Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (56)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

فَمَا اسْطَاعُوا أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا

“Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.”

قَالَ هَـٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا

“(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar.”

Ibrah akhir zaman

Perbahasan mengenai identiti Yakjuj dan Makjuj masih tidak terhenti sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi. Namun ia kekal misteri sehingga ke hari ini. Pandangan yang masyhur mengenai dua kaum ini terbahagi kepada tiga:

(1) Mereka telah keluar dan mengganas.

Sebahagian mufassirin dan ulamak ilmu fitan berpendapat golongan ini merupakan tentera Mongol dan Tatar. Di akhir Zaman Abbasiyyah, muncul bala tentera daripada dua etnik Turkik ini yang dipimpin oleh Genkhis Khan daripada arah Utara China. Mereka disifatkan sebagai sangat ganas dan menyerang semua Kerajaan yang berhampiran hingga ke Timur Eropah. Banyak Hadis yang menepati kriteria tentera ini. Namun pandangan ini tidak dapat diharmonikan dengan Hadis yang mengatakan Yakjuj dan Makjuj akan menyerang Nabi Isa A.S kerana sekarang tentera mereka telahpun tiada dan keturunan mereka telah memeluk Islam dan mengasaskan Dinasti Moghul dan juga Dinasti Timurid.

(2) Mereka belum keluar.

Sebahagian lagi ulamak percaya bahawa tembok Yakjuj dan Makjuj dihijab oleh Allah daripada pandangan manusia. Mereka berpegang bahawa tembok itu hanya akan pecah pada era Nabi Isa A.S memerintah bumi. Ada yang berpandangan akan segera keluar selepas Dajal dibunuh. Ada juga yang percaya akan keluar di akhir pemerintahan Baginda A.S. Namun pandangan ini juga sukar diharmonikan dengan ayat yang mengatakan Yakjuj dan Makjuj turun dari segala bukit yang tinggi dan bilangan mereka ramai.

(3) Mereka telah keluar tetapi belum mengganas.

Syeikh Imran Hosein berpandangan bahawa Yakjuj dan Makjuj sebenarnya adalah satu kumpulan manusia hari ini yang membawa tamadun Barat ke seluruh dunia. Beliau secara spesifiknya mengatakan golongan tersebut adalah mereka yang mengasaskan gerakan Zionis dan bertanggungjawab melobi seluruh dunia dari sudut politik, ekonomi dan budaya sehingga semuanya rosak.

Inilah pandangan yang paling terpencil jika dibandingkan dengan dua pandangan terdahulu. Kita boleh membacakan pandangan ini di dalam buku khususnya bertajuk An Islamic View of Gog and Magog in The Modern Age. Saya cenderung untuk bersetuju dengan pandangan ini, namun terdapat beberapa Hadis dan ayat yang masih perlu dihuraikan bagi menjustifikasikannya.

Apabila kita melihat daripada teori-teori perjalanan Zulqarnain ke Timur, Barat dan Utara, kita akan mendapati bahawa teori paling munasabah adalah kawasan tersebut berada di Darial Gorge, sempadan Georgia-Russia. Namun jika kita pergi ke kawasan tersebut, yang tinggal hanya kesan besi dan tembaga di kawasan tersebut. Menunjukkan ianya telah pecah.

Selain ayat ini, terdapat hanya satu lagi ayat mengenai Yakjuj dan Makjuj iaitu firman Allah S.W.T:

وَحَرَامٌ عَلَىٰ قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا أَنَّهُمْ لَا يَرْجِعُونَ . حَتَّىٰ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ . وَاقْتَرَبَ الْوَعْدُ الْحَقُّ

“Haram kepada penduduk satu negeri yang telah kami binasakan untuk mereka kembali kepadanya. Sehinggalah apabila terbukanya tembok Yakjuj dan Makjuj, mereka akan meluru dari segala tempat yang tinggi. Janji tuhan yang benar pun semakin dekat (kiamat).”

