Singgah Sahur PKPB semarakkan Ramadan

- Advertisement -

LUMUT: Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Kawasan Lumut untuk tahun keempat berturut-turut telah menganjurkan program Singgah Sahur ke agensi kerajaan di dalam Daerah Manjung, di sini.

- Advertisement -

Acara berkonvoi bersama kira-kira 12 ahli Pemuda PAS ini telah ke beberapa destinasi terpilih bagi mengagihkan 100 bungkusan juadah sahur, bermula sejak awal pagi tadi.

Destinasi terbabit ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Manjung, Hospital Seri Manjung, Hospital Pantai Manjung, Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung.

Malah, Singgah Sahur kali ini turut disertai Yang Dipertua dan Setiausaha PAS Kawasan Lumut, Rosli Abdul Rahman dan Hamidun Ahmad yang juga keduanya adalah Ahli Majlis Perbandaran Manjung.

Rosli berkata, PAS sentiasa menyokong dan mengalu-alukan sebarang program bermanfaat untuk rakyat seperti misi bantuan termasuk kepada ‘frontliners’ yang saban hari bertugas dengan penuh dedikasi sejak 18 Mac lalu.

Sementara itu, Pengerusi DACS Lumut, Muhd Firdhaus Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya bersyukur dapat meneruskan program ini walaupun berbeza dari tahun lepas berikutan masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sehubungan itu, pihaknya menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup hidung dan mulut serta menjaga penjarakan sosial semasa penyerahan menu sahur dan berharap ia diteruskan pada masa depan.

“Program ini secara tidak langsung dapat menzahirkan penghargaan kepada para petugas yang menyumbang tenaga dan masa kepada negara, di samping meraikan 10 malam terakhir di Bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas program itu, di sini.

Program itu turut dihadiri Ketua Pemuda PAS Lumut, Muhammad Nizar Majid dan Komandan Amal Lumut, Muazam Hafiz Osman serta beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Lumut. – HARAKAHDAILY 18/5/2020

- Advertisement -