Exco nafi kait pasar raya kes Covid-19

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman hari ini menafikan kenyataannya mengaitkan sebuah kompleks membeli belah terkemuka di Alor Setar berhubung kes positif Covid-19 yang melibatkan seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Beliau yang dihubungi Harakah memaklumkan, beliau hanya memberi sedikit ulasan berkenaan jumlah positif dan negatif wabak berkenaan berikutan membabitkan kepulangan pelajar universiti terbabit ke Sabah.

- Advertisement -

“Saya hanya ulas apa yang disebut oleh Pengarah Kesihatan Negeri dan langsung tidak menyebut atau mengaitkan mana-mana pusat membeli belah atau mana-mana pasaraya pun di negeri ini,” jawab exco Kesihatan itu.

Katanya lagi, pihak kerajaan negeri setakat ini tidak membuat apa-apa kenyataan berkenaan Covid-19 kerana perkara tersebut adalah dibidang kuasa Ketua Pengarah Kesihatan.

Ekoran kenyataan kurang tepat yang disiarkan oleh media berkenaan, ia secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan pengunjung yang pernah ke kompleks tersebut selain para peniaga berkenaan juga merasa tidak puas hati.

Sehubungan itu, beliau akan berjumpa Ketua Pengarah Kesihatan Negeri untuk mendapat maklumat yang lebih terperinci.- HARAKAHDAILY 21/5/2020

- Advertisement -