[al-Anbiya’: 94-96]

Ayat ini boleh difahami bahawa, peristiwa pecahnya tembok Yakjuj dan Makjuj akan mengembalikan satu kaum yang pernah diharamkan untuk mereka kembali ke negeri asal untuk kembali semula. Syeikh Imran Hosein percaya kaum tersebut adalah Yahudi Bani Israel yang tuhan telah haramkan bagi mereka kembali ke Baitulmaqdis atas kesesatan mereka menyelewengkan ajaran Taurat dan Injil. Namun hari ini, bermula dengan persidangan Zionis di Basel 1987, rancangan untuk mengembalikan Yahudi ke Baitulmaqdis sudah berjaya.

Situasi ini boleh dikaitkan dengan sebuah Hadis yang mengatakan air tasik Tiberias akan kering. Sabda Rasulullah S.A.W:

وَيَبْعَثُ اللَّهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ ، فَيَمُرُّ أَوَائِلُهُمْ عَلَى بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ فَيَشْرَبُونَ مَا فِيهَا ، وَيَمُرُّ آخِرُهُمْ فَيَقُولُونَ لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ ، وَيُحْصَرُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ حَتَّى يَكُونَ رَأْسُ الثَّوْرِ لِأَحَدِهِمْ خَيْرًا مِنْ مِائَةِ دِينَارٍ لِأَحَدِكُمْ الْيَوْمَ ، فَيَرْغَبُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ فَيُرْسِلُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ النَّغَفَ فِي رِقَابِهِمْ فَيُصْبِحُونَ فَرْسَى كَمَوْتِ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ ، ثُمَّ يَهْبِطُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى الْأَرْضِ فَلَا يَجِدُونَ فِي الْأَرْضِ مَوْضِعَ شِبْرٍ إِلَّا مَلَأَهُ زَهَمُهُمْ وَنَتْنُهُمْ ، فَيَرْغَبُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى اللَّهِ فَيُرْسِلُ اللَّهُ طَيْرًا كَأَعْنَاقِ الْبُخْتِ فَتَحْمِلُهُمْ فَتَطْرَحُهُمْ حَيْثُ شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ يُرْسِلُ اللَّهُ مَطَرًا لَا يَكُنُّ مِنْهُ بَيْتُ مَدَرٍ وَلَا وَبَرٍ ، فَيَغْسِلُ الْأَرْضَ حَتَّى يَتْرُكَهَا كَالزَّلَفَةِ ، ثُمَّ يُقَالُ لِلْأَرْضِ أَنْبِتِي ثَمَرَتَكِ وَرُدِّي بَرَكَتَكِ …. فَبَيْنَمَا هُمْ كَذَلِكَ إِذْ بَعَثَ اللَّهُ رِيحًا طَيِّبَةً فَتَأْخُذُهُمْ تَحْتَ آبَاطِهِمْ ، فَتَقْبِضُ رُوحَ كُلِّ مُؤْمِنٍ وَكُلِّ مُسْلِمٍ ، وَيَبْقَى شِرَارُ النَّاسِ يَتَهَارَجُونَ فِيهَا تَهَارُجَ الْحُمُرِ ، فَعَلَيْهِمْ تَقُومُ السَّاعَةُ

“Allah mengutuskan Yakjuj dan Makjuj. Mereka akan bertebaran dari segala keturunan. Maka kalangan awal mereka melalui Tasik Tiberias lalu meminumnya. Kemudian lalu yang akhirnya, lalu berkata, dahulu terdapat air di kawasan ini. Mereka mengepung Nabi Isa A.S dan pasukannya sehingga nilai kepala lembu bagi mereka lebih tinggi dari 100 dinar, (keadaan lapar yang amat). Nabi Isa A.S dan pengikutnya memohon doa dari Allah, lalu Allah turunkan bala sehingga mereka mati sekali gus. Kemudian Nabi Isa dan pengikutnya turun, tidak ada sehasta pun tanah melainkan dipenuhi bangkai dan bau Yakjuj Makjuj. Nabi Isa dan pengikutnya memohon doa dari Allah, lalu diutuskan burung berleher panjang menyambar bangkai mereka dan diturunkan hujan yang sangat lebat sehingga membersihkan bumi dari segala kotoran mereka. Kemudian dikatakan pada bumi tumbuhlah buahanmu dan kembalikan berkatmu. Dalam keadaan demikian, tuhan utuskan angin lembut mengambil nyawa setiap orang beriman dan Islam. Maka yang tinggal hanyalah manusia-manusia jahat saling bertelagah sesama sendiri. Maka ketika itu berlakulah kiamat.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Tanpa dapat disangkal lagi, air Tasik Tiberias masih ada. Menunjukkan bahawa teori mengenai Mongol dan Tatar tidak tepat. Namun perlu diakui bahawa paras tasik Tiberias semakin mengering. Pada tahun 2001, paras air di Tasik Tiberias sudah berada pada garisan hitam iaitu pada tahap bahaya. Ini kerana ia berisiko untuk dimasuki air masin dari bawah tanah yang bakal merosakkan kualiti air secara kekal, sekali gus mengancam ekosistem sekitar. Antara punca penurunan air yang mendadak adalah kerana penggunaan air yang sangat tinggi oleh Tel Aviv.

