Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 29)

- Advertisement -

PENGHAYATAN ayat al-Quran melalui juzuk 29 hari ini menyentuh soal sikap manusia yang sanggup bersahabat serta menggunakan khidmat jin dan syaitan demi untuk meraih maslahah peribadinya. Mereka tidak mengendahkan hukum-hakam agama asalkan segala kehendak nafsunya tercapai. Sesungguhnya Islam melarang umatnya menggunakan khidmat jin untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak. Hakikatnya, mengambil dan meminta pertolongan daripada jin akan menjadikan mereka lebih bongkak, sombong dan bertambah kejahatannya. Allah S.W.T berfirman:

- Advertisement -

وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالࣱ مِّنَ ٱلۡإِنسِ یَعُوذُونَ بِرِجَالࣲ مِّنَ ٱلۡجِنِّ فَزَادُوهُمۡ رَهَقࣰا

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

[Al-Jin: 6]

Para ulamak sepakat bahawa menggunakan khidmat jin untuk tujuan yang menyalahi syarak dan sihir adalah diharamkan. Walaupun mereka khilaf dalam soal hukum berkawan dan menggunakan khidmat jin dalam perkara bermanfaat, namun seseorang manusia tidak perlulah memohon khidmat mereka kerana gaya kehidupan manusia dan mereka cukup berbeza. Imam Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas menyebut bahawa jin akan merasa semakin angkuh ketika melihat manusia inginkan perlindungan mereka, lalu jin menambahkan lagi rasa takut dan seram serta sifat pengecut ke dalam perasaan manusia.

Imam Qatadah menyebut bahawa ayat فَزَادُوهُمْ رَهَقًا ialah suatu dosa yang ditanggung oleh jin akibat keangkuhan mereka menodai manusia. Dengan demikian, golongan jin akan semakin bertambah berani melawan manusia dan menyebarkan ketakutan dalam kelompok manusia. Ini kerana, jin tidak semua yang beriman dan ramai di kalangan mereka yang kufur dan jahat. Firman Allah S.W.T:

وَأَنَّا مِنَّا ٱلصَّـٰلِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَ ٰ⁠لِكَۖ كُنَّا طَرَاۤىِٕقَ قِدَدࣰا

“Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu. Kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.”

[Al-Jin: 11]

Sementara Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhaili dalam Al-Fatawa Al-Mu’ashirah ada menyebut bahawa adalah diharamkan sama sekali untuk pergi kepada jin termasuk syaitan bertujuan melakukan sihir kepada seseorang atau untuk mendapatkan pertolongan dalam urusan keduniaannya. Maka semua itu sebagaimana yang jelas menerusi Hadis Nabawi adalah salah satu jenis daripada syirik kepada Allah S.W.T kerana ia berkait dengan keyakinan seseorang kepada suatu kuasa lain selain Allah S.W.T.

Sememangnya daripada kalangan jin yang jahat akan mencari peluang untuk merosakkan akidah manusia, boleh jadi pada permulaannya mereka menampakkan kebaikan dan kebenaran akan tetapi berakhir dengan syirik kepada Allah kerana tunduk kepada kuasa mereka. Kebinasaan dan musibah besar kepada seseorang itu bermula apabila dia menaruh keyakinan kepada kuasa makhluk selain Allah S.W.T. Sekiranya ada di kalangan manusia yang ingin berdakwah dan menyelamatkan kelompok jin daripada kekufuran kerana ada keperluan tertentu, ia adalah dibenarkan kerana kelompok jin juga menerima taklifan sebagaimana manusia dan ramai juga di kalangan mereka yang memilih Islam sebagai cara hidup seharian. Firman Allah S.W.T:

وَأَنَّا مِنَّا ٱلۡمُسۡلِمُونَ وَمِنَّا ٱلۡقَـٰسِطُونَۖ فَمَنۡ أَسۡلَمَ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ تَحَرَّوۡا۟ رَشَدࣰا

“Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya al-Quran) ada di antara kita golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang menyeleweng dari jalan yang benar. Maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar.”

[Al-Jin: 14]

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
29 Ramadan 1441 / 22 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 22/5/2020

- Advertisement -