Rumah ibadat bukan Islam di zon hijau dibenar beroperasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bersetuju membenarkan rumah-rumah ibadat bukan Islam dibuka di zon hijau sahaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 10 Jun ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselematan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi adalah bilangan kehadiran hendaklah tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat tersebut.

- Advertisement -

Sementara itu, penganut yang berumur melebihi 70 tahun dan kanak-kanak dibawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir.

Manakala, saringan suhu badan, penyediaan ‘hand sanitizer’ dan pemakaian topeng muka (face mask) mesti dipatuhi setiap masa.

Ismail Sabri berkata, kebenaran tersebut hanya untuk warganegara Malaysia dan untuk efektik sehari ke dua hari sahaja dalam seminggu bagi hari-hari keagamaan masing-masing.

Jelasnya, sebanyak 174 rumah ibadat di seluruh negara dibenarkan beroperasi, termasuk 84 kuil, 15 tokong, 67 gereja dan 8 Gurdwara.

Bagaimanapun, prosedur pelaksanaan urusan perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama juga masih ditangguhkan.

“Pegawai-pegawai Kementerian Perpaduan Negara termasuk Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional telah dilantik sebagai pegawai pemantau di bawah Seksyen 3, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kementerian Perpaduan Negara akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelaras pelaksanaan pembukaan rumah-rumah ibadat di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kebenaran operasi ini akan ditarik balik dengan serta merta jika didapati gagal mematuhi SOP,” katanya dalam sidang media harian PKPB di Putrajaya, hari ini.- HARAKAHDAILY 21/5/2020

- Advertisement -