Berpolitik adalah tanggungjawab umat Islam (Bah. 1)

- Advertisement -

WUJUD sebilangan daripada kita yang beranggapan politik adalah kotor dan hanya tugas mereka yang terlibat dalam parti politik serta mereka yang cari pendapatan melalui jalan pilihan raya. Namun, hakikatnya Islam memberikan kefahaman yang berbeza melalui dalil al-Quran, hadis, dan ijtihad alim ulamak.

Mari kita fahami apakah yang ingin difahami oleh Islam mengenai politik ke atas manusia yang diutus oleh Allah S.W.T ke atas muka bumi ini.

Di dalam dunia ilmu Islam, politik disebut sebagai al-siyasah atau lebih terperinci sebagai al-siyasah al-syar’iyyah.

Siyasah (politik) dari sudut bahasa (Arab) bermaksud menyusun, mengurus, atau mentadbir. Menurut Ibnu Manzur, di dalam kitabnya Lisanul Arab, siasah bermaksud “mendirikan sesuatu perkara yang memberikan kemaslahatan kepada perkara yang ditadbir olehnya”.(1)

- Advertisement -

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

كَانَتْ بَنُو إسرَائِيلَ تَسُوسُهُم الأَنبِيَاء، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبيٌّ، وَإنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيكُونُ بَعْدِي خُلفَاءُ فَيَكثرُون…
“Adapun Bani Israel itu ditadbir oleh para Nabi-nabi, setiap kali tiadanya Nabi, maka akan diganti dengan Nabi yang lain dan sesungguhnya tiada Nabi selepas daripadaku, aka nada selepas daripada aku khalifah-khalifah dan mereka ini ramai…”
(متفقٌ عليه :HR al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, makna siyasah yang dibawa ialah bermaksud mentadbir urusan masyarakat (kaum Israel).

Syari’ah dari sudut bahasa bermaksud jalan atau sebuah landasan atau tempat keluarnya air. Manakala syari’ah dari sudut istilah ialah setiap perkara yang disyariatkan oleh Allah S.W.T ke atas hamba-Nya melalui hukum-hukum (yang telah ditetapkan di dalam al Quran dan Hadis Nabi Muhammad S.A.W .(Abdul Karim Zaidan, 2005) (2)

Maka, makna al-Siyasah al-Syar’iyyah dari sudut istilah adalah bermaksud mentadbir urusan manusia dengan setiap perkara yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T ke atas hamba-hamba-Nya melalui hukum-hukum yang telah ditetapkan demi kemaslahatan mereka yang ditadbir. Al-Siyasah al-Syar’iyyah menjadi sandaran asas kepada seluruh ahli ilmu Islam dan para pemimpin Islam dalam mengembangkan Ilmu politik Islam dan pentadbiran Negara Islam.

Pandangan ulama terhadap al-Siyasah al-Syar’iyyah;

1) Ali bin Muhammad bin Habib Al-Mawardi.

al-Siyasah adalah bermaksud melaksanakan setiap perkara yang telah disyariatkan di dalam Islam, dan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai sumber yang dijadikan rujukan untuk dilaksanakan. Kepimpinan Negara bertanggungjawab mengganti tugas kenabian untuk memelihara Islam dan mentadbir dunia dengan Islam. Maka adapun hukum bagi manusia untuk melaksanakannya adalah wajib dengan ijma’.(3) 

2) Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Al-Siyasah Al-Syar’iyyah merangkumi hubungan seorang hamba dengan Tuhannya (fiqh al-Ibadat), merangkumi hukum hakam khas seseorang (fiqh al-Halal dan al-Haram), merangkumi hubungan seseorang dengan keluarganya (fiqh al-Usrah), hubungan seseorang dengan seseorang yang lain (fiqh al-Muamalat) dan merangkumi hubungan seseorang pemerintah dengan rakyatnya.(4)

Al-Siyasah Al-Syar’iyyah ialah suatu perkara yang dibangunkan di atas rumus-rumus syari’ah, hukum-hukum syari’ah, dan garis panduan serta hala tuju syari’ah. Tidak ada khilaf dengan apa yang dimaksudkan dengan syar’iah di dalam istilah Al-Siyasah Al-Syar’iyyah iaitu mengambil segala yang ada di dalam syar’iah secara mutlak, sumber dan hala tujunya, dan menggunakan segala sistem syari’ah yang ada di dalam siyasah.(5) 

3) Abdul Hadi Awang

Perkara pemerintahan dan siyasah adalah menjadi keperluan asas kepada manusia dan ianya adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Tidak boleh dipisahkan perkara pemerintahan dengan apa yang diajar oleh Islam kerana ianya sabit secara jelas di dalam nas-nas al-Quran, sunnah Rasulullah, amalan para sahabat, dan ditegaskan oleh para ulama di dalam penulisan dan lisan mereka. Pandangan yang memisahkan Islam dan politik adalah sebuah berntuk penyelewangan.(6)

