Anak: Liabiliti yang ajaib

liabiliti
- Advertisement -

DALAM tulisan terdahulu saya sebut liabiliti tak terhad kepada hutang. Kereta juga adalah liabiliti sekali pun sudah habis dibayar hutang banknya. Saya juga telah jelaskan maksud liabiliti secara mudah iaitu suatu yang menjadi punca kepada duit keluar. Selagi ada liabiliti, selagi itu ada duit keluar.

Suka saya ingatkan sekali lagi bahawa formula ini bukan formula perakaunan. Formula ini juga bercanggah dengan mazhab ‘capital gain’. Selepas bereksperimen selama hampir 10 tahun, terbukti formula ini ialah formula kewangan yang paling praktikal khususnya di era krisis kewangan sekarang ini.

- Advertisement -

Anak ialah liabiliti

Guru kewangan saya, Robert T Kiyosaki ada mencipta satu permainan kewangan. Dalam permainan itu beliau turut memasukkan anak sebagai punca duit keluar. Tetapi beliau tidak menyebut anak sebagai liabiliti.

Dengan penuh hormat, saya sebut anak ialah liabiliti. Namun ia dalam konteks yang neutral. Ini kerana liabiliti selalu dipandang sebagai ‘beban’ kewangan. Jika anda ingat, saya pernah sebut liabiliti ialah ‘tanggungan’ kewangan. Dua perkataan yang membawa emosi yang berbeza.

Lazimnya ‘beban’ membawa emosi yang negatif dan sinonim dengan suatu yang berat. Sedangkan ‘tanggungan’ ialah suatu kemestian yang membawa emosi neutral bahkan barangkali emosi bangga.

Tanyalah orang bujang, semua mahu kahwin. Tanya pula orang yang berkahwin, semua mahukan anak. Sebenarnya sebelum anak itu menjadi suatu liabiliti, isteri itu terlebih dahulu adalah liabiliti si suami. Hidup mungkin sempurna tanpa hutang. Tetapi hidup tak sempurna tanpa liabiliti.

Anak penyatu akaun keluarga

Anak bukan saja penyatu ikatan keluarga bahkan anak juga ialah penyatu akaun keluarga. Selepas anak lahir macam-macam belanja yang akan keluar. Dalam situasi asal, semua belanja ialah dari poket ayah. Tetapi dalam situasi rata-rata suami isteri bekerja, formula itu boleh dikatakan tidak praktikal.

Maka di sini perlunya perbincangan suami isteri soal belanja anak. Detailkan belanja si anak, berapa jumlahnya dan siapa yang bayar. Jika dalam soal lain anda tak buat bajet, kelahiran cahaya mata sepatutnya melatih anda untuk buat bajet.

Sampai si anak umur berapa perlu ibu ayah keluarkan belanja? Dalam situasi asal, anak lelaki ditanggung belanjanya hingga umur 13 tahun. Manakala anak perempuan hingga berkahwin. Tetapi dalam realiti sistem pendidikan dan sistem sosial yang ada hari ini, umur tanggungan anak adalah lebih tinggi.

Bahkan berdasarkan maklumat yang saya terima, dijangka akan berlaku penghijrahan penduduk bandar ke kampung akibat krisis ekonomi pasca COVID-19 nanti. Justeru tidak mustahil jika ibu ayah di kampung terpaksa menyara anak-anak mereka yang dewasa itu buat sementara waktu.

Rezeki yang dijamin

Liabiliti atau duit belanja yang disebabkan oleh anak sudah dijamin ‘duit masuknya’. Jaminan ini ialah jaminan daripada Allah sendiri. Sebenarnya jaminan ini tak terhad kepada jaminan ‘duit masuk’ bahkan lebih daripada itu.

Apabila ibu ayah ‘sesak kewangan’, jangan mudah menuding jari seolah-olah ia berpunca daripada anak. Jaminan Allah tak pernah salah. Sebenarnya ada sesuatu yang salah pada cara manusia mengurus kewangan. Sama ada manusia secara individu atau manusia secara kolektif (sistem).

Saya tinggalkan anda dengan ayat al-Quran di bawah. Dari satu sudut ia menyebut jaminan terhadap rezeki si anak. Dari sudut yang lain ia mengisyaratkan semua poin yang kita bincang pada kali ini:

وَلَا تَقْتُلُوْٓا اَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ اِمْلَاقٍۗ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَاِيَّاكُمْ

“Janganlah kamu bunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepadamu.”

(Al-Israk: 31)

HASNAN AB – HARAKAHDAILY 16/5/2020

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -