Wakil rakyat juga bantu pemungut sampah

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Penduduk yang mencari rezeki di tempat pelupusan sampah di Pusu 40 dekat sini dianggar memperolehi pendapatan kira-kira RM300 hingga RM500 seminggu.

- Advertisement -

Malah gaya hidup mereka juga agak berbeza berbanding penduduk lain di mana anak-anak dan cucu masing-masing memiliki handphone berjenama.

Mereka juga memiliki rumah sendiri dan ada yang menyewa di luar tempat pelupusan sampah tersebut.

ADUN Apam Putra Abdul Rasul Muhammad berkata, sehingga sekarang terdapat 9 keluarga penduduk yang tinggal di bangsal sementara di kawasan pelupusan sampah tersebut.

Katanya, seorang daripada mereka tinggal di tapak sawmill di kawasan berdekatan.

“Mereka tinggal di bangsal sementara bagi memudahkan untuk mengutip besi buruk dan bahan-bahan buangan yang boleh dijual semula, di mana ada ketika lori sampah sampai waktu malam.

“Jadi mereka memilih tinggal di situ bagi memudahkan kerja memunggut sampah. Bagi ada yang ada anak bersekolah mereka tinggal di rumah dan ketika hari minggu anak-anak juga datang membantu,” katanya di sini.

Pusat pelupusan sampah itu wujud sejak 40 tahun lepas menjadi tapak pembuangan sampah Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) dan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.

Bagaimanapun isu pengutip sampah tersebut diviralkan apabila kelmarin
Pendakwah dermawan Ustaz Ebit Lew menviralkan usahanya membantu dua penduduk di situ dengan membayar sewa rumah untuk mereka.

Abdul Rasul juga berkata, orang luar yang jarang datang ke situ tidak mengetahui perkara sebenar memandangkan rata-rata pemungut sampah sudah memiliki rumah sendiri.

“Mereka tinggal di bangsal buruk hanya untuk memudahkan mencari rezeki di tempat pelupusan sampah. Kalau tidak rumah pun anak dan cucu mereka,” ujarnya.

Menurutnya juga MDPM akan mewartakan kawasan itu sebagai tempat larangan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku termasuk tanah jerlus di tempat pembuangan sampah itu.

Kata beliau juga pemungut sampah terbabit yang tinggal di rumah sewa akan dipertimbangkan rumah secara percuma di Pusat Penempatan Masyarakat Setempat di Lubok Jong.

Katanya rumah tersebut bernilai kira-kira RM70,000 dan tanah pula berharga RM100,000.

Beliau juga berkata, wakil-wakil rakyat dan penghulu sejak dahulu lagi membantu pemungut sampah terbabit dan tidak berbangkit mereka diabaikan. – HARAKAHDAILY 15/5/2020

- Advertisement -