Ramadan: Ikhlaskan diri, insafi Badar Kubra

- Advertisement -

SUASANA pandemik COVID-19 yang melanda negara seluruh dunia ketika ini ke arah menunjukkan pemulihan khususnya di negara tercinta, Malaysia ini dengan pelbagai langkah proaktif diambil.

Namun, kehidupan normal baharu yang terasa kekok di awalnya sudah mula menjadi kebiasaan malah pengumuman YAB Perdana Menteri baru-baru ini melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 4 minggu lagi diterima baik.

Kelihatan juga di sana sini penduduk mengamalkan kehidupan dengan baik dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan khususnya disiplin ketika berada di khalayak umum melibatkan kehadiran yang ramai.

Malah dalam beberapa buah kajian Antarabangsa mencatatkan Malaysia berada di tangga ke-4 daripada 105 negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha Kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

- Advertisement -

Ini bererti rakyat bersama pimpinan negara ketika ini berkorban bersama dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak yang menjadi pandemik seluruh dunia ketika ini.

Pengorbanan ini bersifat untuk kepentingan bersama penduduk demi negara yang turut dituntut dalam Islam. Firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa’, ayat 125;

“Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.”

Mengambil pengajaran daripada sirah Badar al-Kubra pula membuktikan ada beberapa elemen penting sedang diikuti oleh kita semua lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan al-Mubarak ini.

Dengan kebenaran solat fardhu berjemaah 5 waktu, Solat Jumaat serta Solat Sunat Terawikh dan Solat Sunat Aidilfitri di masjid atau surau terpilih menjadikannya berita yang sangat menggembirakan semua.

Pertamanya merujuk kepada keterlibatan golongan yang sedikit iaitu seramai 313 atau 314 orang melawan ribuan tentera Quraisy, mereka sanggup berkorban jiwa untuk kepentingan Baginda dan agama Islam.

Kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Islam di Madinah dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar dengan menunjukkan bilangan sedikit yang berkualiti menyejahterakan keseluruhannya.

Keduanya kita mesti sedar bahawa mentaati pemimpin serta memberikan ‘tsiqah’ (kepercayaan) ke atas keputusan yang dibuat secara ‘musyawarah’ yang mengambil kira keperluan dan kepentingan pelbagai pihak adalah sesuatu yang terbaik ketika ini.

Tambahan pula, menjaga agama dan mempertahan negara adalah dituntut dalam Islam yang turut menjadi salah satu Maqasid Syari’ah. Maksud Hadis Nabi S.A.W;

“Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.”

(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Ketiganya adalah strategi dan perancangan yang susun atur untuk dijayakan bersama mestilah dilihat kepada matlamat besar yang mungkin masih jauh untuk dicapai namun, kesatuan atau kesepakatan itu amatlah penting.

Tanpa kita menafikan kebolehupayaan seseorang itu menerimanya akan ada perbezaannya berdasarkan situasi dan tahap kesukaran berlainan yang dihadapi penduduk.

Selari dengan itu, kita sebagai rakyat mestilah ikhlas menerimanya demi kebaikan bersama sehingga kita dianggap menang melawan ujian getir pandemik COVID-19 ketika ini.

Sifat keikhlasan tersebutlah wujud dalam diri mereka (pejuang Perang Badar) dan menjadi syarat kemenangan menyebabkan mereka berjaya dengan cemerlang melakarkan kejayaan yang amat luar biasa.

“Katakanlah lagi (wahai Muhammad): “Sesungguhnya diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya.”

(az-Zumar: 11)

Marilah sama-sama kita terus beramal dengan sebaiknya khususnya di penghujung Ramadan pada kali ini termasuklah memburu Lailatul Qadar agar kita menjadi golongan yang beruntung dunia dan akhirat, InsyaAllah.

ZULFAHMI RAMLI – HARAKAHDAILY 17/5/2020

- Advertisement -