Titah YDPA iktiraf kerajaan, bukan ‘pintu belakang’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyambut baik titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah pada Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, kelmarin.

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, awalan pembukaan sangat menyentuh hati apabila Baginda mengajak semua hadirin menepuk tangan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan bertungkus-lumus memerangi wabak Covid-19 di Malaysia.

- Advertisement -

Menurutnya, tepukan tangan Yang Di-Pertuan Agong menggambarkan kegembiraan dan kesungguhan baginda memberikan pengiktirafan kepada petugas barisan hadapan yang diturut disambut oleh semua ahli dewan.

“Alangkah seronoknya dan baiknya jika ahli-ahli politik tidak kira parti bangun bersama seperti itu berpakat sekata dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam membangunkan dan memakmurkan negara,” katanya kepada HarakahDaily.

Dalam masa yang sama, katanya menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong itu beliau mengharapkan agar segala tohmahan dan dakwaan mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan ‘pintu belakang’ atau tidak sah mestilah dihentikan.

Menurutnya, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang sah mengikut Perlembagaan, bahkan satu pengiktirafan daripada Yang di-Pertuan Agong apabila beberapa kali diulang dalam titah baginda bahawa kerajaan ini adalah ‘kerajaan beta’.

“Oleh itu, hentikanlah segala tohmahan dan dakwaan tidak berasas yang sebenarnya datang dari mereka yang kecewa dan sengaja mendinding diri untuk buat-buat tidak faham,” ujarnya.

Selain itu, dapat difahami bahawa Yang di-Pertuan Agong secara tidak langsung turut mengiktiraf usaha kerajaan dalam menangani krisis pandemik Covid-19 dan pengumuman pakej ransangan ekonomi yang diumumkan bagi meringankan beban rakyat.

Berikutan itu, katanya semua pihak perlu bersama kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini dengan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan.

Nuridah turut mengharapkan agar nasihat Yang Di-Pertuan Agong kepada para pemimpin dan Ahli Parlimen supaya memelihara keharmonian dan menjadi ‘role model’ kepada rakyat mesti dipatuhi.

Malahan, katanya baginda turut mengingatkan agar Ahli Parlimen bersama kerajaan dalam membangunkan negara dan sebaiknya perlu matang dalam berpolitik serta perbezaan pandangan perlu menjadi landasan cetus idea baharu dalam membangunkan negara.

Dalam pada itu, mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mengheret negara ke kancah politik tidak menentu ketika rakyat berdepan masalah pandemik Covid-19 yang meruncing.- HARAKAHDAILY 20/5/2020

- Advertisement -