Gambar dan propaganda (1)

- Advertisement -

DUNIA yang menipu

(1) Apabila kita meneliti beberapa ayat al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W mengenai sifat dunia, dan juga bab-bab lain, kita akan mendapati bahawa mata manusia kerap tertipu. Antaranya;

- Advertisement -

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

(al-Hadid: 20)

(2) Banyak saranan al-Quran dan Hadis yang menyatakan mengenai penipuan dunia, dikaitkan dengan Materialism. Iaitu melihat dunia itu dari sudut kebendaan, kepentingan, jawatan, perempuan, pragmatik dan sebagainya

Apabila dikaitkan dengan Materialism, sudah pasti ia terikat dengan deria. Contohnya manusia tertipu dengan kekayaan, kerana deria yang didorong oleh nafsu merasa ingin mengejar kesenangan dengannya.

Contoh yang lain, apabila dikaitkan dengan perempuan, pasti berkaitan dengan deria penglihatan, keinginan, dan sebagainya. Bahkan sifat dunia yang ‘menipu’ atau palsu menggambarkan deria yang tertipu.

Penipuan dan politikus

(1) Apabila kita bicara soal penipuan, pemalsuan, scammer, sudah pasti sangat bersangkutan dengan deria. Deria manusia apabila tidak didasari dengan kefahaman dan ilmu, pastinya tertipu dengan sesuatu yang dia tidak tahu.

Bahasa mudahnya, kalau seseorang itu tahu taktik scammer, sudah pasti ia sukar ditipu. Seseorang yang sudah biasa dengan perancangan Iblis, insyaAllah ia sukar ditipu Iblis dan begitulah yang lain juga.

(2) Orang alim yang tidak biasa mengkaji perancangan Barat, mudah diperguna oleh Barat. Orang jahil agama yang rajin mengkaji perancangan musuh, boleh selamat daripada perancangan itu.

Begitu juga permainan, propaganda, saraf, hoax dan sebagainya banyak mengenai kesempatan daripada kebodohan manusia. Mereka yang rajin mengkaji mengenai hal hal itu, insyaAllah lebih selamat.

(3) Realiti hari ini seolah-olah mendesak kita untuk memahami dan mengerti propaganda supaya kita tertipu dengannya. Lebih berwaspada terhadap hoax, dan lebih berhati-hati terhadap saraf yang dimainkan.

Antara bentuk propaganda yang biasa dilakukan ialah melalui gambar, dan gambar itu pastinya mampu menipu deria mata. Bahkan hari ini penyakit menggunakan gambar untuk propaganda semakin meluas.

(4) Sekadar contoh, apabila ada seseorang ahli politik itu merasa teruk dikecam, mereka akan menempek pada orang-orang baik dan bergambar dengan mereka. Biasanya Dr Zulkifli al Bakri lah tempatnya.

Dengan berfoto bersama beliau, seolah-olah seorang politikus itu sudah suci daripada dosa, dan selamat daripada kecaman. Ini kerana beliau (Dr Zul) dikenali sebagai seorang yang baik dan berakhlak.

Poligam

(1) Apa yang ingin saya lontarkan ialah bagaimana manusia itu mudah terpengaruh dengan gambar. Tabiat manusia (deria mata) ini dijadikan kesempatan untuk menimbulkan persepsi, propaganda dan sebagainya.

Kita biasa dengar sekeping gambar boleh cetuskan perang. Begitu juga sekeping gambar mampu menyelamatkan ribuan nyawa. Ya, gambar memang memberi kesan terhadap persepsi seseorang.

(2) Istilah yang biasa diguna oleh para politikus ialah ‘poligam’ (Politik gambar). Sekiranya saya bergambar dengan Dr Maza (contohnya) sudah pasti akan ada suara mengatakan saya sudah Wahhabi. Begitu juga dengan orang lain.

Mereka yang ingin kelihatan ‘jurus’, mereka akan post gambar-gambar bersama Habib, dan berselfie dalam keadaan berpakaian serba putih. Begitulah dunia poligam yang terbuka kepada agenda propaganda.

(3) Poligam biasanya ada kepentingan. Sama ada kepentingan yang baik, atau sebaliknya hanya untuk duduk dalam bakul dan angkat sendiri. Kalau ada kepentingan yang baik, seperti untuk sebaran dakwah secara psikologi, baguslah.

Yang menjadi masalah ialah gambar digunakan untuk tujuan tidak baik, seperti untuk ‘menyucikan dosa’ sepertimana yang saya nyatakan tadi. Bahasa mudahnya, ia dijadikan sebagai senjata untuk tujuan politik

(4) Sekadar contoh, gambar yang terpampang di dada facebook biasanya gambar ceria bersama keluarga, gambar tengah happy go lucky dan sebagainya. Gambar bergaduh, bermasam muka tidak disharekan.

