Tun M jangan bersikap hipokrit – Menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diharapkan tidak bersikap hipokrit dengan mengatakan beliau tertanya-tanya dan tidak faham terhadap keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan Riza Aziz kes pengubahan wang haram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Takiyuddin bin Haji Hassan berkata keputusan itu dibuat oleh Peguam Negara dan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes ini di akhir tahun 2019.

“Kerajaan berharap Tun tidak bersikap hipokrit dengan mengatakan beliau ‘tertanya-tanya’, keliru dan tidak faham terhadap suatu keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara dan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes ini di akhir tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Mahkamah Sesyen pada Khamis lalu, membenar permohonan melepaskan tanpa membebaskan Riza, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga seorang penerbit di Hollywood, terhadap lima tuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta.

Menerusi persetujuan dicapai antara Riza dan pihak pendakwaan yang mana dengan syarat aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta) perlu dipulangkan semula kepada kerajaan.

Namun begitu, Tun Mahathir dalam reaksinya menyatakan kegusaran apabila Mahkamah Sesyen membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Riza selepas bersetuju untuk mengembalikan semula aset-aset berkaitan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tindakan Tun Mahathir amat-amat tidak menasabah sebagai bekas perdana menteri pada masa material.

“Kerajaan berharap Tun Mahathir tidak terus bertindak mengelirukan rakyat dengan mengatakan beliau ‘keliru’.

“Kerajaan PN akan terus bertindak mengikut undang-undang dan berpegang kepada prinsip kebebasan badan kehakiman dan proses perundangan yang sah mengikut undang-undang,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 16/5/2020

- Advertisement -