Isu perkauman perlu dibendung – Agong

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan titah diraja bagi istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14. - Foto BERNAMA
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Melahirkan rasa bimbang melihat polarisasi kaum hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya isu tersebut perlu segera dibendung sebelum ia merebak menjadi barah kepada kestabilan negara.

Sebarang bentuk tindakan provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang perlu ditangani walaupun ia dilakukan oleh hanya sesetengah pihak.

- Advertisement -

Titah baginda lagi, setiap kaum perlu menunjukkan sikap dan tauladan yang jujur untuk mengeratkan hubungan.

Justeru itu, baginda menyambut baik pelaksanaan Pelan Tindakan Perpaduan Negara dalam usaha mengukuhkan kesepaduan sosial dan integrasi nasional.

“Hal ini bagi memastikan agenda perpaduan nasional dapat diterapkan secara menyeluruh menerusi elemen-elemen kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara,” titah baginda.

Sementara itu baginda turut menjelaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipertahankan seperti yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelas Yang di-Pertuan Agong, baginda mahu kerajaan hari ini mewujudkan pentadbiran agama Islam yang inklusif, progresif, membentuk membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban kearah kesejahteraan sejagat selaras dengan ajaran Islam yang syumul mengikut prinsip Maqasid Syariah.

Bagaimanapun, titah baginda, dalam masa sama, kerajaan ini akan terus mempertahankan hak-hak penganut agama lain unutk terus bebas mengamalkan agama mereka secara berhemah dan aman, titahnya.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.- HARAKAHDAILY 18/5/2020

- Advertisement -