Penduduk PPMS terima sumbangan Aidil Fitri

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Menyampaikan bantuan kebajikan masyarakat kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira perbezaan politik merupakan antara tanggungjawab setiap wakil rakyat.

- Advertisement -

ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria telah menyampaikan sumbangan makanan asas dan duit raya kepada semua 98 keluarga di Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah, di sini semalam.

Program yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung PPMS itu telah dihadiri oleh penerima secara berperingkat seawal jam 9:30 pagi bagi mempraktikkan penjarakan sosial ditetapkan.

Menurut Pegawai Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol, Ustaz Sallehuddin Abdullah, semua keluarga yang menerima bantuan terlebih dahulu telah dimaklumkan mengenai program yang akan berlangsung itu.

“Kebanyakannya pendapatan penduduk di sini terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal ini kerana sebahagian besar daripada mereka bekerja secara sendiri dan bergantung kepada pendapatan harian. Oleh itu, tindakan ini diambil untuk meringankan bebanan mereka,” jelas beliau.

Muhammad Muhyiddin Wahab, 56, ketika ditemui HarakahDaily berkata, dirinya menyifatkan peribadi ADUN Gunung Semanggol atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Pak Teh’ itu sebagai pemimpin yang sangat dekat di hati rakyat.

“Program hari ini kami rasa berbesar hati dan terima kasih untuk bantuan disumbangkan. Pak Teh (Razman) banyak bagi bantuan di sini. Sejak jadi YB, memang selalu Pak Teh turun padang santuni rakyat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 18/5/2020

- Advertisement -