Ulamak Pahang mahu isu pemabuk serius ditangani

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang menyeru pemimpin negara supaya mengambil tindakan segera dan memberikan perhatian serius dalam menangani isu pemandu di bawah pengaruh alkohol.

- Advertisement -

Ketua Ulamak PAS Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud dalam satu kenyataan menyifatkan masalah tersebut sebagai isu negara yang membabitkan nyawa rakyat tidak berdosa menjadi korban angkara pemandu mabuk.

Menurutnya, perkara ini bukan sahaja mengancam nyawa orang ramai, bahkan mengakibatkan kesedihan, kesusahan dan kemarahan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia atau cedera di mana sudah terlalu kerap dan sentiasa berulang kes kemalangan maut itu.

Terbaru semalam, kemalangan  di Jalan Kuantan By-Pass Semambu Kuantan yang dikatakan berpunca dari pemandu mabuk mengorbankan seorang mangsa dikenali sebagai Irwan Herman Kamarudin, 41 tahun.

Mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja terbunuh setelah kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain dipandu secara berbahaya dari arah bertentangan iaitu oleh suspek pemandu mabuk tersebut.

Maka serunya, atas kesedaran betapa pentingnya sesebuah kerajaan memelihara keselamatan dan nyawa rakyat, Dewan Ulamak PAS Pahang menyarankan beberapa langkah yang perlu dilakukan segera oleh pihak kerajaan.

“Antaranya mengharamkan terus aktiviti meminum arak dan semua jenis minuman keras yang memabukkan ketika memandu dan di khalayak ramai kerana ancaman kemudaratannya kepada masyarakat awam.

“Ini berdasarkan kaedah fiqh, “Kemudaratan itu hendaklah dihilangkan”. Juga menggubal dan menguatkuasakan undang-undang lebih tegas dan hukuman lebih berat kepada mereka yang mabuk ketika memandu.

“Selain itu, melarang penjualan arak secara terbuka di pasaraya, mini market dan kedai serbaneka 24 jam bagi mengekang pembelian arak secara berleluasa.

“Termasuk mengenakan tindakan yang tegas terhadap penjualan arak di kalangan orang Islam serta golongan bawah umur bagi membendung gejala yang negatif ini dari awal,” kemukanya yang juga ADUN Damak.

Malaysia sarannya, turut diminta mencontohi beberapa buah negara bukan Islam yang telah menguatkuasakan undang-undang sangat tegas terhadap pemandu mabuk. – HARAKAHDAILY 26/5/2020

- Advertisement -