Empangan Ilisu, sejarah, Asia Barat dan Armageddon

- Advertisement -

KRISIS air tawar

Sebelum ini saya ada menulis mengenai krisis Mesir-Eithiophia-Sudan yang melibatkan pembinaan empangan di Eithiopia.

(a) Di sebalik Grand Eithiopian Reinassance Dam [1].

(b) GERD: Mesir-Eithiopia-Sudan Dan Tanda Kiamat [2].

Begitu juga krisis Kashmir yang berkaitan dengan sungai yang pernah saya tulis dalam artikel yang bertajuk ‘Kashmir Yang Menjadi Rebutan’ [3].

(2) Saya juga pernah menulis mengenai krisis di Tasik Galilee yang menjadi ‘rebutan’ Israel dengan pengisytiharan Trump bahawa ia termasuk dalam Wilayah Israel. Pengisytiharan ini menyemarakkan lagi krisis di sempadan Palestin-Syria.

Hakikatnya ‘sungai’ memang menjadi sebahagian daripada tanda kiamat, apatah lagi manusia hari ini berperang untuk ‘merebut kehidupan’. Berbeza dengan zaman dahulu berperang untuk memiliki negara dan kekayaan.

- Advertisement -

(3) Krisis Sungai semenangnya menjadi rantaian sejarah yang tidak pernah putus menjadi punca kepada banyak krisis atau konflik yang berpanjangan. Hal ini menjadi tanda akhir zaman.

Contohnya beberapa Hadis akhir zaman yang menggambarkan suasana kemarau atau keringnya Sungai Furat (Euphrates). Begitu juga Hadis panjang yang menceritakan mengenai keringnya Tasik Galilee.

(4) Antara yang menjadi perbincangan isu semasa ialah krisis Sungai Tigris yang melibatkan hubungan antara Turki-Syria-Iraq. Iaitu pembinaan Empangan Ilisu yang dibina sejak 2006.

Secara faktanya, empangan ini merupakan salah satu daripada 22 empangan yang dibangunkan di bawah Projek Tenggara Anatolia untuk menjana kuasa hidroelektrik, mengawal banjir dan menyimpan air.

Empangan Ilisu dan konflik Turki-Iraq

(1) Pada Jun 2018, timbulnya isu apabila sebuah video yang disebar di media sosial menunjukkan orang ramai menyeberangi Sungai Tigris dengan hanya berjalan kaki kerana paras airnya hanya setakat lutut.

Sebelum itu, pada 1 Jun Turki bertindak mengisi empangan Ilisu yang baru dibina itu Jun menyebabkan aliran air ke Iraq susut 50 peratus. Pada 5 Jun, Duta Turki ke Baghdad, Fatih Yildiz memberi jaminan bahawa negaranya tidak akan menghentikan bekalan air ke Iraq.

(2) Empangan Ilisu tidak menerima pembiayaan Antarabangsa sejak 2008. Pada Jun 2019 ia mula diisi dan pada April 2020 telah mencapai paras air hingga 100 meter di atas dasar sungai dan menyimpan 5 bilion meter padu air.

Kos pembinaan menelan belanja 1.7 bilion USD yang dianggap kontroversi khususnya apabila media melaporkan kawasan Iraq (Mesopotamia) yang terjejas teruk, termasuk kadar air d Empangan Mosul yang susut dari 8 juta meter padu kepada 3 juta sahaja.

(3) Iraq menuduh Turki menggunakan ‘saham air’ untuk memajukan kepentingan ekonominya, dan memaksa pemerintah Iraq menyerang dan akhirnya menghalau Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang dilarang dari wilayahnya.

Penganalisis geopolitik Bashdar Ismaeel mengatakan bahawa air adalah isu yang sangat penting bagi Iraq yang mudah dilanda kemarau, dan khususnya sektor pertaniannya, sangat penting perjanjian yang dicapai dengan Turki agar syarat jaminan dapat dipenuhi.

(4) Hakikat krisis air di Sungai Tigris ini sebenarnya sudah tercetus sejak 2003 lagi, iaitu beberapa tahun sebelum proses pecah tanah pembinaan empangan tersebut pada 2006.

Kajian antara 2003 hingga 2010 menggambarkan bahawa sungai itu mengalami kekurangan air sekitar 60 peratus, iaitu 144 kilometer kubik berdasarkan laporan PressTV, pada Rabu 13 Februari 2013.

Kemunculan Peradaban Mattani

(1) Hasil daripada surutnya paras air Sungai Tigris, terdedahnya peradaban kuno iaitu runtuhan istana berusia 3,400 tahun pada Julai 2019. Peradaban ini ditemui sejak 2010 lagi oleh pakar arkeologi.

Namun pada ketika itu ia belum ada pakar arkeologi yang mampu membuat kajian terhadap runtuhan istana itu kerana ia masih berada di dalam air. Istana kuno ini terletak di tepian Sungai Tigris, iaitu di bahagian Kurdistan, Iraq.

(2) Kajian mendapati bahawa runtuhan istana itu ialah dibina di zaman pemerintahan Empayar Mittani, era 1500 SM. Ia juga dikenali sebagai Hanigalbat dalam teks Assyrian atau Naharin dalam teks Mesir.

Ia adalah sebuah negara berbahasa Hurrian di Syria Utara dan Tenggara Anatolia dari yang menjadi kuasa serantau selepas kemusnahan Hitti Babilon Amorit dan beberapa raja Asyur yang tidak mampu meneruskan legasi di Mesopotamia.

