Ustaz Hassan mengasaskan Dewan Pemuda PAS

- Advertisement -

DULU-dulu Ustaz Hassan pernah bercerita, bahawa selepas tamat belajar di Sekolah Melayu Sabak Bernam dan Madrasah Irshadunnas pada akhir 1951, beliau bercita-cita untuk belajar di Singapura. Kerana di sana ada banyak madrasah yang moden dan terkenal seperti Madrasah al-Junied. Tetapi cita-citanya tidak kesampaian kerana beliau tidak dapat masuk ke Singapura selepas tiba di Johor. Lalu beliau hanya berguru dengan Ustaz Yusof Hakim (bekas Pesuruhjaya PAS Johor) di Benut beberapa ketika. Setelah itu, sekitar awal 1953, beliau ke Padang Rengas, Perak.
.
Ada hikmahnya beliau tidak ke Singapura, kerana gurunya di Padang Rengas, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh adalah Ketua PAS Cawangan Perak ketika itu. Sebab itulah beliau dapat terlibat aktif dengan PAS sejak 1953, walaupun belum menjadi Ahli PAS secara rasmi. Beliau juga mula berjinak-jinak dengan kegiatan politik di Kelab Saadah Kuala Kangsar.
.
Pada 2002, ketika saya sedang menulis tesis sarjana di UKM, saya bertanya Ustaz mengenai sejarah awal penubuhan Dewan Pemuda PAS. “Ana hadir dalam kongres yang tubuh Dewan Pemuda (PAS) di Bagan Datoh itu,” kata Ustaz, menjelaskan peristiwa yang berlaku pada 25 Ogos 1953 itu.

- Advertisement -

“Ustaz jadi perwakilan ke?” saya cuba mendapatkan kepastian.

“Tak. Ana belum ahli PAS lagi masa ini. Ana hadir sebagai pemerhati je. Tok Guru yang suruh ana datang, lagi pun tempat tak jauh dari rumah ana di Sabak Bernam. Tok Guru pun datang mewakili PAS Kuala Kangsar, sebab Tok Guru ketuanya. Sehari selepas kongres pemuda itu, PAS pula berkongres,” Ustaz menjelaskan.

“Ramai ke pemuda yang datang Ustaz?” saya terus bertanya.

“Yang mewakili Cawangan-cawangan PAS tak ramai sangat, sebab masa ini Cawangan baru ada sikit, belas-belas je. Tapi pemerhati yang hadir dalam dua-tiga ratus juga,” kata Ustaz lagi.

“Siapa yang terpilih sebagai Ketua Pemuda?” saya mengorek lagi.

“Masa Kongres itu, nama Ustaz Othman dah terkenal. Dia ceramah berapi-api. Sebab dia dah terlibat dengan Masyumi di Indonesia. Dalam sayap Hizbullah itu, dia berpangkat kapten. Jadi, ucapan-ucapan dia yang menyeru kepada merdeka dan Islam itu lah, menyebabkan dia dipilih sebagai Ketua Pemuda,” Ustaz menjawab pertanyaan saya.

“AJK lain yang dipilih, siapa?” bertalu-talu soalan saya untuk Ustaz.

“Masa kongres itu, dia orang buat keputusan untuk tidak lantik AJK, tapi diserah mandat kepada Ketua Pemuda untuk Iantik AJK-nya. Dua tiga hari lepas itu, Ustaz Othman umum AJK Pemuda. Antara yang ana ingat ialah Cikgu Ahmad Awang, guru besar sekolah Melayu di Kepala Batas yang jadi Naib Ketua. Ustaz Ishak Baharum, bekas Mufti Selangor. Masa ini dia belajar di (Madrasah) Masriyah, Tanah Liat. Dia anak angkat Haji Ahmad Fuad (Hassan, Yang Dipertua Agung PAS),” Ustaz cuba menyebut beberapa nama, walaupun tidak dapat ingat semua.

