DEWAN Pemuda PAS Negeri Pahang ingin merakamkan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Irwan Herman (41 tahun), kakitangan Syarikat Alam Flora yang telah terkorban akibat dirempuh oleh kenderaan yang dipandu melulu oleh seorang individu mabuk di Jalan Pintasan Kuantan malam semalam semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan di tempatkan bersama orang-orang yang beriman.
Kes korban nyawa angkara kecuaian dan pemanduan melulu oleh individu mabuk ini semakin kritikal saban hari. 2 minggu yang lalu, negara dikejutkan dengan kematian anggota polis yang sedang bertugas angkara dirempuh pemandu mabuk di Kajang. Kes ini seperti tidak diambil pengajaran oleh sesetengah daripada rakyat Malaysia apabila kes kematian angkara pemandu mabuk berulang lagi di sini semalam dalam bulan perayaan umat Islam pula.
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang mendesak isu kematian angkara pemandu mabuk ini dipandang serius dan diambil tindakan tegas segera oleh pihak kerajaan. Satu tindakan drastik perlu diambil segera oleh pihak kerajaan sebagai tanda komitmen tinggi kerajaan bagi menangani isu ini daripada terus berulang.
Kami mendesak supaya pengeluaran dan penjualan arak dan minuman beralkohol dihentikan serta merta secara total bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas arak. Fakta menunjukkan di United Kingdom (UK), angka rasmi jenayah akibat meminum alkohol adalah 45-46 peratus kejadian jenayah, 39 peratus keganasan rumah tangga dan hampir 1 juta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk. Ia jelas menunjukkan bahawa meminum arak bukanlah budaya yang baik dan sihat. Tambahan pula dengan perkembangan semasa akibat bahana arak ini semakin kritikal, adalah sangat tepat jika kita menghentikan terus pengeluaran dan penjualan arak di negara ini. Ini merupakan komitmen kita untuk serius membendung korban dan masalah angkara arak daripada terus meningkat di negara ini.
Kami juga mendesak agar pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang berkait dengan memandu dalam keadaan mabuk seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan hari ini mestilah lebih ketat dan tegas. Kami berpandangan agar diteliti semula kebenaran untuk memandu kenderaan di atas jalan raya bagi individu yang mempunyai 0.08 peratus kandungan alkohol dalam darah (BAC) dengan meletakkan 0 peratus BAC (zero tolerance) untuk kebenaran memandu di jalan raya.
Kami juga mendesak agar pindaan Akta 333 ini meletakkan hukuman kepada pesalah di bawah akta ini pada tahap maksimum bagi menggerunkan pesalah-pesalah di bawah akta ini. Kami berpandangan dengan hukuman penjara minimum 3 tahun dan maksimum 10 tahun, denda dan hilang kelayakan lesen memandu selama 5 tahun tidak langsung menggerunkan pesalah-pesalah ini. Oleh itu kami mencadangkan agar hukuman Diyat (ganti rugi) berbentuk pampasan wang yang tinggi diberikan kepada mangsa dan waris mangsa terhadap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk yang mengakibatkan kemalangan. Hukuman Diyat ini juga pernah dicadangkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agung, As-Sultan Abdullah Ra’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Sultan Pahang pada tahun 2017. Melalui hukuman Diyat ini secara dasarnya, akan memerintahkan pesalah membayar ganti rugi atas kesalahan yang dilakukannya samada melibatkan kehilangan nyawa, kecederaan anggota badan mahupun kerugian ekonomi. Diyat juga akan membela hak dan kebajikan ahli waris dan keluarga mangsa sekiranya berlaku kematian disebabkan perlakuan pesalah tersebut. Selain ia juga, Diyat turut membuka ruang alternatif kepada waris si mati untuk memberi kemaafan bagi memberi peluang kepada pesalah untuk menebus kesalahan mereka dengan gantirugi berbentuk kewangan sahaja.
Kami juga ingin mencadangkan kesalahan memandu secara mabuk sehingga membawa kematian ini diletakkan di bawah Kanun Kesiksaan yang boleh dihukum mati mendatori. Sepertimana kesalahan memiliki senjata api tanpa kebenaran boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup kerana boleh membawa risiko kematian dan pembunuhan, begitu jugalah dalam isu memandu secara mabuk ini. Meletakkan hukuman pada tahap maksimum ini penting bagi menimbulkan kegerunan dalam kalangan rakyat negara ini untuk tidak melakukan kesalahan di bawah akta ini.
Besar harapan kami dan rakyat Malaysia agar kes ini merupakan kes yang terakhir dan tidak akan kedengaran lagi korban nyawa angkara pemandu mabuk ini selepas ini. Maka kerana itu, kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik, marilah kita bersama berganding bahu bagi bersama membantu kerajaan menangani kes pemandu mabuk ini bagi melahirkan masyarakat dan negara yang harmoni dan sejahtera.
“Demi Islam”
“Islam Memimpin Perpaduan”
YB USTAZ MOHD ZAKHWAN AHMAD BADARDDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP)
ADUN Tahan – HARAKAHDAILY 27/5/2020