RM148j untuk pengusaha FELDA, FELCRA, RISDA

- Advertisement -

PERTUBUHAN Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Perikatan Nasional berikutan pengumuman yang dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri pada hari semalam berkenaan bantuan khas Hari Raya buat peneroka FELDA, FELCRA dan RISDA.

Ini membuktikan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional prihatin dengan tekanan hidup dan kesusahan rakyat khususnya peneroka FELDA, FELCRA dan RISDA dalam menghadapi kemerosotan ekonomi akibat daripada wabak pandemik COVID-19.

Tindakan prihatian dan berkebajikan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dengan memperuntukkan sebanyak RM148 juta ini pastinya akan meringankan beban 113 ribu peneroka FELDA, 90 ribu pengusaha (B40) FELCRA dan 292 ribu pekebun kecil RISDA dalam menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

- Advertisement -

Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) juga pada masa yang sama mencadangkan agar Kerajaan dapat membangun satu pelan khas jangka masa panjang bagi meningkatkan produktiviti serta keberhasilan para peneroka FELDA, FELCRA dan RISDA pada masa akan datang. Sudah tiba masanya industri membabitkan FELDA, FELCRA dan RISDA melangkah ke tahap kecemerlangan yang lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini.

Akhir kata, Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) selaku NGO yang terlibat di peringkat akar umbi dalam membela nasib para peneroka bersedia menjadi pemudah cara kepada pihak Kerajaan untuk melakar pelan masa depan baru bagi pengusaha FELDA, FELCRA dan RISDA ke arah keberhasilan yang lebih mapan, mandiri dan berdaya saing sekali gus membaik pulih ekonomi negara yang merosot akibat daripada wabak pandemik COVID-19 ini.

Sekian

Terima kasih.

ROSLAN MD ESA
Presiden,
Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI)
16 Mei 2020M / 23 Ramadhan 1441H – HARAKAHDAILY 16/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -