PKPB: 1,248 cuba rentas negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan terdapat lebih daripada sekali ganda peningkatan kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung.

- Advertisement -

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, PDRM telah melakukan pemeriksaan keatas 218,027 kenderaan.

Semalam, sebanyak 1,248 kenderaan yang cuba merentas negeri telah diarahkan berpatah balik.

Manakala, berbanding pada hari sebelumnya iaitu sebanyak 508 kenderaan yang telah diarahkan untuk berpatah balik.

“Maknanya lebih daripada sekali ganda rakyat yang cuba untuk curi-curi pulang ke kampung dengan pelbagai alasan.

“Setelah bersiap sedia daripada lepas sahur bawa anak isteri dan sampai ke sekatan jalan raya dan diarahkan berpatah balik.

“Alhamdulillah, pihak polis masih lagi arahkan berpatah balik. Katakan tiba-tiba pihak polis mengenakan kompaun RM 1,000 jadi yang rugi adalah kita.

“Saya harap tidak perlu tuan puan cuba untuk balik ke kampung terutama kepada yang merentas negeri ini.

“Bagi mereka yang pulang ke kampung dan terlepas daripada sekatan. Tetapi saya ingin ingatkan lepas sekatan jalan raya balik tidak bermakna mereka mungkin terlepas untuk pulang balik ke tempat kerja,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail turut berkata, Ketua pengarah kesihatan dan pihaknya sudah beberapa kali ingatkan hanya seramai 20 orang untuk hari raya pertama sahaja.

“Jadi kalau di kampung sudah ada saudara mara ramai mungkin sudah lebih daripada 20, kita sudah melakukan kesalahan kedua selepas rentas negeri, berada di rumah lebih daripada 20 orang. Dua kali kena kompaun. Jadi ianya sesuatu yang amat merugikan.

“Sabarlah, kalau kita semua patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan trend positif Covid-19 ini menurun. Suatu hari nanti PKP ini juga akan ditamatkan dan kita bebas untuk balik ke kampung,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2020

- Advertisement -