Kedah negeri PH terakhir dalam krisis

- Advertisement -

SEPATUTNYA Kedah jadi kubu terkuat Bersatu mengibarkan bendera kerajaan Pakatan Harapan. Justeru ia adalah negeri Doktor Mahathir yang jadi tonggak meruntuh kerajaan Umno/Barisan Nasional yang berkuasa 60 tahun itu.

- Advertisement -

Kerana parti anti Umno di Kedah tidak bersatu, PH dan Bersatu hanya beroleh majoriti secukupnya untuk membentuk kerajaan. Kerajaan macam itu biasanya rapuh apabila komponan utamanya – PKR dan Bersatu – ditegakkan atas asas yang tidak ngam.

Dari mula rapuhnya kerana ia ada dua nakhoda yang sama handal, Mahathir dan Anwar Ibrahim. 20 bulan kerajaan PH berlaga sama sendiri baik di peringkat pusat mahupun pada kebanyakkan negeri ia membentuk kerajaan.

Dua kerajaan negeri ia kukuh iaitu Selangor dan Negeri Sembilan diketuai PKR yang disokong kuat oleh DAP manakala di Pulau Pinang DAP berkuasa mutlak. Yang lainnya, Johor, Melaka, Perak dan Kedah ditegakkan atas tapak yang tidak kukuh.

Apabila kerajaan pusat runtuh berdahulu-dahuluan menjadi kerajaan Perikatan Nasional. Yang terakhir Kedah. Tonggaknya Bersatu beroleh 6/7 kerusi sahaja. Itupun ia dapat curi seorang dari Umno. PAS paling handal menunggu dengan 15 Adun dan bila Umno bermuafakat dengannya ia sudah jadi 17. Majoriti mudahnya 18.

DAP tiada kekuatan kerana ada dua sahaja. Amanah ada 4, tapi tiada peranan. Yang ada peranan Bersatu dan PKR sahaja. Bila dua-duanya bergolak, PKR berlaga dengan Bersatu, PKR juga berlaga sama sendiri. Bersatu pula berlaga antara Pengerusinya dan Presidennya, maka Kedah menunggu masa selepas Johor, Melaka, dan Perak.

Sehingga Johor, Melaka dan Perak jatuh, Bersatu tidak dapat menyelesaikan krisisnya dan tidak menyelesaikan krisis dengan PKR. PKR pula tidak dapat menyelesaikan krisisnya sama sendiri, Kedah berada dihujung tanduk.

Semuanya menyumbang kedudukan selesa bagi PAS dan BN dan disedapkan pula apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyddin Yassin kini menjadi pemimpin kerajaan Perikatan Nasional naik berdaftar atau pun tidak.

Peranan Bersatu paksi Muhyiddin itu yang menjadikan PAS-Umno begitu penting dan meletakkan MB Mukhriznya bukan sekadar telur dihujung tanduk bahkan jadi embun di daun keladi. PAS tak buat apa, bila PKR pecat dua Adunnya, PAS jadi kuat. Bila Adun Bersatu pro Muhyiddin, hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, menguatkan lagi PAS dan Umno.

PAS tidak perlu buat apa. Biarkan Mukhriz menjerit mengaku dia masih Menteri Besar, berapa hari dua hendak menjerit.

Masakan Sultan hendak bermenteri besarkan seorang yang tiada sokongan majoriti di Dun dan Pegawai Kerajaan Negeri yang mana hendak patuh kepada seorang yang sudah tidak layak menjadi Menteri Besar.

Bila ada mesyuarat Raja-Raja di Kuala Lumpur masakan yang mengiringi Sultan adalah seorang tidak lagi layak berada di situ.

Mahu tidak mahu Perdana Menteri akan memberi pencerahan atas perkara, sekalipun Mukhriz tidak mahu bergerak dari kerusi MB Kedah.

Katakanlah semuanya termasuk istana biarkan Mukhriz duduk di situ, sampai berapa lama?

Nabi Sulaiman telah lama wafat. Jin tidak sedar dan tidak memerhatikannya. Hinggalah datang anai-anai di kerusi dan tongkat Nabi Sulaiman. Setelah kerusi dan tongkatnya reput, Nabi Sulaiman pun rebah baharu semua tahu Baginda sudah lama wafat.

Kita hendak tunggu Mukhriz jadi macam itu untuk memilih Menteri Besar baharu?

- Advertisement -