Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 25)

- Advertisement -

ALLAH S.W.T dengan sifat Maha Pemurah lagi Pengasih sentiasa menganugerahkan rahmat dan nikmat yang berpanjangan kepada seluruh makhluk-Nya. Namun sikap manusia yang tidak mengenang anugerah Allah, bahkan yang lebih teruk mereka melanggar sempadan agama dengan berbuat apa sahaja kemungkaran, itulah yang menyebabkan datangnya bala. Jika musibah dan bala sudah mengena, tiada kuasa yang dapat menyekatnya melainkan Allah S.W.T sahaja. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَمَاۤ أَصَـٰبَكُم مِّن مُّصِیبَةࣲ فَبِمَا كَسَبَتۡ أَیۡدِیكُمۡ وَیَعۡفُوا۟ عَن كَثِیرࣲ. وَمَاۤ أَنتُم بِمُعۡجِزِینَ فِی ٱلۡأَرۡضِۖ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِن وَلِیࣲّ وَلَا نَصِیرࣲ

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu. Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.”

[al-Syura: 30-31]

Para Mufassirin menyatakan bahawa setiap musibah dan bencana yang menimpa manusia ada perkaitan dengan sikap manusia sendiri. Dalam Tafsir Al-Baghawi ada menyebut bahawa sesuatu bencana yang menimpa itu adalah sebagai penghapus dosa dan noda yang dilakukan manusia:

ما من نكبة أصابت عبدا فما فوقها إلا بذنب لم يكن الله ليغفر له إلا بها، أو درجة لم يكن الله ليبلغها إلا بها

“Tidak ada satu pun musibah yang menimpa seseorang hamba, demikian juga musibah yang lebih besar darinya, melainkan kerana disebabkan dosa yang Allah berkehendak mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut, atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut.”

Manusia semuanya berdosa dan terlalu banyak melakukan kesilapan pada setiap hari. Hanya para Nabi sahaja yang maksum iaitu terlepas daripada dosa. Jika manusia secara terus menerus melakukan dosa tanpa kembali kepada Allah, bencana yang buruk akan menimpa mereka dan hanya diangkat dengan kuasa Allah pada suatu masa yang ditentukan-Nya. Orang beriman yang terkena bencana akan diberi ganjaran serta diangkat darjat berdasarkan keimanan dan kesabarannya, manakala golongan yang kufur akan menjadi hina dan semakin tidak terurus kehidupannya.

Oleh yang demikian, apabila berada dalam waktu bencana dan wabak, semua manusia hendaklah mengingati kekuasaan Allah serta kembali kepada keampunan-Nya. Umat Islam hendaklah memperbanyakkan doa serta munajat dan berbuat kebajikan supaya wabak dan bala diangkat dengan seberapa segera oleh Allah. Wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia juga adalah hasil kesalahan kerja buat manusia, maka tiada kuasa yang dapat menyekat dan mengangkatnya melainkan Allah. Jika ditakdirkan sesuatu bencana itu adalah hasil rekaan manusia sekalipun, ia tidak akan berhasil melainkan dengan kuasa Allah jua.

Sempena Ramadan yang masih berbaki dan di sepuluh terakhir ini, sama-sama kita tingkatkan segala amalan dan memperbaiki syakhsiah agar tidak terjebak dengan perkara yang dimurkai oleh Allah S.W.T. Kita doakan kepada mereka yang telah terkena penyakit COVID-19 agar bersabar dan mematuhi segala arahan pihak petugas kesihatan, semoga Allah mengampuni segala dosa hasil kesabaran dan kepatuhan. Sabda Nabi S.A.W:

مَا مِنْ شَىْءٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ فِى جَسَدِهِ يُؤْذِيهِ إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ عَنْهُ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِه

“Tidaklah sesuatu musibah menimpa jasad seseorang Mukmin dan menyakitinya melainkan Allah ingin menghapuskan dosa-dosanya.”

[Riwayat Ahmad]

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
25 Ramadan 1441 / 18 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 18/5/2020

- Advertisement -