Setakat ini, air di Tasik Tiberias sudah defisit 2.5 bilion meter kubik. Walaupun Kerajaan Israel sudah mengurangkan penggunaan airnya, namun paras air tidak menunjukkan sebarang peningkatan menyebabkan Kerajaan Israel terpaksa mengambil langkah agresif dengan merampas Bukit Golan daripada Syria dan memanfaatkan air dari Sungai Jordan.

Hadis ini memberi tanda bahawa antara kriteria Yakjuj dan Makjuj adalah mereka yang menghabiskan air di Tasik Tiberias. Kini jelas yang sedang menghabiskan air tersebut adalah Zionis Israel. Namun timbul pula persoalan; bukankah Zionis adalah Yahudi? Sedangkan Yahudi adalah keturunan Sam bin Nuh manakala menurut jumhur Mufassirin, Yakjuj dan Makjuj adalah keturunan Yafith bin Nuh.

Di sini kita perlu memahami perbezaan antara Yahudi dan Zionis. Yahudi adalah Bani Israel, keturunan Nabi Yaakub A.S. Baginda memiliki 12 orang anak yang menjadi 12 suku Bani Israel. Firman Allah S.W.T:

وَقَطَّعْنَاهُمُ اثْنَتَيْ عَشْرَةَ أَسْبَاطًا أُمَمًا

“Kami bahagikan mereka (Bani Israil) menjadi 12 suku umat.”

[al-Aaraf: 160]

Namun Yahudi yang terlibat dengan penubuhan Zionis dan Freemason serta manusia-manusia paling berpengaruh di dunia sekarang kebanyakannya daripada Yahudi Ashkenazi. Arthur Koestler menyatakan suku ini sebenarnya bukan berasal dari 12 suku Bani Israel, tetapi mereka selewengkan fakta sejarah sehingga timbul teori ada satu lagi suku Bani Israel yang hilang (the lost tribe). Merekalah suku ke-13 tersebut!

Keadaan ini semakin menarik untuk dikaji. Jejak keturunan Ashkenazi dikatakan berasal daripada kaum yang pernah menubuhkan empayar di pergunungan Caucasus bermula abad ke-7 hinggalah abad ke-10 yang dinamakan sebagai Empayar Khazar. Kaum daripada bangsa Turkik itu asalnya penganut Paganisme iaitu penyembah api dan syaitan. Namun sebelum empayar ini digulingkan pada zaman Umawiyah, mereka telah memeluk agama Yahudi. Suatu perkara yang pelik kerana Yahudi merupakan agama bangsa. Menurut kepercayaan Bani Israel, hanya Bani Israel sahaja layak menjadi Yahudi (The Chosen People).

Setelah empayar mereka jatuh, mereka telah lari ke Utara sebelum berpecah ke bahagian Timur dan Barat hemisfera Utara. Mereka berasimilasi dengan penduduk setempat sehingga memunculkan penganut Yahudi di Eropah dan Rusia yang menjadi pengasas kepada pemikiran Materialisme, Sekularisme, Kapitalisme dan Komunisme.