4) Abdul Wahab Khallaf

Al-Siyasah Al-Syar’iyyah ialah mengurus pentadbiran umum Negara Islam dengan mendapatkan kemaslahatan bagi negara serta menghindari kemudaratan iaitu dengan tidak melangkaui ketetapan yang telah ditetapkan oleh syara’ atau nilai-nilai umumnya meskipun tidak bertepatan dengan pendapat para alim yang mujtahid. Apa yang dihendaki dengan maksud mengurus pentadbiran umum ialah setiap perkara yang menjadi tuntutan kepada usaha menghidupkan sistem pentadbiran negara sama ada dari sudut konteks perlembagaan, harta (ekonomi), perlaksanaan syariah, undang-undang, dan perlaksanaan dasar Negara.(7)

Berdasarkan kepada pendapat-pendapat ulama di atas, secara keseluruhannya konsep al-Siyasah al-Syariyyah dapat disimpulkan seperti berikut:

i. Umat Islam diwajibkan untuk melibatkan diri di dalam siyasah bagi melunaskan tanggungjawab seorang khalifah (mengamalkan syariat dalam diri sendiri, memelihara syariat Islam dan mentadbir dunia dengan syariat Islam).
ii. Melaksanakan Islam di dalam pentadbiran Negara secara menyeluruh.
iii. Mentadbir Negara dengan menjamin kemaslahatan bagi Negara dan mengindari kemudaratan bagi Negara dalam perkara yang tidak dinyatakan di dalam nas secara jelas

Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W merupakan sumber utama dalam ilmu al-Siyasah al-Syariyyah.  Al-Quran bermaksud wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui malaikat Jibril A.S, membacanya adalah sebuah ibadah, mukjizat dari sudut bahasa dan maknanya, diturunkan secara mutawatir dan dimulakan dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.

Hadis Nabi Muhammad S.A.W atau al-Sunnah pula bermaksud setiap perkara yang disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W sama ada dari sudut perbuatan, perkataan, dan pengakuan Nabi Muhammad S.A.W.

Al-Quran telah menerangkan secara jelas akan tujuan manusia diciptakan iaitu bukan sekadar menjadi hamba Allah S.W.T bahkan menjadi Khalifah di atas muka bumi ini.

Menurut Abdul Hadi Awang (1998) al-Quran telah menggariskan peranan manusia itu kepada tiga yang utama iaitu beribadah kepada Allah (al-Zariat: 56-58), memikul amanah (al-Ahzab: 72-73), dan menjadi khalifah (al-An’am: 165).(8) 

Allah S.W.T berfirman :

وَإِذ قَالَ رَبُّكَ لِلمَلَٰئِكَةِ إِنِّي جَاعِل فِي ٱلأَرضِ خَلِيفَة
قَالُواْ أَتَجعَلُ فِيهَا مَن يُفسِدُ فِيهَا وَيَسفِكُ ٱلدِّمَاءَ وَنَحنُ نُسَبِّحُ بِحَمدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعلَمُ مَا لَا تَعلَمُونَ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.”
(Surah Al-Baqarah: 30)

Muhammad Ali al-Sobuni (1981) di dalam kitabnya Sofwatul Tafasir menafsirkan makna khalifah di atas muka bumi ialah dengan makna Allah melantik pengganti (wakil) kepada Allah yang akan menjalankan segala hukum-hukum Allah dan yang dimaksudkan ialah Nabi Adam AS atau penggantinya yang akan silih berganti kurun demi kurun.(9) 

Berdasarkan makna istilah khalifah yang telah dinyatakan oleh Muhammad Ali al-Sobuni ini, kita dapat kita fahami bahawa manusia yang diutus di atas muka bumi ini bukan sekadar hidup untuk kehidupan diri sendiri semata-mata bahkan ditaklifkan untuk bermasayarakat dan mentadbir dunia ini dengan Islam.

