Rakyat Kelantan digesa terus jaga kebersihan sekitar

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan digesa untuk meneruskan agenda kerajaan negeri dalam menjaga kebersihan di sekitar kediaman masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin memberitahu, kerajaan negeri tidak mampu meneruskan agenda kebersihan mengikut perancangan asal.

Advertisement

“Banyak program kebersihan yang kita cadangkan, namun kerana masalah Covid-19, kita tidak mampu melaksanakan sepenuhnya setakat ini.

“Kerana itu, kita minta orang ramai menjaga kebersihan di tempat masing-masing bagi mengelak perkara yang tidak diingini bukan hanya Covid-19 sebaliknya dengi,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Dr Izani, sekarang musim hujan tidak menentu dan ianya memberi ruang yang mudah untuk pembiakan nyamuk aedes.

Pada masa yang sama, katanya pembuangan sampah begitu berkurang Ramadan tahun ini berbanding sebelumnya.

“Alhamdulillah kita bersyukur kerana masalah sampah begitu berkurang tidak sebagaimana biasa,”ujarnya.

Bagaimanapun jelasnya, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) tetap menjalankan kerja-kerja kebersihan sebagaimana biasa.– HARAKAHDAILY 20/5/2020