APM, KoMedia terima sumbangan CSR

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Terengganu telah melaksanakan dua kali program khidmat masyarakat (CSR) sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Pengerusinya, Mohamed Yusuff berkata, program CSR ANGKASA Cawangan Terengganu kali kedua ini ditumpukan kepada barisan hadapan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, sebanyak 120 pek barangan keperluan harian diagihkan kepada para petugas ‘frontliners’ dari kalangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan petugas media melalui Koperasi Media Terengganu (KoMedia).

“Fasa pertama CSR kami (ANGKASA) sebanyak 130 pek barangan keperluan diagihkan kepada koperasi kariah masjid terpilih di negeri ini, dan hari ini sebanyak 120 pek lagi untuk petugas ‘frontliners’.

“Mereka (APM dan Media) ini, ‘wira’ yang tidak didendang dan sering kali terlepas pandang. Jadi sumbangan kali ini untuk mereka, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakah, selepas Majlis Penyampaikan Sumbangan CSR Covid-19, di Kompleks Usahawan Terengganu, Kuala Terengganu pada Rabu lalu.

Menurut beliau, peranan warga media dan petugas barisan hadapan Covid-19 lain ini sama penting dan wajar dihargai jasa serta pengorbanannya.

“Di Terengganu, kita ada 638 buah koperasi dan 156 buah perupakan koperasi sekolah menengah, serta mempunyai seramai 240,000 keahlian koperasi seluruh negeri ini,” jelasnya.

Sumbangan itu disempurnakan oleh Mohamed Yusuff kepada Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad.

Pada majlis itu, sebanyak 20 pek barangan keperluan harian diserahkan kepada Koperasi Media Terengganu (KoMedia) untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukannya.

Harakah dimaklumkan, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah didaftarkan pada 12 Mei 1971 di bawah Ordinan Koperatif 33/1948.

ANGKASA ditubuhkan hasil daripada cadangan Kongres Kerjasama Kedua yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

ANGKASA juga telah diiktiraf dan diwartakan sebagai sebuah koperasi yang mewakili gerakan koperasi seluruh Malaysia pada 23 Mei 1996.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha ANGKASA Terengganu, Yaakob Mohd dan Alias Mustafa serta Bendahari dan Penolong Setiausaha KAWAT, Rosamizal Omar dan Mohd Yassin Embong.- HARAKAHDAILY 22/5/2020

- Advertisement -