Ibadah haji: Tunggu pengumuman Arab Saudi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kebenaran jemaah haji Malaysia untuk menunaikan haji pada musim ini bergantung kepada pengumuman Kerajaan Arab Saudi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Malaysia akan menunggu pengumuman daripada Kerajaan Arab Saudi sama ada umat Islam dibenarkan untuk menunaikan haji atau tidak tahun ini.

- Advertisement -

“Setakat hari ini, Kerajaan Arab Saudi belum membuat sebarang pengumuman, sama ada tahun ini dibolehkan untuk umat Islam mengerjakan haji atau tidak.

“Malah setakat ini perintah berkurung untuk hari raya (di Arab Saudi) dilaksanakan, tetapi belum ada pengumuman mengenai haji.

“Jadi, keputusan untuk Malaysia menghantar jemaah haji atau tidak adalah tertakluk kepada pengumuman yang akan dibuat oleh Arab Saudi,” katanya pada sidang media harian mengenai pelaksanaan PKPB hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebarang keputusan daripada Kerajaan Arab Saudi mengenai haji akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Namun, katanya tiada keperluan untuk diputuskan sekarang kerana tiada sebarang pengumuman daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu.

“Mungkin Menteri Agama akan umumkan selepas ada pengumuman daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya.– HARAKAHDAILY 20/5/2020

- Advertisement -