Hantar pulang semua PATI ke negara asal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa kerajaan akan menghantar pulang semua pendatang asing tanpa izin yang disahkan tidak dijangkiti Covid-19 ketika ditahan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) ke negara asal.

Katanya, dalam Mesyuarat Khas Pengurusan Pendatang Tanpa Izin (PATI) pagi tadi, Kementerian Luar diminta untuk berbincang dengan rakan sejawat dan kedutaaan negara berkaitan berhubung urusan membawa pulang rakyat mereka.

- Advertisement -

“Antara perkara lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat itu adalah saringan Covid-19 akan dilakukan ke atas semua pendatang tanpa izin di 3 Depoh Imigresen iaitu KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih.

“Bagaimanapun (warga asing) yang positif kita rawat. Mereka yang negatif di pusat tahanan seluruh negara perlu dihantar pulang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, kerajaan kini sedang melakukan persediaan bagi menghadapi peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan PATI di Depoh tahanan.

“Kita (kerajaan) bimbang takut hospital tidak mencukupi untuk memuatkan mereka kerana Maeps (Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang) hanya boleh memuatkan 600 pesakit sahaja sedangkan kini sudah ada 230 warga asing yang dirawat di sana,” ujarnya.

Justeru, katanya terdapat dua lagi pusat rawatan, iaitu Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh dan bangunan wad bersalin lama Hospital Kuala Lumpur, akan dikhaskan untuk merawat golongan itu, jika bilangan jangkitan terus meningkat.

Jelasnya, ketiga pusat rawatan itu dijangka mampu untuk menampung 1,430 pesakit.

Ismail Sabri turut memaklumkan 4,292 daripada 5,236 tapak pembinaan masih tidak dibenarkan menyambung semula operasi.- HARAKAHDAILY 26/5/2020

- Advertisement -