Memahami mesej-mesej penting di sebalik takbir raya

- Advertisement -

KHUSYU’ dalam melaksanakan ibadat dapat dicapai antaranya dengan memahami lafaz-lafaz yang dituturkan. Takbir raya merupakan laungan penuh semangat bagi umat Islam. Ia adalah pengakuan dan kesedaran agar kita menjadi umat yang sentiasa berjiwa besar.

- Advertisement -

Disebalik takbir

Laungan takbir merupakan manifestasi penuh kesyukuran kerana telah dikurniakan hidayah oleh Allah. Ia adalah lafaz gembira, syukur, semangat dan daya juang bagi umat Islam. Allah berfirman:

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Dan hendaklah kamu membesarkan Allah (bertakbir) di atas hidayah yang telah dikurniakan kepadamu. Mudah-mudahan kamu bersyukur.”
(al-Baqarah: 185)

Sedarkah kita bahawa sepanjang bulan Ramadan, kita telah diprogramkan untuk membiasakan diri dengan cara hidup yang soleh? Ia adalah sesi hidayah yang telah Allah peruntukkan sepanjang bulan Ramadan.

Allah pasti menambahkan hidayah buat mereka yang benar-benar menghargai hidayah. Sikap bersyukur itu sebagai tanda ketakwaan seseorang. Allah berfirman:

وَالَّذِينَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَآتَاهُمْ تَقْوَاهُمْ
“Dan orang yang mendapat hidayah, Allah akan menambahkan buatnya hidayah. Dan menganugerahkan ketakwaan kepada mereka.”
(Muhammad: 17)

Berdasarkan dua ayat di atas, kita dapat memahami hubung kait syiar antara Ramadan dan Syawal. Pada bulan Ramadan, kita disuruh untuk meraih takwa. Takwa diperolehi dengan menghargai hidayah yang telah Allah sediakan, lantas kita berusaha menjadi insan yang taat kepada-Nya.

Sebagai tanda syukur kerana telah diberikan kesempatan menikmati bulan penuh hidayah, maka laungan takbir digemakan dengan penuh gembira. Takwa, hidayah dan syukur akan membuatkan kita sentiasa membesarkan Allah.

Bersedia untuk dibenci dan ditentang

Umat Islam disuruh agar menjadi golongan yang berani menyatakan kebenaran ajaran Islam, sekalipun dibenci oleh musuh-musuhnya. Di dalam takbir raya, kita telah berikrar untuk komited dengan pegangan Islam secara ikhlas dan menyeluruh.

Sehubungan itu, kita turut diingatkan risiko apabila berpegang dengan ajaran Islam. Kebencian dari golongan kafirin dan munafiqin pasti akan menyusul apabila kita benar-benar serius dengan Islam.

وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”

Jadilah umat yang berwibawa

Selaku penganut agama Islam, kita membawa izzah Islam. Imej tersebut perlu sentiasa dipelihara agar manusia tertarik dengan Islam kerana keperibadian kita.

Yang menjadi masalah hari ini, manusia menjauhkan diri dari Islam akibat terkesan dengan sikap umat Islam yang serba bermasalah. Kita melaungkan ungkapan:

وَأَعَزَّ جُنْدَهُ
“Dan Allah yang memuliakan tentera-Nya.”

Nabi telah mengingatkan kita, bahawa kewibawaan umat Islam akan dicabut oleh Allah kerana sikap cintakan dunia dan takutkan mati. Bahkan umat Islam hilang kualiti, diumpamakan ibarat buih di lautan.

Lantaran itu, musuh melihat umat Islam hina kerana prinsip hidup mereka boleh dibuat tawar menawar. Inilah yang telah disabdakan oleh baginda:

وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ
“Dan Allah pasti mencabut rasa kegerunan dari dada-dada musuh kamu terhadap diri kamu.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Kewibaan kita selaku umat Islam bukan pada material. Bukan pada gaya meninggi diri. Sebaliknya ia diperolehi dengan akhlak yang mulia, ilmu yang mencerahkan dan jati diri yang serba berdikari tidak boleh dijual beli.

Senario Ahzab yang berkekalan

صدقَ اللَّه وَعْدهُ، وَنَصر عبْده، وَهَزَمَ الأَحزَابَ وحْدَه
“Allah yang telah menepati janjinya & menolong hambanya. Dialah yang telah meranapkan bala tentera Ahzab secara bersendirian.”

Perang Ahzab yang berlangsung pada bulan Syawal tahun kelima Hijrah merupakan peperangan yang paling menakutkan bagi para sahabat. Ketika itu umat Islam dikepung oleh komposisi musuh secara bersepadu:

▪︎ Golongan Yahudi sebagai perancang utama.
▪︎ Musyrikin Quraisy sebagai musuh tradisi sedarah daging dengan Nabi dan para sahabat Muhajirin.
▪︎ Bani Ghatafan sebagai kelompok upahan yang cuba mengambil kesempatan.
▪︎ Puak munafiqin sebagai gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut.

Jenis-jenis musuh seperti yang telah dinyatakan di atas, harus sentiasa diwaspadai oleh umat Islam. Oleh yang demikian, sirah perang Ahzab dirakamkan dalam takbir raya sebagai peringatan penting buat umat Islam.

Peringatan tersebut perlu diulang sekurang-kurangnya dua kali setahun, iaitu ketika Aidil Fitri dan Aidil Adha. Bahkan al-Quran turut menyuruh agar peristiwa getir itu sentiasa diingati oleh umat Islam:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا ۚ وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا
“Wahai orang yang beriman! Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika bala tentera datang kepadamu. Lalu kami kirimkan kepada mereka ribut & bala tentera yang tidak dapat dilihat. Adalah Allah itu Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
(al-Ahzab: 9)

Menjiwai takbir raya

Demikian adalah beberapa mesej yang boleh kita fahami secara ringkas di sebalik takbir raya. Ternyata, jika kita benar-benar memahami maksud disebalik lafaz-lafaz takbir raya, ia sarat mengandungi mesej-mesej yang menginspirasikan.

Takbir raya bukanlah lafaz yang mengandungi bait-bait kesedihan. Sebaliknya ia menyuntik semangat kita untuk terus komited dengan Islam, memelihara jati diri dan bersedia mendepani cabaran.

*Cadangan agar dijadikan isi bagi khutbah raya seisi keluarga.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
23 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 23/5/2020

- Advertisement -