Ziarah pra-raya PAS Bangi hargai ‘frontliners’

- Advertisement -

BANGI: Agenda memasyarakatkan PAS diteruskan lagi pada bulan mulia dan sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini oleh PAS Kawasan Bangi melalui program ziarah pra-raya yang bermula giat sejak 13 Mei lepas.

- Advertisement -

Program diketuai sendiri Yang DiPertua PAS Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah bersama pimpinan kawasan yang lain adalah bertujuan untuk menyatakan penghargaan atas jasa barisan hadapan negara kepada Malaysia tercinta ini.

“PAS Bangi amat menghargai dan berterima kasih pada semua agensi kerajaan terutama barisan hadapan yang sangat komited dengan tugas mereka. Terutama musim pandemik COVID-19 yang melanda negara kita sekarang.

“Ada antara mereka yang tidak dapat bercuti. Semoga sedikit buah tangan yang kami beri ini dapat memberikan keceriaan dan kebahagiaan pada mereka,” ujarnya yang juga Timbalan Pesurujaya PAS Negeri Selangor.

Rombongan tersebut telah menziarahi dan bermesra dengan anggota bertugas di beberapa agensi kerajaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Hulu Langat.

Juga para petugas di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn dan Pusat Kesihatan Sungai Chua.

Antara pimpinan kawasan yang turut sama hadir menyampaikan buah tangan raya yang terdiri daripada kurma, kuih Almond London dan kerepek pisang ialah Setiausaha PAS Bangi, Ahmad Mokhtaza Mokhtaruddin.

Juga bersama adalah Ahli Jawatankuasa PAS Bangi, Adram Musa dan Mohd Ibrahim Ghazali. – HARAKAHDAILY 22/5/2020

- Advertisement -