Rebutlah 10 malam terakhir Ramadan

- Advertisement -

TARBIYAH RAMADAN 2

- Advertisement -

Kehidupan di dunia ini sebenarnya adalah satu perjalanan menuju ke alam akhirat. Ia umpama seorang musafir di tengah padang pasir gersang yang sedang menuju ke destinasinya, lalu tiba-tiba bertemu dengan satu kebun yang begitu subur.

Di kebun subur itu terdapat mata air yang cukup segar, dipenuhi dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan segala macam keperluan yang diperlukan oleh seorang musafir untuk memenuhi keperluannya sebelum meneruskan perjalanannya yang masih panjang.

Di kebun itu pula terdapat dua pintu, satu di hadapan dan satu lagi di bahagian belakang kebun.

Di pintu masuk bahagian hadapan kebun, pemiliknya berdiri sambil mengalu-alukan kedatangan sang musafir sambil berkata “ Silalah masuk, ambillah apa sahaja yang kamu inginkan untuk keperluan kamu ketika bermusafir. Ini pintu masuk dan di hujung sana pintu keluar “.

Begitulah perumpamaannya untuk bulan Ramadhan yang mulia ini. Ramadan ialah umpama kebun pahala kepada umat manusia yang sedang bermusafir menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.

Pemilik Ramadan ialah Allah SWT yang senantiasa mengalu-alukan hamba-hambanya yang beriman untuk merebut kelebihan beribadat dan pahala di bulan yang mulia ini.

Kita sekarang berada pada 10 hari terakhir dalam keseluruhan bulan Ramadhan. Ianya adalah kemuncak Ramadan kepada umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah mereka kepada Allah.

Terdapat padanya satu malam yang cukup mulia dan jika dilaksanakan amal ibadah, maka kelebihan dan pahalanya adalah sama dengan seribu bulan atau 83 tahun.

Adakalanya kita umat Islam di zaman ini berasa irihati dengan umat-umat terdahulu kerana mereka dikurniakan oleh Allah SWT dengan umur yang cukup panjang sehingga mencapai ratusan tahun, malah ada yang mencapai ribuan tahun.

Bagi kita umat Islam dekad ini, majoritinya hanya berumur sekitar 60 tahun sahaja, bahkan di zaman ini cukup ramai yang mati seawal usia remaja dan muda kerana berpenyakit, kemalangan, bencana alam dan sebagainya.

Umat zaman dahulu umur mereka cukup panjang, contohnya umat Nabi Nuh A.S. yang dikurniakan umur ratusan bahkan ribuan tahun.

Kita sudah tentunya berfikir alangkah beruntungnya mereka kerana mempunyai masa yang cukup panjang untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Akan tetapi Allah itu Maha Adil khususnya kepada umat Nabi Muhammad SAW yang dijadikan semulia-mulia umat dari kalangan seluruh umat manusia. Allah telah mengurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW masa-masa, hari-hari, bulan-bulan dan malam yang dilipat gandakan pahalanya di sisi Allah SWT.

Maka sudah tentulah daripada kesemua itu kemuncaknya adalah Malam Qadar yang disebut kelebihannya oleh Allah SWT khusus di dalam surah al-Qadr.

Pada 10 malam yang terakhir ini, amalan Rasulullah SAW adalah contoh dan teladan yang terbaik untuk diikuti. Baginda adalah manusia yang paling banyak beribadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada malam-malam sebegini walaupun Baginda adalah Nabi yang maksum dari segala dosa.

Oleh itu bermujahadahlah mencari Malam Qadar dan bukan bersungguh-sungguh mencari tanda-tanda pelik yang berlaku pada malamnya seperti pokok kelapa tunduk ke bumi sebagaimana difahami oleh segelintir masyarakat hari ini.

Dengan bersusah payah hanya untuk mencari tanda-tandanya tetapi tidak menghidupkannya dengan amal ibadah, maka tiadalah apa pun berguna. Maksud mencari malam Qadar atau Lailatul Qadar ialah dengan dihidupkan amal-ibadah kepada Allah, maka barulah kita semua akan memperoleh fadhilatnya.

Saya tertarik dengan pesanan Imam Masjid Al-Haram, Syeikh Mahir al-Mu’aiqili kepada umat Islam. Kata beliau, umat Islam paling kurang mestilah melakukan tiga perkara pada setiap malam 10 yang terakhir ini.

Pertama, solat sunat dua rakaat. Ini adalah kerana jika bertepatan dengan Malam Qadar, maka pahalanya sama seperti solat selama 83 tahun.

Kedua;,menderma satu riyal/ringgit. Ini adalah kerana jika bertepatan dengan Malam Qadar, maka pahalanya sama seperti menderma selama 83 tahun.

Dan yang ketiganya ialah membaca surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, pahala membacanya sekali sama seperti membaca satu pertiga Al-Quran. Maka jika dibaca sebanyak tiga kali, maka pahalanya sama seperti membaca seluruh Al-Quran.

Ayuh umat Islam sekalian, marilah kita sama-sama bermujahadah di malam – malam yang mulia ini untuk memperolehi fadhilat yang sangat besar ini.

‘Pintu’ keluar Ramadan sangat hampir dengan kita. Rebutlah sebaik – baiknya peluang beribadah untuk mengumpulkan pahala sebanyak mungkin.

Jadikanlah bulan Ramadan pada kali ini umpama Ramadan terakhir yang akan meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Usah sia – siakan peluang yang ada, rebutlah ketika nyawa masih ada kerana tiada satu manusia pun tahu bila ajalnya akan menjelang tiba.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 16/5/2020

- Advertisement -