk Taman Perumahan Wadi Iman digenangi air setelah berlaku hujan lebat lebih sejam.

Nik Mahadi juga berkata, tindakan pemaju mengalih aliran anak sungai di kawasan perumahan itu antara punca air mudah melimpah apabila berlaku hujan lebat.

Menurut beliau sepatutnya pemaju mengalih aliran anak sungai tersebut di kawasan tepi taman perumahan dan bukannya berdekatan dengan rumah penduduk.

Oleh itu beliau berharap penduduk di kawasan tersebut bersabar memandangkan pembinaan longkang akan dilaksanakan MDK-PI tidak lama lagi.- HARAKAHDAILY 27/5/2020