Sehinggakan persepsi rakan_rakan facebooknya akan melihat bahawa keluarga orang itu sentiasa bahagia. Ini akibat paparan satu sisi sahaja. Bahasa mudahnya, gambar kahwin dipost, gambar bercerai tak dipost.

Kajian Barat

(1) Antara tulisan Barat yang cuba menghuraikan mengenai peranan gambar dalam dunia persaingan dan perebutan kuasa antaranya Photography In Propaganda yang ditulis oleh Kathleen Collins dan On Photography oleh Susan Sontag.

Begitu juga tulisan Michael L. Carlebach yang bertajuk ‘Documentary and Propaganda: The Photographs of the Farm Security Administration’ Jurnal Decoratif dan Seni Propaganda dan banyak lagi.

(2) Tulisan-tulisan ini banyak mengkaji mengenai peranan gambar atau poster dalam pertembungan Barat dengan Soviet, begitu juga persaingan-persaingan lain. Contohnya Susan Sontag mengatakan di dalam On Photography;

“Just as a camera is a sublimation of the gun, to photograph someone is a subliminal murder.”

Kathleen Collins pula menyatakan bahawa sepanjang Perang Dunia Kedua, gambar-gambar digunakan sebagai alat untuk meng’kontrol’ subjek (sasaran) dan juga penonton. Katanya lagi;

“Orang mempunyai kecenderungan semula jadi untuk mempercayai apa sahaja yang terpapar dalam gambar, yang menjadikan fotografi itu sebagai landasan propaganda yang sempurna.”

(3) Pada tahun 1930-an, beberapa peristiwa besar sedang berlangsung di seluruh dunia. Di Jerman, Parti Nazi berkuasa dengan Hitler mempromosikan ‘kemurnian’ perkauman, dan ‘Depresi Besar’ menyebabkan krisis di seluruh Amerika Syarikat.

Apatah lagi Nazi menggerakkan movement Anti Semiti. Hitler bertujuan untuk menyatukan penduduk menentang Yahudi. Manakala di Amerika terkenal dengan Farm Security Administration (FSA).

Iaitu badan yang menggunakan gambar-gambar kemiskinan dan kehancuran di luar bandar Amerika untuk mendapatkan sokongan terhadap rancangan pemulihan ekonomi Franklin Roosevelt yang dilihat menguntungkan. Hal ini akan dihuraikan dalam tulisan akan datang insyaAllah.

Propaganda Nazi

(1) Di Jerman, propaganda fotografi sering dibuat untuk membuat orang Yahudi kelihatan berskandal dan tidak terkawal. Contohnya pada tahun 1937, sebuah pameran bermula di Munich bertajuk The Eternal Yahudi.

Dalam pameran itu memaparkan 265 gambar orang Yahudi dengan gambaran yang teruk. Ya, pameran-pameran ini adalah cara orang lama. Manakala hari ini menggunakan facebook atau instagram secara meluas dan lebih efisien.

Pameran Eternal Jew berlangsung sekitar satu tahun dari tahun 1937 hingga 1938 di Munich. Dalam jangka masa yang singkat, kira-kira setengah juta orang datang untuk melihatnya, dengan kira-kira 5,000 orang melawat setiap hari.

(2) Susan Sontag mengatakan;

“To photograph people is to violate them, by seeing them as they never see themselves, by having knowledge of them that they can never have; it turns people into objects that can be symbolically possessed. To photograph someone is a subliminal murder.”

Dalam satu majalah propaganda yang bernama Illustrierter Beobachter dalam sebuah artikel yang bertajuk ‘The New Game: The S.A. Cleans up the Liebknecht House.’ turut menceritakan bagaimana gambaran kanak-kanak digunakan dalam propaganda.

(3) Leonard Doob, seorang profesor psikologi di Universiti Yale, pernah berkata;

“Lensa kamera tidak lebih daripada berobjektifkan kepada lensa mata manusia, iaitu sinar cahaya yang melintasinya, diatur oleh sikap jurugambar.”

Setiap jurugambar yang pernah mengambil gambar pasti melakukannya dengan niat tertentu. Niat ini sendiri sudah cukup untuk menghukum sesuatu gambar itu sebagai ‘berat sebelah’ tanpa disedari.

(4) Demikianlah betapa mata itu mudah tertipu dengan propaganda kamera. Gambaran dalam otak manusia akan terikat dengan acuan yang dibentuk oleh lensa-lensa kamera. Begitulah kehidupan dunia yang penuh dengan permainan.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 19/5/2020

- Advertisement -