PAS Johor laporan polis Xavier hina YDPA

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Xavier Jayakumar berikutan memuat naik video berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

- Advertisement -

Laporan polis terhadap siaran terbuka di laman sosial Facebook milik pemimpin PKR itu telah dibuat sendiri oleh Pesruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Johor, Azman Atmin.

Laporan sama turut disusuli juga oleh PAS Kawasan Ledang dan Batu Pahat serta Pulai, semalam, seterusnya diikuti PAS Kawasan Sri Gading dan Kluang serta Pasir Gudang pada hari ini.

Dr Xavier yang masih berpakaian istiadat Sidang Dewan Rakyat dalam video berdurasi sekitar 3 minit itu antaranya telah mengeluarkan kata-kata keterlaluan menyifatkan Parlimen sebagai sampah dan tidak berguna.

Malah, Xavier juga secara emosi dalam ucapan dengan Bahasa Inggeris itu telah menggambarkan seolah-olah berlaku ketidakadilan oleh pihak berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab kerana menidakkan hak berbahas dan bersidang.

Ustaz Abdullah menyifatkan kecaman Xavier dalam ucapan video itu telah mendatangkan kebencian dan penghinaan serta membangkitkan perasaan tidak setia terhadap khususnya Yang di-Pertuan Agong.

Sedangkan menurutnya, pemimpin PKR itu merupakan bekas Menteri Kerajaan Persekutuan dan EXCO Kerajaan Negeri sebelum ini serta mempunyai pengaruh di kawasan diwakili beliau sebagaimana rekod lebih 3,000 sukaan dan 1,100 pengkongsian di Facebook tersebut.

Oleh itu, laporan polis yang dibuat ini adalah untuk membolehkan siasatan dijalankan dan mengambil tindakan terhadap keceluparan Xavier menurut Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. – HARAKAHDAILY 20/5/2020

- Advertisement -