Ustaz Hassan bercerita mengenai ‘3J’

- Advertisement -

SETIAP pagi, selepas selesai tilawah al-Quran, Ustaz Hassan akan ‘berekreasi’ dengan menyapu sampah dan memotong rumput di kawasan Markaz Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar. Jika Ustaz tak ke mana-mana, selalu Ustaz mengajak kami sarapan, dan saya yang paling suka bersembang dengan Ustaz. Bukan sembang sangat, tetapi mengorek info-info ‘first hand’ mengenai perjuangan PAS. Maklumlah, Ustaz bersama PAS sejak zaman Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan lagi. Selalunya kami minum bertemankan Abang Mat Zain dan Sulaiman Bujang. Kadang-kadang Haji Uzair menyertai kami, sama ada di Kedai Makan Anuar di tepi parit atau di Gerai Wak Kassim di bucu pagar. Jarang-jarang di Restoran Thaqwa.

Satu pagi, Ustaz bersembang mengenai gerakan pelajar Islam. “Kamu ingat tak Ustaz Johari, Zain?” tanya Ustaz kepada Abang Mat Zain. “Ustaz Johari Kementerian Penerangan ke Ustaz?” Abang Mat bertanya meminta penjelasan.

- Advertisement -

“Ya, Johari Ahmad,” jelas Ustaz. “Ustaz Johari itu lebih senior dari Ustaz Fadzil (Mohd Nor) di Maktab Mahmud. Dialah antara pemimpin utama KPAS (Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya),” Ustaz mula membuka cerita. Saya pula membuka telinga.

“Tahun ’50-an dulu, selepas dah tertubuh KPIP di Perak dan KPAK di Kedah, ada cadangan supaya pelajar Islam ada badan nasional. Macam pelajar Melayu ada GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung). Ini idea Ustaz Jamaluddin Amini (Marzuki). Dia orang Kedah. Asalnya sama-sama dalam KPAK di Maktab Mahmud, lepas itu jadi cikgu di maktab itu, tak boleh lagi aktif dalam KPAK.

“Sebab dia bersemangat, pada 1954 itu, dibuat satu perjumpaan pelajar Islam di Kuala Lumpur. Diajaknya Dr Burhanuddin al-Helmy datang sama. Perjumpaan itu dibuat di TAPIS (Taman Pendidikan Islam) kepunyaan Sheikh Mat Nor Langkat. Anak Sheikh Mat Nor ini, Hamidah Nor, dia salah seorang pengasas KPAS,” Ustaz mula bercerita panjang.

“Sape lagi yang terlibat Ustaz,” seperti biasa saya menjadi ‘moderator’ aka tukang tanya.

“Yang aktif itu KPIP dan KPAK je. Di Kuala Lumpur, kira TAPIS itu lah. Di Pulau Pinang, Persatuan Guru Agama Seberang Perai (PERGAS). Negeri-negeri belum ada (persatuan pelajar agama). Jadi pimpinan pun, di kalangan kami saja.

“Di Kedah, tokoh-tokoh utama adalah pelajar Maktab Mahmud. Antaranya Ustaz Fadzil, Ustaz Johari, Ustaz Jaiz Anwar dan Ustaz Jamaluddin Amini. Ustaz Jaiz masa ini dah masuk Maktab Mahmud. Orang Perlis pun ada yang aktif, antara Ustaz Ibrahim Yasin. Dia abang Ustaz Hashim (Jasin).

“Murabbi mereka Sheikh Taqiyuddin Qandil, orang kuat Kaum Muda. Dia asal Mesir. Masa Hassan al-Banna kena tembak (1949), dia Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah. Dia lari ke Malaya, sebab Gamal Nasir bunuh orang Ikhwan. Kira-kira dialah yang bertanggungjawab bawa pemikiran Ikhwan ke Malaya. Salah seorang pengikut utama dia Ustaz Abu Bakar Hamzah. Masa ini dia Ketua Pemuda Umno Perlis.

“Sheikh Taqiyuddin mengajar bahasa Arab di (Madrasah) Alawiyah di Arau dan juga Maktab Mahmud. Dialah yang jadi naqib usrah di Maktab Mahmud. Kira-kira budak-budak KPAK itu anak usrah dialah, termasuk Ustaz Fadzil. Dulu Ustaz Fadzil dia aktif dalam Persatuan Pelajar Alor Setar, sebelum masuk KPAK.

“Kami di Perak, pergerakan KPIP ini dibantu oleh Pak Aji Hassan Adli. Dewan Penuntut al-Ulum antara yang paling aktif, terutama Ustaz Saim (Yunus). Masa ini Pak Aji Hassan Adli baru jadi Ketua Pemuda PAS Pusat, ganti Ustaz Othman Abdullah yang jadi Setiausaha Agung PAS. Ustaz Othman Hamzah di Gunung Semanggol dengan isterinya, Ustazah Hayati Hassan, selain ana sendiri di Padang Rengas.