(3) Secara khususnya Empayar Mittani ini mencapai tahap kemuncak antara 1500 hingga 1350 SM yang memerintah di Lembah Euphrates-Tigris, hari ini dikenali sebagai Syria, Iraq dan sebahagian Turki.

Mittani merupakan sebahagian daripada kekuasaan Hittite yang dicatatkan di dalam sejarah antara bangsa yang terkuat. Hasil gabungan mereka dengan Mesir Kuno dan Assyrian di Mesopotamia sejak 1600 SM.

(4) Sejak akhir-akhir berlaku persaingan kuasa dan peperangan yang penuh taktikal dan strategi iaitu Perang Kadesh antara Mesir yang dipimpin oleh Ramses II dan Hittite sendiri pada 1274 SM.

Ramses II hidup ketika kelahiran Nabi Musa A.S. Perang ini juga menjadi tanda malapnya Empayar Mittani, dan berkubur di bawah dasar Sungai Tigris sehinggalah ditemui pada 2010 sebagai bukti sejarah yang agung.

Antara sejarah dan akhir zaman

(1) Perang Kadesh yang hanya tinggal sejarah ini hakikatnya menggambarkan betapa hebatnya Bangsa Hittite yang handal berdiplomasi, dan taktikal dalam Perang Kadesh yang cukup luar biasa.

Antaranya dengan perisikan, strategi kerahsiaan, saraf dan sebagainya. Sejarah lampau ini hari ini hanya tinggal monumen seperti Piramid di Mesir, dan juga kuil-kuil di sekitar Mesopotamia.

(2) Hari ini, krisis perebutan sungai atau sumber air juga memerlukan kepada strategi dan kadar diplomasi yang cukup tinggi. Bimbang isu ini menjadi pencetus kepada pergolakan di rantau itu.

Khususnya apabila terdapatnya ‘orang asing’ yang ‘celapak’ masuk ke wilayah itu, iaitu orang-orang Israel sejak daripada hasil Perjanjian Sykes-Picot dan Deklarasi Balfour di awal 19-an.

(3) Apa yang ingin dilontarkan di sini ialah kaitan sejarah, geopolitik dan akhir zaman. Ketiga-tiga elemen ini saling bersangkutan antara satu sama lain berdasarkan Hadis-hadis Nabi S.A.W.

Di antara tanda akhir zaman yang disebutkan di dalam Hadis Nabi S.A.W, amalan untuk selamat dengan fitnah Dajal ialah dengan mengamalkan surah al-Kahfi. Pastinya kita perlu mengambil ibrah daripada sejarah al-Kahfi.

(4) Begitu juga Hadis Yakjuj dan Makjuj yang diriwayatkan oleh Zainab bintu Jahsy. Bahkan secara jelas Yakjuj dan Makjuj yang pernah dikurung pada zaman Raja Zulqarnain, akan muncul di akhir zaman.

Begitu juga Nabi Isa A.S yang dahulunya pernah diangkat oleh Allah S.W.T, akan turun di akhir zaman membunuh Dajal. Bahkan Dajal sendiri adalah makhluk ‘bersejarah’.

Asia Barat dan Armageddon

(1) Dalam hal ini, saya sendiri tidaklah pernah menemui Hadis mengenai pengeringan Sungai Tigris, melainkan Sungai Euphrates. Sungai Tigris dan Sungai Euphrates berkembar mengalir di Iraq dan wilayah sekitarnya.

Termasuk Tasik Galilee, Mata Air Zughar dan banyak lagi yang disebutkan dalam Hadis Nabi S.A.W mengisyaratkan bahawa rantau Asia Barat menjadi ‘lokasi utama’ dalam penceritaan akhir zaman.

(2) Termasuk juga kemunculan Dajal di Asbahan atau Asfahan, peperangan di Timur, menggambarkan dengan jelas wilayah itu bakal bergolak di akhir zaman. Hari ini, ia mungkin dilihat dari sudut geopolitiknya.

Apatah lagi sasaran Israel untuk mendirikan Israel Raya, hubungkait dengan Dajal yang menjadi ancaman utama di akhir zaman terletak di antara Sungai Euphrates hingga Nil, juga termasuk dalam rantau Asia Barat.

(3) Bahkan mengikut kepercayaan sebahagian aliran Kristian, mereka percaya bahawa akhir zaman akan berlakunya Perang yang dahsyat di Megiddo. Megiddo merupakan lokasi yang bersejarah mengikut tamadun Israel.

Kota ini satu ketika dahulu menjadi penghubung antara Mesir dan Syria, yang menjadi lokasi utama peperangan yang melibatkan Bani Israel satu ketika dahulu. Sejarah ini bakal menjadi igauan penganut Kristian akhir zaman.

(4) Antara perang besar di kota itu ialah pada 1478SM, 609SM dan 1918 (Perang Dunia Pertama). Mereka percaya bahawa ia bakal berulang di akhir zaman atas nama Har-Megiddo (ibrani).

Hari ini, ia adalah persimpangan utama yang menghubungkan Israel (pusat) dengan Galilee dan wilayah bagian Utara. Irvin Bexter antara paderi aliran Evangelis mengatakan bahawa di bukit Megiddo inilah Israel bakal diserang oleh Russia, Turki, Iran dan negara-negara yang sealiran dengannya.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3189656357742769/?d=n
[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3764721643569568/?d=n
[3] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/2991006024274471/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 25/5/2020

- Advertisement -