Bacaan yang sedikit tetapi pahalanya sangat banyak

- Advertisement -

BERSEMPENA dengan hari-hari yang kesepuluh akhir Ramadan marilah kita menggandakan amalan sebanyak mungkin termasuklah amalan yang kecil tetapi pahalanya besar. Sabda Nabi S.A.W dari Hadis Abu Darda’ R.A:

- Advertisement -

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ فِي لَيْلَةٍ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ؟ قَالُوا : وَكَيْفَ يَقْرَأْ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ؟ قَالَ : قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ

“Adakah kamu tidak mampu membaca dalam satu malam satu pertiga al-Quran?. Mereka (para Sahabat) berkata: Bagaimana seseorang membaca sepertiga al-Quran? Sabda Baginda: Qul huwallahu ahad (surah al-Ikhlas) menyamai sepertiga al-Quran.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Pengajaran dari Hadis:

(1) Pertanyaan Nabi S.A.W kepada para Sahabat itu bermaksud takkanlah kamu tidak mampu mendapatkan kelebihan membaca sepertiga al-Quran sedangkan caranya sangat mudah iaitu dengan membaca surah al-Ikhlas.

(2) Adapun maksud surah al-Ikhlas menyamai sepertiga al-Quran di sana ada beberapa pandangan ulamak seperti yang disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari dan Imam Nawawi dalam syarah Sahih Muslim. Kesimpulannya seperti berikut:

(i) ada ulamak berpegang dengan makna zahir Hadis iaitu sesiapa yang membaca surah al-Ikhlas dia akan mendapat pahala seperti membaca sepertiga al-Quran dan jika dia membaca 3 kali surah al-Ikhlas dia akan mendapat pahala seperti khatam al-Quran.

(ii) Ada ulamak mentakwilkan maknanya iaitu seumpama mendapat pahala membaca ayat-ayat berkenaan tauhid di dalam al-Quran kerana surah al-Ikhlas mengandungi keterangan berkenaan tauhid dan sifat-sifat Allah S.W.T.

Dan di sana ada lagi beberapa pandangan yang lain.

Kesimpulannya marilah kita cuba membaca sebanyak mungkin al-Quran dan kalau kita tidak mampu membaca surah-surah yang panjang kita bacalah surah-surah yang pendek tetapi kelebihannya sangat besar seperti beberapa Hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi;

(a)

“Iza zulzilati (surah Zalzalah) menyamai separuh al-Quran, (surah) al-Kafirun menyamai satu perempat al-Quran.”

(b)

“Ayatul Kursi menyamai satu perempat al-Quran.”

Walaupun sebahagian Hadis ini dinilai lemah tetapi ulamak mengharuskan beramal dengannya dalam bab fadail a’mal. Selamat membaca al-Quran.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan,
Negeri Perak Darul Ridzuan – HARAKAHDAILY 16/5/2020

- Advertisement -