Siapa di sebalik pihak yang tuduh PAS Wahabi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tuduhan disemarakkan pihak tertentu kononnya PAS membawa agenda Wahabi sebenarnya dilakukan oleh golongan yang dikuasai kebencian hitam terhadap PAS, demikian menurut Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

- Advertisement -

“Itulah yang menyatukan dan menggerakkan mereka. Bukannya kebencian terhadap Wahabi ataupun penampilan kecintaan terhadap Ahlul Bait sebagai pendorong sebenar yang mutlak bagi mereka dalam menyerang PAS.

“Fitnah terhadap Ikhwan dan Harakah Islamiyyah oleh Barat dan sebahagian tokoh ilmuan Islam yang oportunis, serta fahaman bahawa perjuangan politik semasa bukan ajaran Islam tetapi adalah aspirasi golongan Khawarij moden, telah menyebabkan mereka memakai kaca mata gelap yang penuh buruk sangka terhadap PAS.

“Adapun Wahabi di dalam kalangan pihak lain atau di kalangan sebahagian Arab atau di kalangan keluarga dan rakan niaga mereka bukanlah menjadi fokus mereka yang utama,” ujar beliau membongkar sikap hipokrit pihak tersebut.

Sebagai contoh kemuka beliau, walaupun seseorang pencinta Ahlul Bait atau seorang tokoh ulamak atau seorang yang bermazhab Asyairah, akan tetap dipandang dengan prejudis dan dicari sebarang kesalahan atau kesilapan untuk diserang dan difitnah.

Semata-mata menurutnya, kerana orang berkenaan adalah abna’ul harakah dan daripada PAS, sekali gus peringat beliau wajib dibezakan mereka dari para Ahlul Bait dan pencinta Ahlul Bait yang mukhlisin dan kekal mendisiplinkan diri mereka dengan akhlak Islam.

Juga nasihat beliau, serta perlu mengenali mereka itu dan menjauhi polemik dikembangkan golongan tersebut yang hakikatnya tidak menambah amal soleh, bahkan sebaliknya pula menumpuk dosa dalam kalangan umat.

Begitu juga seru beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka, wajib dibezakan mereka dari para ulamak dan asatizah yang mempertahankan Asyairah sebagai mazhab sawadul A’zhom.

“(Iaitu) mereka yakini kebenarannya tanpa dihantui kebencian terhadap PAS dan Harakah Islamiyyah bahkan mencintai PAS sebagai medan jihad siyasi yang wajib dipertahankan.

“Yang demikian agar kita tidak dijebak oleh permainan Amerika yang mengadu domba umat di satu pihak dan dijebak pula untuk membenci dan memusuhi ahlul khair minas Solihin wal Ulama Al-Mukarramin.

“Serta diperangkap oleh sikap kita yang tidak cermat dan terburu-buru ke dalam ketidakpercayaan sesama para amilin dan keretakan di dalam sof jamaah.

“Cukuplah para amilin dari kalangan asatizah itu menerima tekanan dari golongan yang dihantui kebencian terhadap PAS untuk kita pula menambahnya lagi dengan sikap bodoh dan serba pandai kita,” ujarnya mendedahkan motif pihak berkenaan.

Justeru itu lontar beliau lagi, apabila telah berusaha mengidentifikasikan masalah sebenarnya, maka langkah yang betul ialah memfokuskan kepada kerja-kerja perjuangan Islam dalam membina dan membangunkan umat dengan Islam.

Selain tegasnya, memperkecilkan ruang fitnah dengan mengelakkan sebarang justifikasi fitnah yang golongan tersebut lontarkan terhadap PAS sama ada dalam ucapan mahupun tindakan.

“Dan seterusnya jangan menutup mata dari golongan yang tersasar menggunakan platform PAS untuk menyebarkan mazhab tertentu mereka. PAS adalah jamaah yang menghimpunkan tenaga umat di dalam sebuah Harakah Islamiyah dan jihad siyasi.

“(Ini) bagi mendepani rencana jahat Barat dan menegakkan Islam sebagai addin wad daulah bagi mengembalikan semula kekuatan umat. PAS tidak boleh menjadi alat kepada mana-mana kecenderungan selain dari Harakah Islamiyah yang bijak menyatukan ummat dalam kepelbagaian mereka.

“Mesti menutup ruang perselisihan yang tidak sihat serta perpecahan yang menghancurkan kekuatan ummat. Kecenderungan Harakah Islamiyah inilah yang wajib menguasai kebijaksanaan seluruh amilin walau kecenderungan apa pun mereka dan di medan mana pun mereka bergerak bersama masyarakat.

“Sehingga dengan itu langkah perubahan kepada Islam dapat hidup dengan subur dan ummat dapat dipimpin dengan selamat. Kecenderungan Harakah Islamiyah ini adalah suatu rahmat yang luar biasa diberikan Allah kepada umat. Oleh itu jangan sekali-kali ditinggalkan kebijaksanaan tersebut oleh mana-mana amilin di mana pun,” ujar beliau.

Sebaliknya ditekankan beliau, apabila ada kecenderungan untuk memutar jamaah bagi kepentingan mazhab amilin atau falsafah tertentu sehingga mengorbankan kebijaksanaan yang diajarkan oleh Harakah Islamiyah, maka ia wajiblah ditegur.

Jelasnya, nasihat yang demikian dikemukakan dengan baik agar jangan mencampuradukkan fahaman kesukaannya dengan peranannya sebagai pelibat Harakah Islamiyah PAS.

“Semoga kita diberi kebijaksanaan oleh Allah. Kebijaksanaan yang lahir dari sikap kita sebagai warasatul harakah dan hati yang jujur ikhlas dalam perjuangan Islam dan kecintaan kita kepada ummat.

Hadaanallah wa hadaakumullah jamii’an ya ikhwani wa barakallahu fiikum jami’an. Inni uhibbukum fillah wa fillah saa’datuna jami’an. Ameen ya Rabbal ‘alamin,” doanya. – *HARAKAHDAILY 25/5/2020

- Advertisement -