Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 24)

- Advertisement -

PENGHAYATAN ayat al-Quran melalui juzuk 24 lebih menekankan aspek hubungan akrab antara seseorang hamba dengan Allah dalam semua keadaan. Manusia yang jauh daripada rahmat Allah lama kelamaan akan hilang inayah dan petunjuk yang menyebabkan diri mereka bergelumang dengan maksiat. Apabila kemungkaran telah menguasai diri, mereka mula berani menentang tuntutan Allah dan tidak lagi merasakan Allah sebagai pencipta yang akan membalas segala tindak tanduk mereka. Dalam hal ini, Allah S.W.T menegaskan melalui firman-Nya:

- Advertisement -

وَمَا كُنتُمۡ تَسۡتَتِرُونَ أَن یَشۡهَدَ عَلَیۡكُمۡ سَمۡعُكُمۡ وَلَاۤ أَبۡصَـٰرُكُمۡ وَلَا جُلُودُكُمۡ وَلَـٰكِن ظَنَنتُمۡ أَنَّ ٱللَّهَ لَا یَعۡلَمُ كَثِیرࣰا مِّمَّا تَعۡمَلُونَ. وَذَ ٰ⁠لِكُمۡ ظَنُّكُمُ ٱلَّذِی ظَنَنتُم بِرَبِّكُمۡ أَرۡدَىٰكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم مِّنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ

“Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu). Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu. Maka menjadilah kamu daripada orang-orang yang rugi.”

[Fussilat: 22-23]

Manusia yang tidak merasai bahawa Allah sentiasa memerhatikan gerak-gerinya akan sanggup berbuat apa sahaja. Kehidupannya selalu cemas, penuh keserabutan dan dikuasai keseronokan duniawi. Hanya golongan yang beriman sahaja mampu berhadapan secara tenang mehnah kehidupan yang penuh pancaroba. Al-Imam Hasan Al-Basri pernah ditanya rahsia ketenangan serta kezuhudannya, lantas beliau berkata:

علمت أن الله مطلع علي فاستحييت أن يراني على معصية

“Aku mengetahui bahawasanya Allah sentiasa memerhatikan aku, maka aku merasa malu jika Dia melihatku berada dalam melakukan maksiat.”

Sangkaan yang buruk terhadap Allah S.W.T akan menyebabkan seseorang itu menempatkan dirinya dalam kebinasaan. Dia akan berfikir bahawa rezeki yang diperolehi, nikmat kesihatan yang dikecapi termasuk segala kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha sendiri. Dia melupai kekuasaan Allah ke atasnya yang sepatutnya apabila dia diberi nikmat rezeki, maka dia patut bersyukur serta bermuhasabah diri, apakah hikmah di sebalik kurniaan Allah tersebut. Begitu juga sebaliknya, jika ditimpa masalah dan musibah, seseorang itu hendaklah yakin bahawa di sebalik musibah itu ada hikmahnya tersendiri. Justeru, setiap Muslim mestilah bersangka baik dan bersifat redha kepada segala ketetapan Allah S.W.T kepadanya.

Jika kita berdoa kepada Allah S.W.T, maka hendaklah bersangka baik sekiranya hajat tidak dimakbulkan lagi. Mungkin Allah S.W.T mahu mengurniakan yang lebih baik daripada apa yang kita pohon. Allah sentiasa akan memperkenankan setiap doa hamba-Nya. Ada yang disegerakan dan ada yang ditangguh ke suatu masa yang dikehendaki-Nya. Maka, berprasangka buruk terhadap Allah merupakan sifat tercela yang harus dijauhi daripada diri setiap orang yang beriman kerana ia merupakan salah satu daripada dosa besar. Sikap seperti ini merupakan kebiasaan orang-orang kafir dan munafiq. Mereka berprasangka kepada Allah dengan prasangka yang buruk dan mereka selalu mengharapkan kekalahan serta kehancuran kaum Muslimin. Akan tetapi Allah membalik tipu daya mereka serta memberi ancaman dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat. Firman Allah S.W.T:

إِنَّ ٱلَّذِینَ یُلۡحِدُونَ فِیۤ ءَایَـٰتِنَا لَا یَخۡفَوۡنَ عَلَیۡنَاۤۗ أَفَمَن یُلۡقَىٰ فِی ٱلنَّارِ خَیۡرٌ أَم مَّن یَأۡتِیۤ ءَامِنࣰا یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِۚ ٱعۡمَلُوا۟ مَا شِئۡتُمۡ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرٌ

“Sebenarnya orang-orang yang menyeleweng daripada jalan yang benar mengenai ayat-ayat keterangan Kami, tidak terselindung keadaan mereka daripada pengetahuan Kami. Maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman dan selamat pada hari kiamat? Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.”

[Fussilat: 40]

Oleh kerana itu, perbaikilah diri kita agar sentiasa meletakkan husnu zhan kepada Allah. Antara kaifiat supaya seseorang itu sentiasa bersangka baik ialah; memahami sifat yang wajib bagi Allah, sentiasa mendekatkan diri dengan Allah melalui ibadat, mengamalkan zikir pagi dan petang, bersabar dengan musibah dan menjauhi segala perkara mungkar. Sementara Imam Al-Nawawi ada menyebut bahawa tanda seseorang hamba itu berhusnu zhan kepada Allah ialah lidahnya sentiasa dibasahi dengan istighfar dan zikrullah di samping selalu memberi keutamaan kepada agenda agama melebihi hal ehwal keduniaan.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
25 Ramadan 1441 / 18 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 18/5/2020

- Advertisement -