“Ada isu besar ke Ustaz, dalam Muktamar PAS masa ini,” saya beralih kepada Kongres Tahunan PAS pula.

“Kongres Pemuda takde lah panas, kira nak tubuh Pemuda dan lantik AJK je. Tapi dalam Kongres PAS esoknya itu, ada dua isu besar. Dua-dua orang Hilir Perak yang timbulkan. Mula-mula itu, mereka bangkitkan kenapa PAS join dua-dua, National Conference Dato’ Onn dan National Convention Tunku (Abdul Rahman). Akhirnya mereka putuskan untuk dibawa ke Kongres Khas.

“Lepas itu, masa bahas usul, Hilir Perak cadang supaya PAS sebut nak tubuh negara Islam dalam Perlembagaan. Tapi Haji Ahmad Fuad bijak. Dia kata kita tak tiru (Masyumi) Indonesia, (Jamaat Islam) Pakistan atau (Ikhwan) Mesir, kita Malaya. Sebenarnya masa ini, isu negara Islam sensitif, sebab itu Haji Ahmad Fuad tak bagi sebut. Takut kena haram macam Hizbul Muslimin. Akhirnya, usul ini ditolak. Bukan PAS tak mahu, tetapi strategi politik,” Ustaz membuka rahsia kebijaksanaan ulamak dahulu yang menyebabkan PAS berusia panjang.

“Bila Ustaz jadi ahli PAS?” saya terus bertanya.

“Dalam PAS ini, akil baligh dah layak jadi ahli. Tapi ana masuk PAS masa umur 17. Tahun 1956. Nombor ahli ana 12,016. Sebelum itu dok sibuk dengan KPIP dan KPAK, Tok Guru pun tak suruh jadi ahli. Tapi masa Pilihan Raya 1955 itu, PAS bertanding, tapi di belah Bagan Serai je. Sini takde. Ana ikut Tok Guru berkempen di sini. Tukang bawa speaker, naik basikal. Tok Guru yang ceramah kot kampung-kampung di Padang Rengas dan Kuala (Kangsar).

“Tapi tahun 1956 itu, Tok Guru nak bagi ana pegang jawatan, dia suruh isi borang. Jawatan mula-mula ana pegang dalam PAS ialah Penolong Setiausaha PAS Ranting Padang Rengas, dalam Cawangan Kuala Kangsar. Sekarang ini, Ranting PAS dipanggil Cawangan, Cawangan PAS pula kita panggil Kawasan. Lepas itu Tok Guru lantik ana jadi AJK Cawangan Kuala pula.

“Masa jadi guru di Yahyawiyah, lepas Pilihan Raya 1959, ana ikut Tok Guru gi merata tempat untuk sebar pengaruh PAS. Kira ana jadi pengiring Tok Guru ke mana-mana. Dalam tahun 1962, masa itu ana jadi Setiausaha Agung Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat (PGMR), dia orang lantik ana jadi Ketua Pemuda PAS Perak.

“Masa ini lah juga, Iraq lantik Pak Yusof Rawa jadi Konsulat Iraq di Pulau Pinang. Pak Yusof dapat 10 biasiswa untuk rakyat Tanah Melayu belajar di Baghdad. Tahun 1964 itu, ana gi ke Baghdad dengan biasiswa ini lah. Jadi ana pun berhentilah jadi Ketua Pemuda,” Ustaz menjelaskan sebab-sebab beliau tidak lagi memimpin Dewan Pemuda PAS Perak.

Pada 1964, Ustaz berangkat ke Iraq untuk menyambung belajar. Di sana beliau mendalam ilmu syariah dan bahasa Arab selama empat tahun, sehingga 1968.

Begitulah al-kisahnya aktivisme Ustaz dalam PAS sebelum beliau ke Baghdad pada 1964.

Allahummaghfirlahu…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 18/5/2020

- Advertisement -