Empayar Khazar muncul pada abad yang sama dengan kemunculan Nabi akhir zaman Muhammad S.A.W iaitu pada abad ke-7. Rasulullah pernah bermimpi bahawa tembok Yakjuj dan Makjuj telah mula berjaya dirobohkan sedikit di zamannya. Sabda Baginda S.A.W:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَيلٌ لِلعربِ مِن شَرٍّ قَد اقتَرَبَ، فُتِحَ اليومَ من ردمِ يأجوجَ ومأجوجَ مثلُ هَذِهِ. قِيلَ: أَنَهلِك وَفِينَا الصَالِحُون ؟ قَالَ: نَعَم، إِذَا كَثُرَ الخَبَثُ

“Tiada tuhan melainkan Allah. Binasalah orang Arab daripada keburukan yang semakin hampir. Sesungguhnya tembok Yakjuj dan Makjuj telahpun roboh sebesar ini (sambil menunjukkan isyarat lubang dengan ibu jari dan telunjuknya.) Baginda ditanya adakah kita akan binasa walaupun terdapat orang soleh? Jawab Baginda: Ya, jika kerosakan sudah berleluasa.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

At-Tabari meriwayatkan bahawa ketika umat Islam membuka Azerbaijan, penduduknya menceritakan bahawa mereka pernah melihat tembok yang tinggi dan kukuh di kawasan penempatan Khazar. Ar-Razi pula memetik cerita dari Ibn Khordadzbeh bahawa khalifah al-Wathiq pernah bermimpi bahawa tembok tersebut telahpun terbuka, lalu beliau mengutuskan orang untuk mencarinya. Ternyata, terdapat kesan tembok pecah di pergunungan Caucasus.

Pandangan mengenai Yakjuj dan Makjuj adalah Khazar turut dinukilkan oleh al-Alusi. Menurut al-Khalidi pula, kemunculan Yakjuj dan Makjuj di zaman Nabi Isa tidak menafikan temboknya runtuh sebelum itu.

Jika dikaitkan pula mengenai kerosakan bangsa Arab, memang benar mereka telah dirosakkan dengan peradaban Barat (rujuk ayat 43-34: Kekayaan Arab Adalah Kerosakan Yakjuj dan Makjuj dan ayat 51&52: Arab Berwalikan Musuh Allah).

Satu lagi persoalan, bagaimana pula untuk Hadis Riwayat Muslim di atas, bahawa Yakjuj dan Makjuj hanya akan keluar pada zaman Nabi Isa?

Perkara tersebut boleh difahami bahawa mereka akan keluar dalam bentuk ketenteraan (hard power) selepas Dajal mati. Namun sebelum itu, mereka hanya menggunakan cara halus (soft power) kerana Zionis masih belum menjadi adikuasa dunia.

Kerana itulah mereka sanggup menganut ajaran Yahudi. Tujuannya untuk mengeksploitasi kepercayaan Bani Israel terhadap al-Masih demi agenda politik sejagat Zionis. Mereka sudah berjaya melobi Yahudi dan kuasa dunia untuk mewujudkan singgahsana kepada Dajal, dan apabila Dajal muncul, hegemoni dunia akan beralih daripada US (Pax-Americana) kepada Zionis (Pax-Judaica).

Keturunan Yakjuj dan Makjuj telah melata di seluruh dunia sekarang. Rupa paras Khazar sudah pun hilang kerana proses asimilasi berkurun lamanya. Pertubuhan Freemason telah berkembang ke peringkat Antarabangsa dan menerima penganut ajaran selain Yahudi. Agenda Zionis telah disokong oleh banyak pihak termasuk penganut Kristian (Evangelical). Apabila tiba masanya, mereka akan mempamerkan belang yang sebenar daripada setiap bangsa.

Jika segala pandangan ini benar, maka sedarlah dunia sedang berhadapan dengan kefasadan Yakjuj dan Makjuj yang dikenali sebagai peradaban Barat (western civilization). Ia bukan sahaja merosakkan umat Islam, malah menyerang seluruh dunia. Globalisasi telah membawa manusia yang kononnya bertuhankan akal, tetapi fitrahnya menjadi lebih songsang daripada binatang.

ALANG IBN SHUKRIMUN
23 Ramadan 1441
16 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 16/5/2020

- Advertisement -