Titah dijunjung, Islam dan perpaduan didukung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary menyambut baik dan akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Katanya, dalam titah berkenaan Yang Di-Pertuan Agong ada mengingatkan agar kesepaduan sosial dan integrasi nasional diperkukuhkan secara menyeluruh menerusi elemen kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandaskan prinsip rukun Negara.

- Advertisement -

Di samping itu, menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu terus dipertahankan.

“Selaras dengan kesyumulan Islam dan prinsip maqasid syariah, baginda juga menitahkan agar pentadbiran Islam pada hari ini lebih bersifat inklusif dan progresif selain membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni ke arah kesejahteraan sejagat.

“Titah baginda ini sangat sesuai dan selari dengan agenda Islam Memimpin Perpaduan dan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperjuangkan PAS sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa menyambut baik sepenuhnya titah Tuanku Sultan berkenaan.

Dalam masa yang sama, beliau berjanji untuk memikul amanah sebaik mungkin agar Malaysia menjadi lebih makmur dan sejahtera di bawah Kerajaan Perikatan Nasional.- HARAKAHDAILY 20/5/2020

- Advertisement -