Nafas baharu buat golongan belia

KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur kepada golongan belia yang menganggur mampu memberi “nafas baru” kepada golongan itu.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata dasar Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa untuk tidak membenarkan pekerja asing bekerja di pasar borong dengan menawarkan khidmat pekerja tempatan perlu disokong.

“Diharapkan anak muda tidak mensia-siakan rezeki peluang pekerjaan ini dan tidak memandang rendah kepada kerja-kerja berkaitan 3D iaitu Dangerous (Bahaya), Dirty (Kotor), Difficult (Susah).

Advertisement

“Stigma tersebut harus dibuang dan kita perlu bekerja keras,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur kepada golongan belia menganggur dengan gaji sebanyak RM2,400 sebulan.

Mengulas lanjut, Shahir berkata dengan gaji yang ditawar adalah jauh lebih tinggi daripada gaji minimum ketika era Pakatan Harapan (PH), RM 1,050 kemudian dinaikkan kepada RM 1,100.

Menurutnya, di saat PH gagal menunaikan manifesto untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda, walaupun ketika negara dibadai pelbagai krisis.

“Di saat negara dilanda wabak Covid-19, ramai anak muda hilang pekerjaan dan menganggur.

“Namun begitu, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menzahirkan rasa kesyukuran apabila Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang untuk menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur kepada golongan belia yang menganggur. Sememangnya, terdapat rahmat di sebalik musibah yang terjadi.- HARAKAHDAILY 16/5/2020