“Beza dengan KPIP dan KPAK, KPAS ini kebanyakkan pemimpinnya dah jadi cikgu termasuk ana, Ustaz Othman Hamzah dan Ustaz Jamaluddin Amini,” Ustaz terus semangat bercerita.

“Sape pemimpin utama KPAS ini Ustaz?” saya mencelah.

“Ketua KPAS ini Ustaz Jamaluddin Amini, sebab dia dah cikgu di Maktab Mahmud. Pada 1957 itu, dia dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, ganti Ustaz Baharuddin (Latif). Dia paling menonjol, kami-kami ini ngikut cakap dia je,” Ustaz merendah diri.

“Yang lain ialah Ustaz Johari itu lah. Dia Setiausaha Agung KPAS. Kira orang penting juga la. Lagi, Ustaz Jaiz Anwar. Dia Ketua Penerangan KPAS. Mereka bertiga ini boleh dikatakan penggerak sebenar KPAS. Lepas itu Ustaz Jaiz jadi Setiausaha Agung KPAS.

“Mereka bertiga ini kita sebut ‘3J’ – Jamaluddin, Johari, Jaiz. Nama mereka terkenal bila dia orang mewakili KPAS pergi ke Jakarta. Mereka bertemu dengan pemimpin-pemimpin Indonesia, termasuk Pak Natsir. Lawatan mereka keluar paper masa itu. Kira hebat lah boleh jumpa Menteri-menteri Indonesia yang dah merdeka, kita belum. Sebab itu, dalam Kongres PAS lepas itu, HMI (Himpunan Mahasiswa Islam) Indonesia datang sebagai tamu. Kira balas lawatan KPAS itu lah.

“Macam mana KPAS boleh hilang Ustaz? Kena haram ke?” saya panasaran, ingin tahu lebih lanjut.

“Bukan kena haram. Tapi tekanan politik kuat. Lepas merdeka, mereka ditekan oleh Umno,” jelas Ustaz.

“Sebabnya?” saya terus mendesak.

“Nama dia kan KPAS. Umno kata “ke PAS.” Kalau “ke Umno” takpe juga. Mereka tahu KPAS itu berjiwa PAS. Dan memang pun KPAS itu kira sayap perkaderan PAS untuk para pelajar masa itu. GPMS tidak pro Umno masa ini, kerana Dollah Ayub (Tan Sri Abdullah Ayub) itu orang API, jiwa kiri. Sebab itu KPAS kena tekan,” jelas Ustaz.

Saya tidak berpuas hati. Kerana ramai pengkaji kata Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai badan pelajar Islam pertama yang bertaraf nasional. Tapi Ustaz merungkai persoalan saya.

Saya bertanya lagi, “KPAS tu mati gitu je ke Ustaz?”

“Masa ’59-’60 tu, selain tekanan Umno, tokoh-tokoh utama KPAS dah tamat belajar. Mula-mula Ustaz Jaiz gi ke Mesir, lepas Ustaz Fadzil dan ramai juga lah. Ana gi ke Baghdad lewat sikit, 1964.

“Bila mereka gi ke Mesir, pelapis tak kuat macam mereka. Mereka berani. Tahun ’59 itu, Ustaz Jaiz bertanding di Alor Setar dan Ustaz Ibrahim Jasin bertanding di Perlis. Sebab itu KPAS jadi “ke PAS”. Dah lah Ustaz Jamaluddin Amini jadi orang kanan Ustaz Hassan Adli.

“Bila Ustaz Jaiz gi ke Mesir, Ustaz Ibrahim pula jadi pensyarah di Kolej Islam, takde orang berani nak pimpin KPAS. Sebab itu mati.

“Sebenarnya, bukan mati. Mereka ubah strategi. Anak-anak usrah KPAS yang dah ikut tarbiyah, lepas merdeka ramai yang masuk Kolej Pertanian di Sedang, Kolej Islam di Kelang, Universiti Malaya, Institut Bahasa dan lain-lain. Mereka fikir nak buat badan pelajar yang lain. Yang tak ‘dicop’ sebagai PAS. Nama tak boleh dah letak PAS. Dalam awal 1960-an itu mereka tubuh persatuan baru. PKPIM sekarang itu lah. Dulu PKPIM itu ikut PAS, sebelum Anwar (Ibrahim) masuk Umno,” Ustaz menjawab persoalan yang bersarang di hari saya.

Untuk maklumat semua, PKPIM ditubuhkan dalam tahun 1961 sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Tanah Melayu (PKPITM), sebelum dikenali sebagai PKPIM pada 1963.

Itulah cerita ‘3J’ yang Ustaz pernah kongsi dengan saya satu masa dulu. Semoga menjadi ingatan kepada kita semua. Ya Allah, Kau ampunlah dosa-dosa Ustaz…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 18/5/2020

- Advertisement -