Dahulu Setpol MB, kini jadi MB….

- Advertisement -

TANGGAL 4 Ogos 1974, hari kelahiran beliau, ya sama bulan dengan saya ‘geng’ Bintang Leo, namun berbeza tahun, beliau lebih berusia sedikit berbanding penulis walau rambut penulis membayangkan Penulis lebih berusia, dan sudah ketentuannya.

- Advertisement -

Mungkin geng bulan Ogos ini geng cengei……atau kebetulan sahaja, tak mahu cerita lebih sebab penulis bukan siapa-siapa.

Dahulu semasa beliau jadi Setiausaha Politik (SetPol) Almarhum Tan’ Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, mantan Menteri Besar Kedah, beliau meniti perjalanan politik yang cukup banyak rembesan pengalaman.

Pertama kali mewawancara beliau di Wisma Darul Aman (semasa beliau menjawat SetPol) bersama rakan penulis, Izwan Halim, Azamin Amin dan Wan Zahari Wan Mohd Salleh, dan ditemani Helmi Khalid selaku Setiausaha Akhbar MB ketika itu. Banyak idea dan gagasan Almarhum melekat kemas dalam fikirannya.

Benar sosok ini banyak membantu perjalanan politik Almarhum hingga kepada Almarhum mantan MB amat dikenali dengan kesederhanaan dalam menerajui negeri Jelapang Padi.

Bekas orang kuat NGO IMPAK ini lulusan Universiti Sains Malaysia (USM, dia jugalah membidik kenyataan media beberapa orang politik suatu masa lalu) yang bagi saya amat tajam cara tulisan dan pengamatannya.

Darah penulisnya lekat hingga dia menjawat Pengarah PASRelief, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, dan ADUN Jeneri.

Beliau adalah Anak ketujuh daripada 13 adik beradik kepada pasangan Haji Md Nor Taib dan Hajjah Meriam binti Haji Ahmad. Berkahwin dengan Jusmalailani Jusoh dan dikurniakan 5 orang anak.

Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Batu 5, Sik, Sekolah Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Sekolah Menengah Sik, Sekolah Menengah Derma Kangar Perlis dan USM kemudiannya.

Bermula sebagai aktivis NGO, beliau menyusur jalan politik bersama PAS dengan penuh tekun.

Di Kedah, beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Sik, Kedah (2015 hingga kini), Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah (2015 hingga kini).

Ya tuturnya agak ‘cengei’ kata orang Kedah, tapi siapa yang kenalinya tahu hati budinya, saling tak tumpah sedikit sebanyak gaya mantan MB, Almarhum Ustaz Azizan bekas bossnya.

Memang biasa gaya orang Kedah ini bercakap begitu, tapi jika yang tidak biasa maka akan mudah terasa.

Suatu ketika semasa penulis yang juga ketua penerangan NGO Generasi menjalankan misi meninjau isu projek tambak laut di persiaran gurney di Pulau Pinang, ketika itu beliau menerajui Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, maka memang isu Alam Sekitar di bawahnya

“Fuh wan hang pakai Alphard, biaq betui,” sebaik penulis dan Presiden NGO Generasi, Ustaz Roslan Md Esa turun dari kereta yang sebenarnya milik Ustaz Roslan.

“Haaa, tak Gila nak pakai aih, makan pun tak lepaih, ” jawab penulis berseloroh sebab beliau memang suka berseloroh, malah itulah tanda kemesraan.

Menteri Besar Kedah yang baharu, anak jati Sik yang juga aktivis masyarakat suatu masa lalu

Semasa penulis menghadapi masalah, beliau pernah menghulurkan bantuan secara senyap-senyap, hanya penulis tahu melalui Izwan selepas bantuan itu diterima. Ya dia memang bukan jenis orang yang kecoh sana-sini dalam membantu, tidak pun mahu populariti.

Bukan memuji, sekadar menulis pengalaman sendiri berurusan dengan beliau.

Watak ‘cengei’ nya bukan lah gambaran sebenar jiwanya yang halus dan mudah tersentuh atas penderitaan orang lain, dia kerab mengetuai misi bantuan ke Arakan, bagi membantu etnik Rohingya di khemah pelarian di sana bersama Ustaz Yusni Mat Piah, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ustaz Tarmizi Sulaiman.

Malah beliau merentas ke Palestin juga bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa kezaliman regim Zionis.

Kini beliau ADUN Jeneri, dua tahun lalu beliau menang dalam Pilihan Raya Umum ke14 dan ketika itu PAS hampir-hampir dapat menerajui kerajaan Kedah mengulangi kejayaan tahun 2008, namun apakan daya PAS hanya menang 15 kerusi dan ketika itu belum bertaawun dengan Umno lagi bagi membentuk kerajaan, apatah lagi Dua wakil rakyat Umno menyertai kem PH untuk membentuk kerajaan yang berMenteri Besarkan Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Tidak menjadi kudis buta kepada PAS kerana menang atau kalah itu suatu lumrah, menang adalah tanggungjawab, kalah tidak sesekali menjadikan pejuang PAS untuk kecewa kerana matlamat mendapat redha Allah adalah lebih utama.

Hari ini (Tanggal 17 Mei) adalah tarikh bersejarah sekali lagi buat rakyat Kedah, sekali lagi rakyat negeri ini menerima Menteri Besar baharu. Beliau baru selesai mengangkat sumpah sebentar tadi.

Menteri Besar yang disebutkan adalah insan yang saya tulis kisahnya diatas, dia adalah bekas SetPol Menteri Besar suatu Masa lalu, dan kini beliau menjawat jawatan itu iaitu Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Beliau adalah ADUN Jeneri, YAB HAJI MUHAMMAD SANUSI MD NOR yang mengangkat sumpah menerima jawatan ini secara rasmi di hadapan Al Sultan Kedah.

Tahniah rakyat Kedah, tahniah orang Sik, tahniah orang Jeneri, tahniah juga kepada PAS kerana wakil rakyat kalian, dari orang kebiasaan kini menjadi anak tempatan yang menerajui negeri ini.

WAN NORDIN WAN YAACOB

Penulis adalah Ketua Pengarang Harakah dan Ketua Penerangan NGO Generasi serta AJK Lestari PAS Pusat. HARAKAHDAILY 17/5/2020

- Advertisement -