Firman Allah S.W.T :

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
(Surah Al-Nisa’: 58)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
(Surah An-Nisa’: 59)

Muhammad Ali al-Sobuni (1981) menukilkan pendapat Imam Ibnu Kasir yang menafsirkan ayat إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا   dengan maksud memberikan amanah kepada ahli yang mahir untuk melaksanakannya dan amanah ini termasuk amanah melaksanakan hak-hak Allah ke atas hamba-Nya seperti solat, puasa, zakat, kaffarah dan lain-lain. Selain itu, amanah yang dimaksudkan juga ialah urusan amanah dalam kalangan manusia seperti kewangan (ekonomi) dan lain-lain.(10)

Muhammad Ali al-Sobuni (1981) juga menafsirkan يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ dengan maksud mentaati Allah dan Rasul melalui berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah dan mentaati pemimpin sekiranya pemimpin tersebut Muslim yang berpegang teguh dengan syariah Allah kerana secara prinsipnya tiada ketaatan kepada manusia dalam melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.(11)

Melalui ayat 58 dan 59 surah al-Nisa’ ini, dapat disimpulkan bahawa Allah S.W.T memberikan arahan kepada seluruh manusia untuk melakukan 3 perkara dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang khalifah di atas muka bumi ini.

i. Menyerahkan urusan mentadbir dan mengurus manusia kepada mereka yang mahir dan layak untuk memikul tanggungjawab ini.

Menurut Imam al-Mawardi di dalam kitabnya Al-Ahkam Al-Sultaniyyah, ciri-ciri utama yang wajib ada bagi pemimpin yang hendak diberikan amanah ada 7 ciri:(12)

i. Adil
ii. Berilmu (faqih) sehingga mampu untuk berijtihad dengan dalil-dalil dan hukum-hukum.
iii. Sihat pancaindera untuk mendengar, melihat dan bercakap.
iv. Sihat anggota tubuh badan daripada sebarang kekurangan untuk bergerak menunaikan tanggungjawab.
v. Pemikiran yang cerdas untuk mengurus rakyat dan mentadbir ke aras kemaslahatan Negara.
vi. Keberanian sehingga mampu mempertahankan kubu (Negara) dan memerangi musuh.
vii. Keturunan kaum yang majoriti Islam (Quraisy)

Quraisy yang dinyatakan di dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh Imam al-Mawardi ini ialah berdasarkan hadis Nabi Muhammad S.A.W.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

الأئمة من قريش
“Kepimpinan itu mestilah daripada Quraisy”
(HR Ahmad)

قدموا قريشًا ولا تقدموها
“Utamakan Quraisy, jangan kamu utamakan selain daripada Quraisy.”
(HR al-Thabrani)

Ketika Nabi Muhammad S.A.W wafat, para Sahabat berhimpun di Saqifah bani Saidah bagi menyelesaikan urusan umat Islam yang utama iaitu melantik pemimpin umat Islam selepas tiadanya Nabi Muhammad S.A.W meskipun ketika itu urusan menyimpan jenazah Baginda S.A.W masih belum selesai.

Berdasarkan peristiwa yang dilakukan oleh para Sahabat ini, dapat difahami oleh kita bahawa urusan melantik pemimpinan umat Islam adalah perkara yang sangat penting melebihi urusan menyimpan dan meratapi pemergian Rasulullah S.A.W.

Ketika para Sahabat berbincang di Saqifah Bani Saidah, para Sahabat mempunyai beberapa pendapat dan umat Islam terbahagi kepada dua iaitu Ansar ahlul Madinah dan Muhajirin ahlul Makkah daripada keturunan Quraisy.

Saad bin Ubadah mewakili umat Islam daripada golongan Ansar ahli Madinah turut memberikan beberapa pendapat, antaranya, “lantiklah dalam kalangan Ansar seorang pemimpin (Amir) dan daripada kalangan Muhajirin seorang pemimpin.”

Namun di balas oleh Abu Bakar, “Tidak, tetapi daripada kami pemimpin utama (Amir) dan daripada kalian ahli eksekutif (Menteri)”. Lalu Abu Bakar al-Siddiq bacakan hadis Nabi Muhammad S.A.W, “Sesungguhnya kepimpinan itu mestilah daripada Quraisy.”

Makna Quraisy yang dinyatakan di dalam hadis ini bukanlah kerana Quraisy itu sendiri kerana di dalam Islam semua manusia adalah sama meskipun berlainan bangsa, keturunan, dan Negara kecuali takwa.

Allah S.W.T berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Surah al-Hujurat: 13)

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

يا أيُّها الناسُ إنَّ ربَّكمْ واحِدٌ ألا لا فضلَ لِعربِيٍّ على عجَمِيٍّ ولا لِعجَمِيٍّ على عربيٍّ ولا لأحمرَ على أسْودَ ولا لأسودَ على أحمرَ إلَّا بالتَّقوَى إنَّ أكرَمكمْ عند اللهِ أتْقاكُمْ
“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhanmu adalah satu, sesungguhnya tiada kemuliaan bagi orang arab ke atas orang bukan arab, dan tiada kemuliaan orang bukan arab ke atas arab, dan tiada kemuliaan orang yang berkulit putih ke atas orang yang berkulit hitam, dan tiada kemuliaan orang yang berkulit hitam ke atas orang yang berkulita putih kecuali dengan takwa, sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah yang paling bertakwa.”
(HR Jabir bin Abdillah)

Quraisy yang dinyatakan dalam hadis ini ialah kerana sifat khusus yang ada pada kaum Quraisy iaitu sabagai kaum yang majoriti dan paling hebat yang menjadi umat Islam pada ketika itu. Dengan melantik pemimpin umat Islam daripada kaum yang majoriti akan menjamin kestabilan dalam poitik umat Islam pada ketika itu.

ii. Setiap pemimpin masyarakat mestilah mentadbir rakyatnya dengan adil tanpa menzalimi sesiapa meskipun berbeza kaum, bangsa, kerabat, jantina, agama dan Negara.

Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya atau memberikan sesuatu hak kepada yang selayaknya. Kata lawan bagi adil ialah zalim. Allah mengharamkan diri-Nya dan sekalian makhluk untuk melakukan kezaliman.

Sabda Rasulullah S.A.W dalam hadis qudsi:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَنَّهُ قَالَ : يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا….
“Daripada Abi Zar RA, daripada Nabi Muhammad SAW yang meriwayatkan daripada Allah azza wa jall, “wahai hambaku sesungguhnya Aku mengharamkan berlaku zalim ke atas diriku, dan Aku jadikannya ke atas sesame kalian perkara yang diharamkan, maka janganlah kalian melkaukan kezaliman.”
(HR Muslim)

Islam mengharamkan umatnya melakukan kezaliman sekalipun ke atas orang bukan Islam. Inilah disiplin yang diajar oleh Islam kepada umat Islam yang iaitu berakhlak dengan sesiapapun meskipun mereka bukan daripada kalangan Umat Islam.

iii. Allah mewajibkan ke atas seluruh umat Islam yang beriman kepada Allah untuk menjadi rakyat yang mentaati setiap perkara yang diputusakn oleh pemimpin yang dilantik daripada kalangan mereka.

Ini adalah merupakan keistimewaan bagi Negara yang mempunyai rakyat yang beragama Islam. Mereka diwajibkan oleh Allah S.W.T untuk mentaati setiap undang-undang dan polisi yang diputuskan oleh pimpinan Negara mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak.

Umat Islam mentaati pemimpin mereka bukan kerana takutkan undang-undang, tetapi mereka mentaati pemimpin mereka kerana iman dan rasa penghambaan diri kepada Allah. Bagi seluruh umat Islam yang beriman, mentaati pemimpin ibarat mentaati Rasul, mentaati Rasul ibarat mentaati Allah.

Bersambung..

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Pelajar Master UTM – HARAKAHDAILY 27/5/2020

Rujukan :
(1) Ibnu Manzur(630-711H), Lisanul Arab, Beirut : Darul Sadir,Jilid 6, ms107
(2) Abdul Karim Zaidan (2005), al-Madkhal Lidirasati al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut : Muassasah al-Risalah al-Nasyirun,ms38
(3) Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah (Tahqiq :Ahmad Jad, 2006), Darul Hadis-Qaherah, Ms 15
(4) Dr Yusuf Al-Qaradhawi (2011), Al-Siyasah –Al-Syar’iyyah fi Dhaw’ Nusus al-Syari’ah wa Maqasidiha, (Maktabah Wahbah-Qahirah) ms 15
(5) Dr Yusuf Al-Qaradhawi (2011), Al-Siyasah –Al-Syar’iyyah fi Dhaw’ Nusus al-Syari’ah wa Maqasidiha, (Maktabah Wahbah-Qahirah) ms 27
(6) Abdul Hadi Awang (1995), Sistem Pemerintahan Negara Islam, Pulau Pinang : Dewan Muslimat SDN BHD, ms 8
(7) Abdul Wahab Khallaf (1988), Al-Siyasah Al-Syariyyah fi Syu’uni Al-Dusturiyyah wa Al-Maliyyah, Darul Qalam, ms20
(8) Abdul Hadi Awang (1995), Sistem Pemerintahan Negara Islam, Pulau Pinang : Dewan Muslimat SDN BHD,ms 5
(9) Muhammad Ali al-Sobuni (1981M), Sofwatul Tafasir, Darul Quranul Karim-Beirut, Jilid 1, ms 48
(10) Muhammad Ali al-Sobuni (1981), Sofwatul Tafasir, Darul Quranul Karim-Beirut, Jilid 1, ms 285
(11) Muhammad Ali al-Sobuni (1981), Sofwatul Tafasir, Darul Quranul Karim-Beirut, Jilid 1, ms 285
(12) Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi, (Tahqiq :Ahmad Jad, 2006), al-Ahkam al-Sultaniyyah, Qaherah : Darul Hadis, Ms20

- Advertisement -